nuffnang ads

Tuesday, June 29, 2010

TULIS BERITA?

Mahu belajar menulis berita? Kalau arwah pak Samad (Tan Sri A Samad Ismail) mendengarnya dia mesti gelak besar. Bukan maknanya cita-cita mahu menjadi penulis atau wartawan itu sesuatu yang melucukan, tetapi sebenarnya bukan semudah itu mahu menjadi wartawan. Semudah pertanyaan tadi.

Langkah pertama ialah tanya diri adakah kita ada kemahuan, cita-cita, bakat dan kesungguhan. Kalau mahu menjadi wartawan sekadar mencari glamour, pergi mohon jadi wartawan penyiaran atau pengacara. Misalnya di TV3.

Menulis berita bermakna kita menjadi pelapor, menyalurkan maklumat kepada orang ramai dengan cara paling berkesan, tepat dan bertanggungjawab.

Jadi langkah berikutnya selepas kita yakin mempunyai bakat, cita-cita atau kesungguhan ialah belajar menimba ilmu. Maknanya, untuk menjadi wartawan atau penulis berita, kita mesti banyak membaca. Pak samad selalu berkata, membaca itu jendela minda bagi golongan wartawan. Kalau wartawan kurang membaca, macam mana mereka boleh mempengaruhi orang lain membaca apa yang mereka tulis. Hal paling penting, kalau kurang membaca, kuranglah ilmu. Kalau kurang ilmu, apa yang kita tulis tentulah bak makanan tanpa garam, tanpa perasa yang kadang-kala boleh membuat orang muntah.

Tanggungjawab adalah kata kunci yang mesti diberi perhatian kepada sesiapa yang mahu menjadi wartawan. Tanpa tanggungjawab, semua orang boleh menulis. Semua orang boleh catat apa sahaja, tanpa memikirkan risiko atau kesan yang bakal tercetus akibat laporan mereka. Maknanya, tanggungjawab amat penting. Tanpa tanggungjawab, sebelah kaki wartawan sengaja digarikan kepada tiang besi yang kukuh!

Bannyak jenis laporan dalam pemberitaan yang mesti kita ketahui. Maksud saya, banyak bidang atau genre penulisan dalam dunia kewartawanan. Kalau anda berminat bidang jenayah atau mahkamah, anda boleh menceburkan diri dalam penulisan berkenaan. Tapi awas. Bukan semudah itu.

Asas penulisan yang anda perlu tahu ialah apakah jenis berita yang biasa ditulis atau dilaporkan oleh wartawan di negara kita. Anda harus mengikuti perkembangan penulisan berita dalam akhbar cetak seberapa kerap yang boleh.

Saya tidak mahu menunjukkan cara bagaimana menulis berita sebenarnya. Tetapi saya lebih senang mahu menunjukkan jalan singkat boleh menulis tanpa mempelajari cara menulis berita. Ertinya, kalau anda memang bernar-benar berminat dalam penulisan berita, anda kena rajin dan sentiasa setiap hari mencatat apa sahaja yang terlintas dalam fikiran dalam sebuah buku. Catatan itu anda simpan seminggu dan kemudian anda baca.

sekian...saya akan sambung menulis mengenai penulisan berita atau berkaitan kewartawanan selepas ini. Moga sdr Reduan dan Malik terjawab dengan serba sedikit catatan ini.

BAYANGAN HATI

Kolonel Amirudin sms saya petang tadi. Saya tahu dia tak sabar menemui saya selepas terpisah lebih 30 tahun. Kami sama-sama di E kompeni MTD dulu. Saya lagilah rindukan kawan-kawan lama, namun keadaan membataskan harapan. Namun saya percaya Allah akan memberi ruang kepada saya untuk menemui kawan-kawan yang terpisah lama.

Sebenarnya saya tak sabar untuk melihat adanya pilihanraya dalam tempoh segera. Saya harap Datuk Seri Najib umumkan segera tarikhnya. Kenapa? Saya pun tak tahu tapi berdasarkan cakap-cakap sahabat, pilihanraya kali ini tentu paling menyeronokkan. Paling misteri dan paling hebat berbanding pilihanraya 2008.

Parlimen Kota Raja? InsyaAllah. Namun jangan memandang dengan mata kasar, renung juga dengan mata hati. Parlimen Shah Alam? Sama kuat. Yang saya dan rakan-rakan mahu lihat sangat ialah semua calon bebas yang keluar dari PR. Saya ingin sangat melihat mereka bertanding. Bukan saja kesemuanya dipercayai akan kalah tetapi silap-silap kena boo. Tapi ini hanya bayangan hati.

Saya cukup seronok bercerita pasal bayangan hati. Tahun 1999, pada satu tengah malam bersama beberapa rakan kami berbual dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di kediamannya di Bukit Saujana. Saya bagi tau yang Anwar akan kena tangkap. Itu kata hati saya. Abdul Ghani tidak komen, tapi saya sambung, nasib Anwar hanya Allah sahaja yang tentukan. Dan sejarah tercatat, Anwar ditahan.

Satu lagi pasal bayangan hati. Saya dan bekas Adun Bandar Penawar, Dr Azam, satu malam berborak di kedai mamak di Bandar Baru Uda sehingga jam 12 malam. Ketika itu saya bagitau Azam yang saya akan pulang ke Klang dan mahu ucapkan sayonara kepada Metro dan Berita Harian. Tapi mulut saya gatal. Saya kata:"Kalau aku balik Selangor nanti, tentu MB akab berubah!". Datuk Abu Hassan tidak lama selepas itu meletakkan jawatan. Tapi bukan sebab saya.

Tapi dalam hidup jangan hanya bergantung kepada bayangan hati kerana dibimbangkan ada bayangan lain akan mengganggu minda dan sekaligus mempengaruhi cara kita bertindak. Kesannya kita mungkin tersilap membuat keputusan.

Tentang orang Melayu yang dikatakan rendah kadar peratusan mendaftar sebagai pengundi. Bagi saya senang saja. Bukan mereka yang salah. Salahnya SPR. Susah sangatkah mahu mendaftarkan pengundi secara automatik? Maaf cakap. Cara kerja mereka macam zaman sebelum perang Jepun, tidak mahu memodenkan cara. Susah? Susah apanya?

Tentang mungkin BN menang besar pada pilihanraya umum akan datang? Jangan harap selagi ada duka orang Melayu tak terubat. PR pun sama. Kelmarin ada sekumpulan orang berkelulusan universiti duduk minum di kedai mamak Kota Kemuning. Saya terdengar seorang mereka bercakap. Katanya, sokong Barisan dah lama, tapi tak apa-apa pun. Sokong PR pun macam itu juga. Jadi kita orang Melayu ni nak pergi mana agak-agaknya pilihanraya nanti. Wau...menarik sentimen yang dibangkitkan anak Melayu itu.

JANGAN KHUATIR MASUK MTD

SHAH ALAM: Kematian seorang pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD), dipercayai didera sekumpulan putera senior beberapa hari lalu amat menyedihkan, tetapi ia diharap tidak mencalarkan imej MTD sebagai sebuah kolej pengajian tentera terulung di negara ini.
Sebahagian besar bekas putera yang enggan nama mereka dikenali berkata, kejadian itu adalah sesuatu yang terpinggir berbanding senario sebenar kehidupan putera sejak maktab itu ditubuhkan.
Mereka mendakwa, buli dalam makna sebenar tidak berlaku di MTD tetapi tidak menafikan ada sesetengah aktiviti yang dijalankan secara rutin di maktab itu dilihat sebagai penderaan oleh sesetengah pihak.
Walaupun kematian telah berlaku dan seorang putera disingkirkan, mereka berharap semua pihak membiarkan pihak berkuasa termasuk polis menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan kepada keluarga si mati.
Pada masa yang sama, kebanyakan bekas putera berharap supaya masyarakat tidak hilang keyakinan terhadap kecemerlangan dan kewibawaan MTD yang dikatakan setaraf dengan kolej tentera luar negara seperti Sandhurst Military Academy (SMA) di Britain dan kolej tentera Amerika di West Point.
Sehingga kini, MTD telah melahirkan begitu ramai peawai tentera dan awam yang cemerlang termasuk juga exco kerajaan Selangor kini, YB Yaacob Sapari.

Saturday, June 26, 2010

TAK FAHAM

Laporan Bernama menyebut, Ibrahim Ali mencabar PAS Kelantan hentikan lesen judi di negeri itu. Dia cabar supaya ikut kaedah Datuk Seri Najib yang enggan meluluskan lesen judi bola kepada syarikat diterajui Vincent Tan.

Peliknya? Yang Najib buat ialah tak luluskan lesen. PAS Kelantan nak luluskan lesen apa? Lesen judi yang ada pun diperolehi sejak dulu-dulu. Sejak awal masa pemerintahan BN lagi. Lagipun mustahil kerajaan negeri boleh luluskan lesen kerana itu kerja kerajaan pusat.

Tapi tahniahlah kerana kesedaran Ibrahim. Cuma diharap, tiada tindakannya yang dipertikaikan.

CUKUP-CUKUPLAH.

Tahniah Datuk Seri Najib Tun Razak. Anda bertindak betul membatalkan cadangan pemberian lesen judi bola. Kepada Nazri Aziz, Samy Vellu dan Chua Soi Lek, jangan kecewa. Anda boleh membentangkan hujah atau alasan lain apabila ada lagi pihak mahu memohon lesen perjudian pada masa depan.

Kepada Vincent Tan. Cukup-cukuplah. Duit kita kutip dari orang miskin, yang berhutang dengan along semata-mata bertaruhkan nasib dalam perjudian ini telah melimpah ruah. Jangan ajar kerajaan bagaimana mahu kutip hasil bagi biayai masa depan negara ini.

Banyak sumber lain yang kerajaan boleh guna dan cari. Tepuk dada tanya selera.

Terima kasih Perdana Menteri.

Friday, June 25, 2010

PASIR ROBOH

Hasil galian dirompak dengan cara paling sistematik. Dengan menggunakan orang dalam sebagai minyak pelincir untuk melancarkan urusan bawa keluar pasir, negara kehilangan hasil yang begitu besar. Dan kerugian itu dijangka berterusan, selagi tiadanya tindakan berkesan diambil untuk mengatasinya.

Selangor, Johor dan Perak antara negeri dikatakan menjadi sasaran penyamun pasir setakat ini. Di Johor misalnya, pasir seperti dilaporkan sebuah akhbar dieksport ke negara jiran dalam kuantiti yang amat banyak. Peliknya, terlalu lambat kegiatan itu dapat dikesan. Atau mungkin ramai yang mengesan perbuatan penyamun berkenaan, malangnya mereka sendiri tidak tahu ke mana harus disalurkan maklumat itu. Atau mereka sendiri kurang yakin perbuatan itu dapat dihentikan.

Akibatnya, negara kehilangan hasil galian antara terpenting yang dianugerah Allah. Sebuah negara jiran yang terhimpit oleh pembangunan yang begitu pesat tanpa perlu bersusah payah telah begitu seronok menikmati pasir yang dicuri demi membangunkan negara itu.

Ketika kita sibuk mempertikaikan duit gelap yang hilang akibat masih belum berlesennya judi bola di negara ini, kita hampir terlupa kehilangan hasil yang Tuhan berikan secara melimpah ruah.

Kalau beginilah caranya, kita bimbang cakap-cakap negara akan bankrap mungkin boleh menjadi kenyataan. Hasil yang sepatutnya dapat dinikmati rakyat, hilang begitu sahaja. Negara menjadi miskin. Macam pepatah, ayam di kepuk mati kelaparan.

Apa yang pasti, kita tak pernah berfikir macam mana mahu menghasilkan duit dari sumber yang Tuhan berikan secara percuma, tapi asyik sibuk mahu mengutip cukai dari hasil-hasil yang amat Allah murkai.

Kita lupa buat gula sendiri walaupun tanah subur. Kita lupa pada minyak masak, petroliam, pasir dan pelbagai jenis bahan mentah yang sepatutnya telah membuat kita kaya. Sedih. Kita hanya memikirkan hal-hal yang sulit tetapi hal-hal mudah yang boleh membuat kita kaya raya langsung tak pernah difikirkan.

Kita mampu buat kereta. Kita sanggup berhabis hantar anak negara naik angkasa tapi susah sangatkah kita mahu berfikir untuk menghasilkan duit dari bahan mentah supaya duit yang bakal kita dapat itu boleh memakmurkan negara.

Yang kita gaduh-gaduh pasal nak kutip cukai judi bola!

KASIHAN ORANG MELAYU

Menentang lesen judi bola memang wajib bagi umat Islam, tetapi dalam konteks negara Malaysia, penentangan itu juga sebenarnya perlu dilihat mengambilkira bahawa judi memang lebih banyak membawa keburukan. Rasional Nazri Aziz kononnya, kenapa umat Islam tidak bising bila Cina makan babi dan minum arak, tetapi sebaliknya kalut bila soal judi lesen bola, adalah sesuatu yang kurang tepat.

Sebenarnya, orang Islam menentang lesen judi bola ini kerana ia baru mahu dilaksanakan. Maknanya, keburukan lebih baik dicegah daripada diberi sokongan daripada berlaku. Makan babi dan arak pula sejak merdeka lagi telah dibenarkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO. Apalah daya kita untuk mengharamkan arak dan babi kerana ia telah lama dibenarkan.

Soal sekarang adalah, kalau boleh keburukan yang baru jangan pula digalakkan. Kalau belum diberi lesen judi bola itu, kenapa mesti disokong supaya ia diberi juga. Kalau alasannya kerana ia budaya orang bukan Islam, kita berasa sedih. Ini kerana nampaknya apa sahaja benda buruk yang orang Islam tidak boleh lakukan atau tidak dibenarkan melakukannya, boleh dilakukan atas alasan ia budaya orang bukan Islam. Di manakah hak orang Islam. Kalau macam itu, jika orang Cina mahu membakar mercun sesuka hati, kita kena benarkan sebab itu budaya mereka. Kalau bukan Islam mahu berbogel sambil berjalan, kita biarkan sebab itu dilakukan oleh bukan Islam.

Begitu juga kalau bukan Islam mahu melakukan apa sahaja, kita biarkan. Umat Islam tidak boleh bising-bising. Tapi tidak ingatkah kita soal keistimewaan orang Melayu dan Islam di negara ini yang turut menjadikan Islam sebagai agama rasmi? Walaupun kita menghormati agama dan budaya orang lain, agama dan budaya kita juga wajar dihormati.

Soal mahu mencari duit dari cukai judi bola? Tak terfikirkah kita bahawa duit yang mahu kita kutip cukainya itu datang dari poket orang-orang yang teraniaya, yang sentiasa kalah dan sentiasa tidak menang! Tergamakkah kita? Kalau ya pun, ada jaminankah tiada lagi pertaruhan haram judi bola? Ini perlu dijawab sebab dalam usaha kita mencegah kemasukan rokok haram pun, masih berlambak sindiket membawa masuk rokok tidak bercukai dari negara jiran. Begitu juga mercun, begitu juga arak. Begitu juga judi 4 ekor yang dilesenkan. Berapa banyak yang jalankan judi haram walaupun lesen judi itu telah dilesenkan oleh kerajaan? Berjayakah kita menangangi semua itu? Berapa banyak cukai yang kita dapat. Berapa banyak duit gelap yang ada dalam putaran kewangan kita? Yang belum diketahui punca dan susur galurnya?

Dalam soal lesen judi bola ini saya puji sesetengah pemimpin UMNO yang menentangnya. Kenapa kita harus takut pada bayang-bayang sendiri? Yang salah dan tidak elok lebih baik katakan tidak elok. Bukankah itu cara seorang pemimpin yang mulia dan berhemah? Kita hormat rakyat bukan Islam dan bukan Melayu. Kita kena bagi mereka kefahaman dan beri mereka contoh yang baik bahawa judi itu sebenarnya buruk dan tidak elok. Tanyalah pada orang Cina, kalau semua kata ia benda yang elok, esok juga kita bagikan lesen itu kepada mereka. Sebenarnya orang Cina dan bukan Islam sendiripun ramai yang menentang pemberian lesen judi itu. Peliknya, ayahandaku Tun Mahathir boleh menulis kononnya kalau dia Perdana Menteri, esok juga dia luluskan lesen perjudian itu.

Demikianlah duka orang Melayu yang lebih 50 tahun merdeka. Jepun berbelas Perdana Menteri, Thailand berbelas perdana menteri, Amerika dan Britain saling bertukar parti memerintah. Kita masih di takuk lama. Sebab itu mentaliti atau cara fikir kita tak pernah berubah. Kasihannya orang Melayu.

Wednesday, June 23, 2010

SEKADAR INGATAN

Sedih, sayu dan hiba. Tiba-tiba teringat kata-kata sinis allahyarham Tun Ghafar Baba pada tahun 1993 dulu pada satu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Semua ada ketika itu. Datuk A Kadir Jasin, Datuk Nazri Abdullah, Azman Ujang (sekarang Datuk Seri), Mior Kamarul Baid (sekarang Datuk) dan ramai lagi pengamal media ada.

Mungkin masih ada yang ingat kata-kata Tun Ghafar ketika berucap. Antaranya membawa maksud: "Saya teringin sangat mahu menjadi Editor akhbar dan editor akhbar yang ada hari ini mungkin pula boleh tukar dan ambil jawatan saya dan menjadi Timbalan Perdana Menteri (termasuk Timbalan Presiden UMNO).

Mungkin juga ada yang ingat, Tun Ghafar berkata begitu kerana ketika itu akhbar arus perdana dilihat terlalu menyokong Anwar Ibrahim dalam proses merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Tentu juga, ucapan sinisnya itu meluahkan rasa nubarinya tentang sesuatu bernama 'keadilan'. Barangkali editor akhbar mahupun media elektronik boleh menimbang-nimbang kenangan ucapan yang pernah diucapkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri kita itu.

Monday, June 21, 2010

MELAYU KE MANA

Melayu ke mana? Terima kasih Tun Mahathir kerana membenarkan komen saya ada di dalam blog Tun. Terimalah hakikat bahawa pemimpin Melayu telah gagal dalam meletakkan tempat duduk paling sesuai untuk orang Melayu di negara ini.

Semoga mata kita terbuka. Anda berminat, layarilah Chedet.Cc. Blog hasil tulisan negarawan yang kita sayangi.

Saturday, June 19, 2010

TERIMA KASIH TUN

Tun Mahathir menulis tentang Melayu ke mana? Ini satu kebimbangan sebenarnya yang merujuk kepada debar seorang Melayu yang semakin kuat getarnya melihat kemungkinan yang bakal menimpa bangsa Melayu selepas ini.

Melayu tidak ke depan, tapi masih di sini. Tidak ke mana-mana. Cuma khuatir kalau-kalau ditolak arus pembangunan, Melayu akan tertinggal ke belakang, menghuni gua dan guar. Berperap dalam kantung hutan, berkawan sang ungka atau reptilia berbisa yang barangkali lebih faham dan mengerti tentang duka Melayu.

Ke manakah letaknya darjat Melayu masa kini. Ekonomi tak terpaut, pendidikan hampir terlepas tangan, sosial jelas hanyut. Cuma tinggal politik, itu pun bak payung yang rabak.

Tun bukan chauvanist ketika melontarkan persoalan tentang Melayu yang dibimbangi arah masa depannya. Tun ada hak untuk bersuara kerana barangkali Tun semakin hiba mendengar rintihan dan raungan anak-anak Melayu yang semakin kuat mengganggu fikiran dan atmanya sejak akhir-akhir ini.

Tun begitu sinikal ketika menyeru supaya berpecahlah! Kalau Melayu masih tidak dapat memahami getar nubari Tun ketika ini, terpulanglah. Tidak ada sekolah yang dapat mengajar Melayu supaya cepat sedar kecuali apabila mereka telah terhantuk. Tatkala itu semua sudah terlambat.

Duka Melayu tak akan terawat selagi kita tidak sedarkan diri.

Friday, June 18, 2010

TAK HAKIS DEK MUSIM, TAK LERAI DEK JARAK

Seorang lagi sahabat lama, lebih 32 tahun tidak mendengar berita menghubungi saya menerusi telefon petang semalam.

Kolonel Mohd Anas yang bertugas di Mindef, bertanyakan khabar selepas mendapat maklumat daripada kolonel Amirudin Sulaiman, tentang keadaan saya yang kurang bermaya.

Kata Mohd Anas dia masih mengingati saya dan meminta alamat rumah kerana berjanji akan singgah ketika kelapangannya nanti.

Demikian, seorang demi seorang rakan lama ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja dulu, menghubungi saya. Ternyata mereka sahabat sejati kerana walaupun berpuluh tahun terpisah masih tidak melupai rakan-rakan lama. Kolonel Anas dari B kompeni, saya dan kolonel Amirudin dari kompeni E.

Moral di sebalik kisah perhubungan semula selepas lama terpisah ini adalah tentang makna persahabatan. Putera RMC amat kukuh ikatan persahabatannya. Tak terhakis oleh musim, tak terlerai oleh jarak.

Terima kasih juga rakan lama lain, Brig Jen Ismet Nayan, kolonel Hassan Ali, kolonel Amirudin, kol Hamid Isa, lt kolonel Sabri, Mejar (B) Sharif rahmat, Kapt(B) Anuar Rahim dan semua yang kadang-kala susah pula saya mengingati nama mereka.

Semoga Allah memberkati kehidupan anda. Jadilah pemimpin yang baik.

Thursday, June 17, 2010

SELOKA DUKA MELAYU

Berkata-kata dalam hati. Kalaulah musim depan Melayu lari lagi, entah apalah jadi. Biasanya kalau hati mula berkata-kata, tentu ada yang serba sedikit mulai tidak kena.

Apakah Melayu merajuk? Patah hati? Kecewa? Ralat? Walang? Makan Hati? Rasa tertipu? Rasa tak dipeduli? Tersinggung? Atau apakah Melayu rasa bagaikan semakin jauh ditolak ombak ke tengah laut. Kemudian kehilangan dayung, kehilangan hala dan paling mengerikan perahu semakin bocor.

Di manakah pelampung? Di manakah tongkat? Di manakah pulau buat Melayu berteduh barang sejenak?

Hati juga berkata-kata. Kenapalah ada peribahasa Melayu berbunyi begini: Kera di hutan disusui, anak sendiri kelaparan!

Melayu disuruh berinovasi, bercita-cita besar, berhati waja, kreatif, disuruh juga jangan makan atas angin, jangan jual kontrak, jangan jual projek, jangan asyik mengharap bantuan, jangan lemah, jangan dan jangan dan jangan pelbagai macam nasihat kononnya Melayu asyik meminta-minta. Baik benar nasihat itu, tapi tengoklah orang Melayu yang tak pernah diberi tongkat, hatta sebatang kayu untuk menguis-nguis mencari rezeki di atas tanah yang dulunya bernama Tanah Melayu. Melayu berbangga hidup di Malaysia tapi Melayu khuatir jika "Malaysia" diterjemahkan menjadi "Melayurugi!"

Ini adalah sebahagian seloka duka Melayu. PR atau BN tolong baca dan dendangkan di padang-padang lapang.

BUKA MATA DAN HATI KITA BESAR-BESAR

Kenapa anak Melayu ramai jadi penagih dadah, jadi bohsia, gagal peperiksaan, jadi mat rempit, paling ramai menganggur, paling ramai lepak di kompleks beli-belah, paling ramai main video games, paling ramai hamil luar nikah, paling ramai jadi kuli, paling kurang jadi tauke, paling ramai jadi ahli MLM tapi paling kurang jadi pemilik syarikat MLM, paling ramai kena tipu sindiket gores dan menang, paling ramai yang tidak cerdik, paling ramai asyik kena tipu, paling ramai gagal menyambung pelajaran, paling ramai lulus universiti tapi paling ramai tak ada kerja, paling ramai dalam segala-galanya.

Ini soalan mudah untuk orang politik menjawabnya. Soalan ini telah dicetak dalam minda kita bertahun-tahun, tapi belum dapat dijawab sepenuhnya oleh mereka yang berebut-rebut mahu jadi orang politik.

Yang ada dijawab segelintir orang ialah salah mak bapak. Kalau salah mak bapak, mesti ada puncanya. Puncanya ialah mak bapak dulu-dulu. Kalau macam itu, salahlah datuk nenek moyang kita sebab tak pandai jaga mak-bapak sekarang sehingga melahirkan anak-anak Melayu yang semuanya serba tak menjadi? Tak ada pula jawapannya yang berani menuding orang politik, dasar kerajaan dan pentadbir negara bersalah besar dalam hal ini.

Sebagai contoh, saya tanyakan kenapa subjek pengajian Islam tidak diwajibkan mesti kredit dalam peperiksaan SPM jika mahu masuk ke universiti tempatan, sedangkan kita kata Islam agama rasmi negara ini? Pemimpin harus berani berubah. Bukan berani mengajak untuk rakyat berubah.

Dadah dalam negara boleh dikatakan saban hari ada tangkapan. Rasa dah macam lubuk dadah sahaja negara kita ini. Semua ini masalah yang menjarum ke dalam kehidupan anak muda. Pub bersepah, arak di kedai kopi pun mudah dapat. (Bila mabuk kacau orang, samun orang!) Bila tangkap orang mabuk samun orang atau cederakan orang, dikatanya nak buat macam mana? Orang tu mabuk.

Kalau kita pandang ringan hal-hal yang sedang menjadi wabak dalam sosial dan budaya anak Melayu, maka akan jahanamlah bangsa kita perlahan-lahan.

BAGI SAYA MEMENANGI HATI MELAYU UNTUK UNDI KURANG PENTING, YANG PENTING JAGA DASAR DAN BANTULAH ORANG MELAYU SUPAYA BANGSA INI TIDAK PUPUS. BUKAN PEMBANGKANG SAHAJA BERSALAH, SEMUA ORANG POLITIK BERSALAH KALAU MELAYU HANYA TINGGAL NAMA DI DALAM MUZIUM.

TUNGGU PILIHANRAYA BEB

Telah lebih dua tahun berada di bawah pentadbiran PR di Selangor. Kita ada pendirian dan pandangan masing-masing. Saya lebih suka ambil jalan tengah, simpan dulu komen tentang hal ini. Tunggu menjelang pilihanraya, banyak yang akan saya tulis.

Kalau baik untuk PR, baiklah. Kalau baik untuk BN, baiklah juga. Kumpulan manusia Melayu terbuang macam saya bukan sedikit. Itu sahaja.

Kalau golongan macam kami tiada harga dan tiada nilai, terima kasih sahaja.

Salam buat semua kumpulan anak Melayu terbuang dan terpinggir.

Wednesday, June 16, 2010

TEKA MINDA

1Hari 1Masalah (Satu hari satu masalah). Itu kata kawan saya. Entah kamus mana dia merujuk atau ada yang tersembunyi mahu diluahkannya, saya kurang arif. Namun, sebagai kawan saya sedia mendengar.

"Aku pergilah ke Putrajaya nak cari Jabatan Pendaftaran Negara. Punyalah payah, sampai empat kali pusing, tiga kali tanya orang baru jumpa. Masalahnya, tak nampak papan tanda di tepi jalan!"

Saya angguk. Setuju dengan masalah itu sebab saya pernah merasainya.

"Minggu dulu, aku pergi kedai di Shah Alam. Niat hati nak cari gula. Sudahnya, bini aku beli cuka. Hati dia sakit sebab gula habis!"

Saya angguk. Setuju sebab masalah itu masih berlaku.

"Minggu depan, aku nak mohon lesen jual air tepi jalan kat Kota Kemuning. Harap-harap tak ada masalah"

Saya gelengkan kepala. Dalam hati mahu saja saya beritahu, beberapa hari lalu entah berapa orang peniaga tepi jalan kena hambat. Tapi bimbang hati kawan saya merusuh dan semangatnya luntur, saya gelengkan kepala tapi diam.

Saya setuju dengan 1Hari 1Masalah. Cuma kalau setahun sudah jadi banyak -365Hari 365Masalah. Aduh.

Benarkah?

JANGAN SERIK

Selalu benar kerana duit, manusia kehilangan kawan. Duit selalu menjahanamkan persahabatan. Duit juga membataskan darjat dua manusia yang asalnya serupa. Begitu juga halnya kuasa. Ketika kita ada duit, kepentingan atau kuasa, semua orang yang datang berbondong-bondong tidak malu-malu mengaku kawan atau saudara. Hal-hal yang tidak sedih pun kelihatan sedih di hati mereka, konon untuk menunjukkan betapa akrabnya sebuah persahabatan atau persaudaraan.

Hal ini diberitahu seorang kawan lama yang kini berada di Terengganu. Kata kawan yang pernah bertugas di DBKL itu, macam nilah Mid. Bila kita ada kepentingan, orang yang mahukan kepentingan akan datang setiap hari. Ini resam manusia, katanya. Bila ada kuasa, ada duit, semua orang suka dan semua mahu mengaku kawan.

Dalam hati saya mengakui, mana ada orang mahu mengaku orang yang telah tidak berduit sebagai kawan. Kalau orang itu datang berjumpa dengannya pun, mungkin dia akan takut dan diserang darah tinggi, kalau-kalau orang itu yang pernah menjadi kawannya akan datang meminta bantuan atau meminta pinjam seringgit dua.

Benar kata pak Nik. Tapi kenapa harus hairan atau merusuh hati sebab inilah dunia. Ketika susah, duka berkongsi, ketika senang biarlah sendiri-sendiri.

Tuesday, June 15, 2010

Pelajaran Sepanjang Hayat – SPM dan selanjutnya

Pelajaran Sepanjang Hayat – SPM dan selanjutnya

Tiada kesalahan andainya pemegang SPM yang berusia 35 tahun ke atas diberi peluang menduduki satu ujian khas bertaraf diploma (mungkin dikenali Diploma Pengajian Malaysia).

Menerusi kaedah ini, pemegang SPM hanya perlu belajar sendiri berdasarkan subjek yang ditentukan oleh kerajaan, misalnya hanya 5 subjek dan peperiksaan ini diadakan setahun sekali. Pemegang SPM di seluruh negara yang memenuhi kriteria akan menduduki peperiksaan ini di semua sekolah terpilih. Syarat-syarat asas yang mungkin boleh dikenakan ialah pengalaman kerja dalam pelbagai bidang sekurang-kurangnya 8 tahun.

Apabila lulus, mereka akan dianugerakan Diploma Pengajian Malaysia oleh Kementerian Pengajian Tinggi atau kolej universiti yang diiktiraf atau diwakilkan.

Sehinga kini, kursus luar kampus, pengajian diploma eksekutif dan kursus berterusan lain lebih bersifat akademik tetapi diploma yang dicadangkan ini boleh menjurus kepada bukan sahaja kemahiran kerja, tetapi bertujuan meningkatkan kemahiran pengetahuan rakyat tentang perpaduan, sejarah dan sosio-budaya.

Dengan adanya peluang begini mungkin peratusan mereka memiliki diploma akan meningkat dan peratusan pemegang SPM akan berkurangan. Mungkin kaedah ini boleh diteruskan sehingga ke tahap ijazah tetapi memerlukan calon menyiapkan tesis dan menduduki ujian khas berkaitan bidang pekerjaan mereka. Andai mereka terbabit dalam pekerjaan perkhidmatan, ujian mesti menggunakan semua perkara berkaitan perkhidmatan. Begitu juga jika terbabit dalam bidang kejuruteraan, ujian peringkat ijazah mesti berkaitan kejuruteraan.

Namun ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak. salam.

Monday, June 14, 2010

PUSING LAGI

Sekali lagi tiada konsistensi berhubung isu melibatkan rakyat. Kali ini menteri lain pula yang bercakap. Cadangan kenaikan gaji pengawal keselamatan, terpaksa ditangguh ke tarikh lain bagi memberi peluang syarikat kawalan keselamatan dan mereka yang terbabit dalam industri itu membuat kajian dan penelitian. Dulu kata mahu laksanakan 1 Julai.

Sebelum ini, kata seorang menteri lain, pembangunan semula Kg Baru akan diagihkan mengikut pecahan 60 peratus bumiputera dan 40 peratus rakyat asing. Pun jadi terbalik.

Sebelum itu, kata seorang menteri lain pula, negara akan muflis seperti Greece (sudahlah kalah 0-2 dengan Korea Selatan) jika subsidi tidak ditarik balik. Juga pusing ke belakang.

Sebelum itu, ada undang-undang diluluskan antaranya mengenakan kompaun RM1,000 kepada pesalah jalan raya, juga ditarik balik sehari dua selepas itu.

Dan banyak lagi. Dan banyak lagi.

Mesej yang ingin saya tegaskan ialah, apakah cadangan atau keputusan sedemikian penting dan paling utama ia telah disiarkan media boleh sewenang-wenangnya ditarik atau ditangguh. Oang akan mempersoalkan di mana kredibiliti menteri. Paling sedih, orang juga mempertikaikan kewibawaan kerajaan.

Nasihat saya sekali lagi ialah jangan bercakap banyak sebab kalau bercakap banyak, banyaklah yang kita akan buat silap. Kalau banyak yang kita buat silap, maka orang akan meluat. Serraammm!

TENDERA POLITIK

TENDER TERBUKA

Tawaran adalah dipelawa daripada mana-mana parti politik yang berdaftar dan masih sah untuk membuka keahlian kepada kami, rakyat bawahan yang berdiri di atas pagar. Semua parti yang berminat boleh mengemukakan tawaran berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Tarikh tutup tawaran ini ialah sebelum 31 Julai 2011 atau enam bulan dari tarikh pilihanraya umum atau salah satu tarikh paling awal.

Kami juga tidak terikat dengan tawaran harga paling tinggi atau apa-apa tawaran berdasarkan apa-apa keistimewaan yang menyalahi tatasusila mahupun apa sahaja yang menyalahi peraturan.

Ini adalah cetakan blog dan tidak memerlukan tandatangan.

Sunday, June 13, 2010

MALAYSIA HASILKAN 1 PERATUS GULA SAHAJA

Tobeng berlari-lari ligat mencari aku yang sedang berjuntai di pangkin buluh di bawah pohon jambu, di depan rumah Bodoi.
"Kenapa?" aku tanya melihat ada cemas dikendongnya sekali pada wajah bulat legam itu.
"Kejap!" Tobeng merayu jangan ditanyakan lagi. "Biar lepas nafas aku ni dulu" sambungnya membuang cungap terakhir.
Dua minit saling terdiam. Aku berjuntai, Tobeng berdiri.
Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu terpacul kata-kata begini: Astaqfirullah! MasyaAllah!
"Apa hal kau ni?" aku tanya lagi.
"Innalillah!!" satu lagi perkataan Arab terkeluar dari mulutnya yang bersimpai oleh misai berbunga lalang.
Kalau bukan disebabkan kawan, mahu sahaja kucangkul kepala Tobeng ketika itu. Macam mana aku tak marah, lain ditanya, lain pula dijawabnya.
Namun demikianlah Tobeng. Orang tidak sekolah seperti dia dan aku memang demikian perilaku.
'Kenapa?" aku soal berulang.
Tobeng terus menjawab. "Negara kita hanya hasilkan 1 (satu) peratus sahaja gula untuk kegunaan. Selebihnya atau 99 peratus, kita import!"
Aku terdiam. barulah aku tahu rupanya Tobeng mahu bercerita semula pasal gula di negara ini. Pasal gula kurang, pasal gula harga mahal dan pasal gula kena subsidi sehingga kerajaan hampir muflis.
"Mana engkau tahu?"
"Aku baca The Star tadi. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed bagi tahu dalam parlimen, tiga pengeksport utama gula ke negara ini ialah Brazil, Australia dan Thailand" jawab Tobeng.
Aku tabik si Tobeng ini. Dalam tidak ke sekolah, dia sanggup bawa kamus, baca akhbar The Star.
"Habis apa masalahnya?"
"Inilah masalahnya dengan negara kita!" tegas Tobeng. Mula bersuara seperti orang politik yang suka angkat tangan masa bercakap.
Tobeng terus bercerita melihat aku diam. "Kau tahu?" soalnya. Aku diam. Dan dia terus menyambung. "Kita beli gula dari Brazil sebanyak 509,000 tan metrik atau 41 peratus. Beli dari Australia sebanyak 448,000 tan metrik dan beli dari Thailand 174,000 tan metrik,"
Aku termenung. Betul juga kata wak Mat, wak Tapa dan wak janggut dulu yang bersungut pasal kebodohan orang kita.
"Cuba engkau komen sikit!" tiba-tiba Tobeng minta aku jadi orang ekonomi ulas serba-sikit tentang masalah gula ini.
Aku pun apa lagi. Dah lama tak mengulas, pelawaan Tobeng aku sahut.
"Engkau tahu Tobeng!" aku mulakan ulasan. "Kesilapan telah berlaku. Masalah gula ini, sebenarnya memerlukan keazaman orang politik atau pentadbir untuk mengatasinya."
Muka Tobeng ceria. "selagi kita tak ada azam untuk menghasilkan gula sendiri, selagi itulah kita akan menjadi hamba kepada perdagangan antarabangsa. Selagi itulah kita akan dibeban oleh harga mahal dan kerajaan pula akan merungut sebab terpaksa mengeluarkan subsidi,"
Tobeng terus bertanya. "Apa mesti kita buat sekarang?"
"Sepatutnya kerajaan kena galakkan penghasilan tebu dalam negara untuk diproses menjadi gula. Walaupun pakar pertanian sebelum ini kata tebu kita tak dapat hasilkan gula bermutu, aku rasa itu hanya kata-kata orang Melayu yang malas dan hanya mahu mencari alasan. Kalau kita boleh buat kereta dan boleh hantar orang pergi ke angkasa, mustahillah nak proses gula bermutu pun tak boleh. Apa fungsi kementerian pertanian, apa fungsi Mardi?
"NEGARA kita masih banyak tanah terbiar. Kalau kerajaan lantik 1,000 kontraktor tanam tebu di seluruh negara menggunakan tanah terbiar atau tanah rizab atau tanah yang disewa, aku rasa gula tak jadi masalah. Satu kontraktor mungkin boleh usahakan 100 hektar dan kalau satu kontraktor boleh gajikan 20 pekerja, 1,000 kontraktor akan membuka peluang pekerjaan kepada 20,000 rakyat negara ini. Itu kalau dikira dari segi membuka peluang pekerjaan.
"Kalau kata kilang tak ada, bohong. Kilang MSM ada Chuping ada, CSR ada dan Felda pun ada kilang proses gula. Bukankah ini kerja senang," aku ulas panjang. Tobeng terdiam mengangguk.
Aku sambung lagi. "Kalau sikap hanya suka mengimport, apatah lagi barangan makanan keperluan, sampai bila kita tak dapat selesaikan masalah rakyat. Pada masa sama kita hanya untungkan orang tertentu sahaja yang dapat permit import gula. Sampai ada di antaranya kita gelar Raja Gula. Ketika dia digelar Raja Gula, berapa juta rakyat menderita dapat gula mahal dan kerajaan pula kena bayar subsidi?
"Aku hairanlah Tobeng! Kita tak pernah kelihatan mahu berazam bersungguh-sungguh. Tuhan dah bagi tanah subur kita masih nak tadah tangan dari negara luar dapatkan gula. Cuba kau lihat pentadbir Singapura. Dia tak ada sumber air, tapi dia berazam tinggi untuk bantu rakyatnya. Sebab itu dia hasilkan air minuman dari kitar semula. Itu negara yang Tuhan tak bagi banyak sumber mentah. Kita ni, negara yang Tuhan bagi sumber mentah begitu banyak.
"Tobeng!" Aku jerkah Tobeng yang mula menitis air liurnya.
"Kenapa?" dia bersoal.
"Selagi mentaliti kita macam ini, minta maaflah kita tak akan sampai ke mana? Sepatutnya kita dah jadi negara kaya raya dan rakyat senang lenang. Tapi kenapa macam ni? Sampai ada menteri kata kita hampir bangkrap. Aku sedih!!!!!!"
Tobeng bangun bercekak pinggang. "Kau tahu tak. Mustapha kata penyelesaian terbaik jangka panjang masalah gula ini ialah untuk menarik subsidi secara berperingkat dan tentu harga gula tempatan dan antarabangsa tidak akan berbeza lagi!"
Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Subsidi, subsidi, subsidi. Aku marahkan diri aku sebagai orang Melayu kerana menyebut perkataan subsidi yang sepatutnya tak ada dalam kamus ekonomi di tanah airku yang subur dianugerahkan Allah ini.

DEMIKIANLAH SEBAHAGIAN DUKA MELAYU!

Saturday, June 12, 2010

MENGENANG BODOI

Bodoi menangis terisak-isak sampai kelopak matanya bengkak. Telah lebih dua jam dia menangis. Kata Kiah, bini yang Bodoi nikah lebih 25 tahun lalu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, macam itulah perangai Bodoi.

"Kadang-kadang tengah tidur boleh menangis. Boleh dengar dia terisak-isak!" Kiah gigit bibir bawahnya yang lebam tak bergincu. "Angin juga saya asyik macam ni. Dah puas berubat. Bomoh jumpa, doktor jumpa. Perangainya macam itu jugak!" sambung Kiah, lalu angkat punggungnya menuju ke dapur.

"Abang layanlah dia tu. Saya buatkan air!" Kiah berpaling dan bergerak tapi tidak nampak lagi punggungnya berombak. Yang kelihatan hanya papan-papan nipis yang senget-menget diheretnya.

Puas aku bertanya Bodoi, apa sebabnya dia menangis. Tapi Bodoi macam budak-budak. Kawan lama yang begitu akrab dengannya ini tidak dipedulikannnya. Apa yang aku tanya, dia jawab dengan jeling dengan geleng.

"Kau kena berubat Doi!" aku saja-saja cadangkan. Entah dia faham atau dengar, aku tak pasti. Tapi yang jelas, Bodoi hanya gelengkan kepala. Beberapa ketika, barulah isaknya reda.

"Hahh..macam tulah dia bang!" Kiah meletakkan cawan kopi pekat atas meja. "Nangis tak ikut masa. Nangis tak tentu pasal!" bebel Kiah aku telan dengan penuh faham. Mungkin Kiah penat. Sakit Bodoi telah menyebabkan Kiah terpaksa menoreh getah belakang rumah mentuanya. Harapkan Bodoi, Kiah boleh tak makan dengan anak-anak.

Setengah jam di rumah Bodoi, aku melihat seorang kawan yang tidak serupa dulu. Dulu Bodoi ceria dan peramah. Dia kuat dan cekal hati. Tapi kini Bodoi bagai budak kecil. Dia tak mampu mengurus fikiran dan perbuatannya. Sehari-hari kerjanya menangis terisak-isak. Aku angkat tangan bersyukur kepada Allah. Walaupun didepani ujian, aku tidak sampai diletakkan Tuhan dalam keadaan Bodoi.

Sebelum balik, aku genggam tangan Bodoi. Dia hanya pandang muka aku seperti orang belum kenal. Dalam genggaman itu aku selitkan RM20. Itu sahaja yang aku ada, bisik hatiku. Kita pun sama Bodoi, hatiku berkata lagi.

"Semoga engkau sempat mengikut jejak langkahku untuk memulakan perjalanan hidup baru walaupun kita semakin dekat dan menghampiri waktu senja. Moga Allah selamatkan kita" aku sempat tuliskan pada kertas kecil dan aku tinggalkan di atas bantal yang selalu dipeluk Bodoi ketika dia menangis.

Melangkah keluar dari rumah sahabatku itu, aku tinggalkan dua tiga titis air mata di tangga batu.

TIPS LULUS UJIAN UNDANG-UNDANG BERKOMPUTER

Gagal dalam ujian undang-undang berkomputer? Jangan salahkan diri sendiri. Saya pernah bertemu seorang calon lesen memandu yang gagal lebih 30 kali ujian ini, tetapi selepas lebih dua tahun dia lulus juga.

Kegagalan seseorang dalam ujian ini sebenarnya banyak berpunca daripada kegagalan memahami tujuan sebenar ujian itu diadakan. Sebenarnya, jika calon fokus terhadap semua topik yang diterangkan dalam kelas KPP, iaitu ceramah pertama dihadiri dalam proses mendapatkan lesen belajar memandu atau learner driving licence (LDL), semua soalan mudah untuk dijawab.

Ujian ini dikenakan ke atas setiap calon antaranya bertujuan, memastikan mereka faham dan jelas tentang peraturan di jalan raya, terutama membabitkan peraturan asas seperti fungsi papan tanda.

Antara soalan mudah yang sering gagal dijawab calon ialah tentang tempoh lesen L. (Jawapan sebenar ialah 2 tahun atau 24 bulan, iaitu mesti diperbaharui setiap 3 bulan sekali).

Soalan lain ialah tempoh lesen P atau lesen percubaan. (Jawapanya ialah 2 tahun) Selepas dua tahun pemegang wajib menukar kepada lesen kompeten atau dipanggil CDL. Soalan mengenai umur kelayakan memohon lesen memandu iaitu 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta juga mesti diingati.

Kadar alkohol dalam nafas, darah dan air kencing juga mesti diketahui oleh calon kerana soalan ini dianggap lazim. Begitu juga soalan tentang kaedah pemanduan di jalanraya, ketika memasuki bulatan, menaiki bukit atau juga kaedah selamat menunggang motosikal. Langkah-langkah perlu diambil ketika berdepan kecemasan dan kefahaman tentang tayar kenderaan. Kurang angin atau terlebih angin.

Papan tanda dan isyarat yang merupakan soalan peringkat A di dalam ujian ini, sepatutnya djawab dengan tepat oleh setiap calon. Ini kerana ia amat mudah untuk dijawab, seperti papan tanda dilarang berhenti. Soalnya, bersediakah calon untuk membaca buku rujukan.

Perlu diingat, lulus dalam ujian ini, bukan bermakna anda akan diiktiraf sebagai pemandu yang cekap, tetapi hanya bermaksud anda telah mulai faham tentang asas-asas di jalan raya. Namun, jangan pula bersikap terlalu yakin. Faktor sikap terlalu yakinlah yang sering menyebabkan calon kandas dalam ujian undang-undang.

Friday, June 11, 2010

TERIMA KASIH EN MD SOLEHAN DAN PUAN JAINISIAH

Awal pagi menguruskan remaja 21 tahun, Noraidah Baharin, mengemukakan permohonan ketiga mendapatkan Mykadnya. Berita mengenainya tersiar dalam Berita Harian 9 Jun 2010. Tengah hari tersiarnya berita itu, 3 pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Seremban, berkunjung ke rumah nenek remaja itu.

Jam 9 pagi bergerak ke Seremban, namun berlaku salah faham dalam komunikasi apabila Noraidah tidak memaklumkan menerima panggilan telefon yang meminta dia terus ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya. Kami pun berpatah semula ke Putrajaya. Namun kami sempat menemui dua pegawai di pejabat JPN Seremban dan berbincang hampir setengah jam.

Di Putrajaya, saya dilayan oleh beberapa pegawai bahagian perhubungan awam, diketuai Pegawai Perhubungan Awamnya, Jainisah Mohd Noor. Sedikit tegang apabila saya sedikit emosional dalam mendapatkan jawapan kenapa masalah remaja berkenaan berterusan. Namun, Janinisiah walaupun dari riak mukanya sedikit kurang senang dengan provokasi saya, dapat menahan perasaan dan menjelaskan bahawa JPN memang memerlukan salinan sijil nikah ayah Noraidah yang disahkan oleh kedutaan Indonesia. Saya menerima alasan diberikan Jainisiah selepas beliau menghuraikan secara panjang lebar. Secara ikhlas, beliau patut diberi pujian kerana bersedia dengan jawapan dalam menyurai dan menguruskan krisis membabitkan pelanggan sebegini.

Pengetahuannya, selepas saya uji dengan soalan-soalan provokasi ternyata matang dan berisi. Sebagai PRO sebuah jabatan kerajaan, PM pun saya rasa akan berbangga mempunyai seorang pegawai seperti Jainisiah.

Beliau kemudian, mempertemukan saya dengan Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Md Solehan Mohd. Seorang lagi ketua bahagian yang perlu diberi pujian kerana tidak sepatah perkataan beliau pun yang berunsur api. Beliau tenang, matang dan memang layak menjunjung jawatan yang diberikan. Terima kasih kepada beliau dan Jainisiah. Selepas saya serahkan salinan cabutan sijil nikah ayah Noraidah yang ditemui beberapa hari lalu, Md Solehan memberi jaminan akan mengemukakan semula permohonan itu kepada panel mesyuarat untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Terima kasih juga penolong pegawai bahagian siasatan JPN bahagian Seremban, Najib dan Zul Helmi. Anda boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa banyak berkira dan inilah bukti sebenarnya bahawa pegawai kerajaan boleh memenuhi kehendak rakyat jika mereka bersedia untuk berlapang hati dalam menangani sebarang masalah.

Saya berharap, masa depan Noraidah akan kembali cerah dan pertimbangan JPN tentunya didahului dengan doa-doa yang sentiasa basah di lidah anak malang itu kepada mereka yang telah berlapang hati membantunya.

Thursday, June 10, 2010

SEMBANG MAT RONGAK

Telah mulai bersuara. Pimpinan sama ada dari PR atau BN, sama sahaja. Hanya 20 peratus lulus kalau diukur menggunakan skala ujian. BN kebanyakannya Melayu. PR juga banyak yang Melayu. Kesimpulannya, Melayu gagal menjadi pentadbir yang cemerlang. Persoalannya, benarkah?

Lihat Selangor. Lihat Perak atau Negeri Sembilan. Kata orang, apalah sangat yang dicapai oleh kesemua negeri itu. Selangor ditadbir oleh PR. Negeri Sembilan oleh BN. Perak pula, ditadbir oleh BN selepas PR.

Duduk menghirup kopi pekat, bercerita hal politik sesama kami yang tidak bersekolah, tersasul juga menyebut. Sejak kebelakangan ini banyak sangat duka orang Melayu tercetus. Misalnya, cakap menteri boleh berbalik-balik. Nak bagi 40 peratus kepentingan kepada bangsa asing. Kononnya, hanyalah cadangan. Banyak orang tersilap faham. Begitu juga soal lesen judi bola. Selepas beriya-iya Vincent Tan menangkis serangan orang yang bantai fasal hal judi itu, aleh-aleh dengar kata lesen judi belum lulus. Tapi begitukah cerita sebenarnya?

Mat Rongak tiba-tiba gatal mulut menyeringai dan mengeluarkan carut politiknya. "Kau orang tahu tak? Kenapa Singapura jadi negara maju? Kenapa Pulau Pinang maju lebih dari Perak atau Johor?"

Aku dan wak Tungau menyengih cuba mencari jawapan. Tapi macam biasalah. Manalah orang tak sekolah macam kami tahu mencari jawapan kepada soalan itu. Mat Rongak pun hampir angin satu badan seperti berasa cakap-cakapnya tak ingin dilayan.

"Kau orang bangang ke?" jerkah Mat Rongak. Air liurnya tersembur. "Soalan mudah pun tak boleh nak jawab! Sebab Singapura ditadbir bangsa asing. Sebab Pulau Pinang ditadbir bangsa asing! Orang Melayu ni sengal!"

Dan tak sampai seminit, kekeh kami macam kokang terpijak kulit buah temponek. Berdecit-decit, lalu mat Rongak menyambung lagi. "Semalam aku baca dalam Harian Metro, Datuk Muhamad Ali, bos KPJ tu cakap mahu lihat lebih ramai peniaga Melayu jadi macam Robert Kuok dan Ananda Krishnan!"

Aku dan wak Tungau pun apa lagi. Tekan perut ketawa terbahak-bahak. Mat Rongak cerita pasal ekonomi daaa! Ketawa lagi dan tekan perut lagi. Sampailah Mat Rongak merayu tolong jangan ketawakan dia sebab dia mahu lepas gian mahu bercakap macam pakar ekonomi Melayu yang banyak sangat cakap dalam media di negara ini.

Kasihankan Mat Rongak, aku dan wak Tungau ampunkan sahaja keterlanjurannya mahu melepas gian. Kami pun beri lampu hijau. Cakaplah Mat Rongak! Cakaplah apa sahaja asal jangan cakap dia bawa kami masuk sekali ke dalam ISA!

"Robert Kuok tu orang kata raja gula. Malaysia pula, kalau tanam tebu boleh hasil gula sendiri, boleh eksport, boleh wujudkan peluang kerja, boleh buat orang Melayu miskin jadi kaya. Tapi gula dengar khabar ada sistem jualannya. Kena permit eh? Jadi masalah gula macam segenggam garam, tabur pada luka orang Melayu sendiri."

"Ananda Krsihnan tu pula aku tak dengar pula gelarannya. Tapi aku ada baca sikit-sikit dalam tulisan AKadirJasin dulu!"

Cepat-cepat aku buka mulut, lopongkan seluas-luas. Dasyat juga Mat Rongak, fikirku. Kalau tulisan AKadirJasin dia baca, kami apa lagi. Tentulah tertinggal kebelakang.

"Apa KadiaQ tulis?" aku umpan nak tahu.

"Aku tak nak sebut apa AKadirJasin tulis dalam suratkhabar dulu. Cuma aku nak bagitau, aku ada baca tulisan orang yang bagitau peniaga bangsa asing macam Ananda Krishnan berjaya kerana turut terima bantuan kerajaan. Bukan semata-mata kerana usaha sendiri. Dasar kerajaan turut membantu mereka. Mereka dapat tongkat juga!"

"Habis engkau cemburu ke?" aku tanya.
"Tak!" Mat Rongak jawab.
"Habis tu?"
"Aku kasihan melihat duka orang Melayu di negara ini!"
"OK. kau sambunglah berucap," aku melopongkan mulut.
"Dah lebih 50 tahun merdeka, kita macam tak maju-maju. Ada cakap nak muflis, tapi PM kata tak jadi. Singapura, maju selepas keluar dari Malaysia. Rakyat dia sikit, negara tak ada komoditi macam getah, kelapa sawit dan gula, tapi urusan gula, tepung dan minyak masak mesti melalui negara mereka.
"Itu belum kira sayur, buah dan apa macam makanan yang dunia tengok macam Singapura yang keluarkan. Aku sedih!"

"Sebab apa?"
"Sebab negara kita subur. 50 tahun diberi masa untuk tadbir janganlah sombong sebab dah buat kereta. Itu pun ada kereta yang mini macam Alphard. Engkau tahu kereta apa? Kereta Juara! Tapi Singapura maju gila babi dari kita. Orang kata, kenapa jadi macam itu. Apakah masa 50 tahun belum cukup untuk kita cemerlang. Atau orang Melayu ni memang pemalas? Atau pemimpin Melayu belum jumpa kaedah atau formula macam mana nak majukan negara?"

"Oppss...jangan lebih-lebih Mat. Cakap kau tu dah macam terbabas!" aku mengingatkan. Mat Rongak pun tunduk lalu diam.

"Yalah...yalah...kang aku cakap lebih, kena tangkap. Minta maaflah. Tapi tujuan aku suci. Aku nak Malaysia maju. Aku nak Melayu maju. Tapi tengok cara akhir-akhir ini, boleh ke kita capai impian itu?" tanya Mat Rongak menitiskan air liurnya dua titik titik.

bersambung.......

Wednesday, June 9, 2010

ADA NAMPAK GERAKNYA

Alhamdulillah, selepas berita keluar di Berita Harian hari ini, nasib duka seorang anak Melayu berusia 21 tahun yang terseksa kerana hanya memiliki sijil kelahiran tanpa Mykad mula diberi perhatian.

Dua pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Seremban, berkunjung ke rumah nenek remaja itu, Pesah Said di Port Dickson hari ini, memaklumkan supaya datang ke pejabat JPN Seremban Jumaat ini.

Jika ini dikatakan tindakan dari hati lapang dan fikiran matang, Allah akan memberkati mereka yang membantu merawat duka anak Melayu ini.

Kasihanilah dia dan kalau boleh letakkan diri kita di dalam setiap detik kesedihannya. Dia anak Malaysia sekurang-kurangnya memohon simpati agar haknya dikembalikan. Ya Allah, permudahkan urusan semua yang terlibat cuba membantu.

BANTULAH ORANG MELAYU

Orang Melayu banyak sangat masalah sekarang ini. Bantulah mereka, terutama dalam bidang ekonomi. Mereka hanya akan berjaya jika dibantu kerana termaktub dalam fasal 153 perlembagaan, hak keistimewaan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan pelajaran khususnya adalah terjamin.

Jangan biarkan Melayu merempat hanya kerana mereka tidak suka memprotes. Jangan menunggu sehingga mereka bersuara. Ketika kita membantu bangsa lain, jangan lupa bangsa Melayu. Ada hanya berpendapatan RM600 sebulan, sedangkan itu jauh lebih rendah daripada taraf seseorang dikatogerikan sebagai miskin.

Mahu dibiarkankah mereka? Atau kita mahu menunggu mereka membawa tempurung memanjat tangga ke tangga meminta belas kasihan.

Bangkitlah pusat Zakat, JKM dan wakil rakyat yang diberi undi dengan harap untuk membantu Melayu ini. Jangan beri alasan konon tidak tahu. Itu menunjukkan anda tidak membuat kerja atau turun ke padang. Menjadi orang diberi kuasa bermakna anda kena mempertajamkan telinga, melebarkan lagi bukaan kelopak mata dan melajukan langkah menyusur kawasan anda.

Jangan ditanyakan adakah orang Melayu susah? Siapa? Kat mana? Susah macam mana? Kenapa tak jumpa kita? Kalau macam itulah, tunggu pilihanraya akan datang!

Duka orang Melayu mesti dirawat secara berhemah. Dukacita kadangkala membuat orang Melayu sanggup berpatah arang.

Tuesday, June 8, 2010

DUKA MELAYU LAGI

Ini duka Melayu lagi. Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an, saya panggil Mr X telah berkahwin, mempunyai beberapa anak. Lulus SPM agak cemerlang juga. Zaman keputusan SPM guna gred. Dia dapat gred satu. Kalau zaman dia dulu, senang-senang masuk universiti. Sebahagian besar rakan-rakan zaman persekolahannya dulu yang kurang cemerlang pun layak ke ITM (UiTM). Tapi dia anak keluarga miskin. Kais pagi makan pagi. Tapi ada duka dibawanya sejak dulu, kenapa dia belajar hanya setakat itu.

Tamat SPM, dia pun mohon kerja. Lepas susah payah jadi kuli kontrak, tukang angkat bakul sayur di pasar, dapatlah pula kerja kilang. Dia tekun dan kini alhamdulillah dia pasrah dengan kehidupannya.

Tak siapapun cuba masuk ke dalam hatinya memahami sebuah duka orang Melayu. Saya menitiskan air mata. Ayahnya seorang Melayu warganegara, ada kad pengenalan. Ayahnya berkahwin dengan wanita Indonesia. Dan di situlah duka bermula. Mr X dilahirkan di Negeri Sembilan. Oleh kerana ibunya tidak mempunyai dokumen dan atas kebodohan ayah barangkali, berlakulah kesilapan. Mr X dikatakan lahir di negara seberang.

Kemudian berlangsung kehidupan. Mr X pun memohon kad pengenalan merah (pemastautin tetap). Kerajaan luluskan dan sehingga kini dia hanya memiliki kad pengenalan pemastautin tetap.

Berpuluh tahun dia mencuba mendapatkan haknya untuk memohon Mykad tapi gagal. Banyak orang politik janji membantu, tapi terima kasih sajalah sebab semuanya mungkin tak ikhlas, sampai sekarang tak berjaya.

Saya lihat merit kenapa dia boleh mendapat kad pengenalan atau MYkad adalah kerana dia dilahirkan di negara ini. Cuma kesilapan komunikasi menyebabkan daftar kelahirannya bercanggah. Ayahnya masih ada di negara ini. Ayahnya warganegara. Secara logik tentulah anak juga dapat kewarganegaraan. Malah, semua lima adik-beradiknya yang lain juga memiliki Mykad. Kenapa tidak dibuka Allah hati orang yang melihat permohonan Mr X ini supaya berfikir dengan lapang. Sememangnya atas nama Allah, saya percaya dan tahu dia lahir di negara ini. Semua keluarga dan waris terdekat, termasuk ayah, bapa saudara, datuk, nenek dan jiran sekampung masih hidup (bidan yang menyambut kelahirannnya dulu telah meninggal dunia).

Kenapakah duka-duka begini masih disajikan kepada yang empunya hak. Kenapa duka orang Melayu ini tidak dipujuk dengan segera oleh pertama, kerajaan. Kedua Umno. Ketiga, pemimpin Melayu.

Duka Melayu berterusan dan selagi saya hidup, saya akan tuliskan satu persatu setiap hari duka-duka yang saya kutip ini. Sekurang-kurangnya saya mengongsi duka ini dengan kesedaran betapa sulitnya Melayu dan jadi Melayu. Biar saya mati bersama duka orang-orang Melayu.

SATU LAGI DUKA MELAYU

Satu lagi duka orang Melayu. Gara-gara tidak berpuas hati, seorang pesakit yang mendapat rawatan komplimentari dari seorang pengamal perubatan Melayu di Kota Kemuning, Shah Alam membuat sidang akhbar bersama pemimpin parti sebuah politik bukan Melayu.

Maka, aduan dan ketidakpuasan hatinya pun disiarkan dalam beberapa akhbar Cina dan berbahasa inggeris, kononnya dia berasa tertipu dengan rawatan yang dijalaninya walaupun dikatakan telah membayar sekitar RM4,000. Pengadu bukan orang Melayu dikatakan mengidap penyakit kronik tahap 4 dan telah pun menjalani rawatan di hospital sebelum ini.

Namun kerana ingin mencuba, dia beralih selera dengan harapan penyakitnya dapat dirawat dan sembuh. Pertamanya, dia datang ke pusat rawatan itu dengan keizinan hatinya sendiri. Tiada paksaan sebenarnya bagi sesiapa untuk mendapatkan rawatan komplimentari itu. Kalau mahu diikutkan, pengamal perubatan tradisional itu bukan baru dalam bidangnya dan pernah merawat pesakit termasuk dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Malah, bukan cerita bohong bahawa sebahagian pesakit yang datang ke situ telah sembuh, walaupun realitinya sebelum itu doktor perubatan moden telah gagal merawat penyakit yang mereka hidapi.

Bayaran yang dikenakan pula lebih murah daripada bayaran dikenakan oleh hospital swasta. Bukan rahsia juga, ada pesakit datang seawal jam 4 pagi menunggu untuk mendapatkan rawatan manakala yang lain turut memperkenalkan rawatan komplimentari itu kepada rakan-rakan dan sanak saudara selepas terbukti sembuh penyakit mereka. Ini isyarat menunjukkan keyakinan mereka amat tinggi terhadap keupayaan pengamal perubatan itu.

Namun dalam hal pesakit yang tidak berpuas hati tadi, dia membuat aduan kerana penyakitnya tidak sembuh selepas dia kembali semula ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Ya, keadaan ini boleh berlaku. Dalam apa kerja sekalipun tidak ada kesempurnaan. Hospital sendiri tidak menjamin 100 peratus pesakitnya dapat dirawat dan sembuh. Kalau boleh sembuh semuanya, tidak adalah yang datang berjumpa pengamal tradisional itu termasuk beberapa kes yang datang dengan menggunakan khidmat ambulans kerana terlalu tenat dan nazak.

Demikian satu lagi duka orang Melayu. Kejayaannya, cuba dicemar oleh rasa kecewa segelintir pesakitnya. Bayangkan kalaulah pesakit itu berjaya sembuh dari sakit kronik tahap 4 yang dihidapinya itu. Adakah dia akan memanggil pemimpin parti bukan Melayu mengadakan sidang akhbar untuk menghebahkan kecemerlangan seorang pengamal perubatan komplimentari Melayu? Belum tentu dan hampir mencecah darjah tidak mungkin!

Namun kepada pengamal perubatan tradisional itu saya berharap, teruskan khidmat anda walaupun akan ada pemeriksaan dari mana-mana agensi kerajaan. Buktikan anda di pihak yang benar. Barangkali menyusun semula organisasi rawatan anda dengan memiliki pegawai perhubungan awam dan seorang peguam syarikat akan melancarkan lagi khidmat yang diberi. Dalam hal ini, profesionalisme amat penting.

Semoga duka ini tidak berterusan. Hal yang baik bak intan, terbenam jauh sekalipun ke dasar lautan, sinarnya tetap nampak. Bagai benih yang baik juga. Tercampak ke laut menjadi pulau, terdampar di gurun menjadi danau.

Monday, June 7, 2010

TAHNIAH BRIG JEN ISMET NAYAN ISMAIL

Tahniah kepada Brig Jeneral Ismet Nayan Ismail di atas pengurniaan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Yang DiPertuan Agong sempena sambutan keputeraan rasmi baginda semalam.

Moga dengan pengurniaan ini melonjakkan semangat dan menyuntik kekuatan baru untuk berdiri sebagai Panglima Briged 10 Para, Kem Terendak Melaka.

Anda sebahagian daripada putera 78-80 yang cemerlang. Terima kasih juga di atas kesudian menziarahi saya ketika diuji Tuhan baru-baru ini.

Salam maju jaya.

JANGAN JADI PENUNGGU.

Untuk menjadi wartawan, anda harus mencari berita. Bukan menunggu berita. Jika anda jadi si penunggu berita, berita yang anda siarkan adalah berita-berita bersifat hantu nilainya. Ini sebahagian daripada pandangan saya terhadap dunia kewartawanan.

Dalam keadaan dunia semakin rencam dan kehidupan bertambah kompleks, pembaca menunggu berita yang tidak pernah terfikir di akal, tak terjangkau dek fikiran. Tetapi ini tidak bermakna cerita bersifat fantasi yang mereka mahu. Mereka mahu anda menyiasat dan menyajikan berita yang orang belum pernah tahu atau terhidu mengenainya!

Jangan terikut-ikut anekdot anjing gigit orang bukan berita, tapi orang gigit anjing baru berita. Kini, anjing dan orang sama-sama gigit dan berkongsi makanan lebih baik nilainya.

Fikir-fikirkan.

NASIB ORANG MELAYU MEMANG MACAM INI

Pagi ini menguruskan satu kes remaja perempuan berusia 21 tahun yang ada sijil kelahiran tapi sekarang tiada kad pengenalan. Bukan kerana apa, hanya kerana ayah dan ibunya telah menghilangkan diri di negara jiran.

Usaha telah dilakukan untuk memohon MyKad menerusi nenek dan ibu saudara remaja itu (adik ayahnya) namun Jabatan Pendaftaran mahukan sijil nikah bapanya. Kalau boleh mahu bapanya datang, sedangkan hal itu adalah sesuatu yang sukar dan hampir mencecah darjah mustahil.

Peliknya, sijil kelahiran remaja ini tertera jelas ayahnya seorang warganegara Malaysia, mempunyai kad pengenalan, dan dia pula dilahirkan di Hospital Daerah Port Dickson. Laporan kelahirannya pula dilaporkan oleh datuknya, yang juga warganegara Malaysia.

Cuma menjadi masalah sebelum ini ialah, walaupun bapanya warganegara, ibunya seorang rakyat asing dan bila perkahwinan berlaku, hal membabitkan soal teknikal mengenai butiran dalam sijil kelahiran pun berlaku. Anak dituliskan sebagai tidak diketahui taraf warganegaranya.
Maka membesarlah anak tanpa sekolah dijaga oleh neneknya. Bila mendapat peluang bekerja, soal kad pengenalan menjadi halangan. Dia sukar memohon kerja, sukar membuka buku akaun bank dan paling sukar ialah kerap terkeliru apabila ditahan pihak berkuasa.

Masalah ini mungkin boleh dipandang sekali imbas sahaja oleh pelbagai pihak, namun saya melihat ia adalah soal hak dan tanggungjawab. Andai telah jelas ada sijil kelahirannya di negara ini, jelaslah dia seorang warganegara. Apakah untuk memohon Mykad mesti dengan kehadiran sijil nikah dan tubuh badan bapanya, sedang nenek remaja itu sedia memohon bagi pihaknya. Bukankah nenek atau ibu saudaranya waris remaja itu? Malah, dalam sijil kelahiran juga tertera nama datuknya, siap dengan warganegara dan nombor kad pengenalan.

Soalan saya kenapa susah sangat sehingga menyeksa kehidupan seorang remaja. Kenapa susah sangat sedangkan ada kes membabitkan warga asing yang tidak lahir di negara ini sedang bersenang-lenang di negara ini selepas memperolehi taraf pemastautin tetap atau lebih seronok lagi diluluskan permohonannya mendapatkan Mykad.

Ini adalah sebahagian daripada duka orang Melayu yang sering saya tuliskan. Duka orang Melayu tak siapa pun tahu. Orang hanya tahu menyalahkan orang Melayu apabila orang Melayu mula bersifat protes dan membenci. Maafkan saya.

Sunday, June 6, 2010

DOKTOR MLM

Satu hal orang Melayu ni, kalau dah mula mabuk MLM naik pening tengok gelagat dia orang. Mulalah siang malam redah cari siapa-siapa sakit. Dengar saja ada orang sakit, terus tuju rumah orang tu. Konon, produk MLM lebih baik dari ubat.

Kasihan tengok, sebahagian anak Melayu yang dilambung-lambung emosi mereka oleh pemilik syarikat bangsa asing khususnya. Meredah hujan panas, tak kira siang dan malam. Bila dapat peluang jumpa orang sakit mulalah berkempen macam-macam.

Ada kempen kata, kalau tak makan produk dia, susah nak baik. Ada pula kata, produk dia semuanya herba. Sumpah, katanya tak ada dadah. Tapi pelik, bila tanya ada di antara yang jual produk tu SPM pun biologi tak ambil tapi cerita macam doktor pakar. Kata, produk MLM dia jual dah sembuhkan banyak orang.

Adalah pengalaman saya. Datang si mamat dan si minah ni. Sudahlah jam hampir 12 malam, saya layan juga. Adakah patut dia kata, saya ada tiga penyakit. Penyakit saraf, kencing manis dan tulang rapuh. Aduh!

Aduhh!! Saya tanya si mamat yang celupar. Macam mana dia tahu. Dia kata, tengok saja dia dah tahu. Aduhh!! Saya tanya lagi. Kalau macam itu, apa perlu saya buat. Dia cepat-cepat jawab. Abang makan produk ni, ambil selama 3 bulan. InsyaAllah katanya.

Aduhh!! saya bukan risaukan 3 penyakit yang dia bagitau itu tapi saya risau macam manalah kalau ada orang lain yang terpedaya dengan cakap-cakap 'doktor' MLM ni. Sebenarnya, saya tak ada pun kencing manis, tak ada pun tulang rapuh. Cuma adalah sikit-sikit sakit saraf. Itupun keluar dalam suratkhabar.

Saya mohon anak-anak Melayu, jangan terlalu emosi menjalankan perniagaan MLM. Ingat sama, apakah kita dipergunakan atau tidak. Ingat. Bangsa asing bijak memanipulasi emosi orang Melayu sehingga mereka dapat juta-juta orang Melayu dapat penat!

JADILAH AKHBAR YANG BETUL-BETUL AKHBAR

Akhbar harus menjalankan tugas menyalurkan maklumat lebih daripada tanggungjawab membela keburukan 'penanggung' kerana lambat-laun, keburukan yang ditutup akan terhidu juga bau busuknya. Dan ketika itu, masalah bersubahat akan bertambah menjadi masalah lain yang lebih tenat. Dikritik, dicerca dan ditunjal jari orang ke dahi kita.

Sebaiknya, walaupun pentadbir akhbar tidak mampu berdiri secara sempurna sepenuhnya ia wajar mencuba untuk menjadi seadil mungkin demi memenuhi tanggungjawab kepada pembaca. Tanggungjawab kepada majikan adalah bersifat komersil dan tanggungjawab kepada politik pula bersifat ikut-ikut. Namun yang paling penting adalah tanggungjawab kepada pembaca (termasuklah negara dan agama). Tanggungjawab ini bersifat wajib kerana merekalah sasaran yang harus menerima maklumat daripada akhbar. Maka, jika dalam menjalankan tugas menyalurkan maklumat ini, kita belot kerana adanya kekangan atau kepentingan tertentu, maka kita telah melakukan kesalahan.

Jangan jadikan matlamat menghalalkan cara sebagai topeng pada setiap perbuatan. Akibatnya nanti seperti barah. Datang perlahan, tapi pergi begitu pantas membawa tuan punya diri.

Beranilah berkata tidak dan bersungguhlah berkata ya. Jangan jadikan akhbar kita sebagai majalah sekolah atau lembaran-lembaran iklan yang memuji produk sendiri semata-mata untuk keuntungan.

Mustahil kita tidak melihat apa kesilapan kita. Tapi jika benar tidak mengerti kesalahan kita benarlah kata pepatah. Maka, elok kita membeli cermin dan bercermin melihat wajah kita yang selalu sangat berkata aku betul ketika menjalankan tugas ini.

LESEN MEMANDU

DAPATKAN LESEN MEMANDU. BERKALIBER DAN MEMUDAHKAN DI SEKITAR SHAH ALAM SAHAJA.

HUBUNGI EN ZAIDI :014 6341444

Saturday, June 5, 2010

PESANAN UNTUK SEMUA

Kalau dalam kilang plastik, dalam gudang kitar semula atau dalam syarikat baik pulih hawa dingin pun ada politik apatah lagi dalam sebuah syarikat yang besar. Syarikat yang tersenarai di bursa saham. Yang mahu naik ke atas, sanggup memijak apa sahaja hatta kepala kawan sendiri agar impian untuk berada di atas akan tercapai.

Demikian sifat manusia yang tak akan berubah sampai bila-bila. Kadang-kala demi mencapai impian itu, tohmahan dan fitnah menjadi sarapan enak di kalangan mereka. Paling penting mereka dapat apa yang mereka mahukan. Cara bagaimana memperolehi impian itu tidak penting.

Maka tidak hairanlah, ada kawan kehilangan kawan walaupun hakikatnya mereka adalah kawan akrab sebelum ini. Hanya kerana salah seorang daripada mereka mempunyai impian terlalu tinggi, hubungan mereka terputus begitu sahaja. Tragisnya, hubungan itu terputus kerana salah seorang daripada mereka menggunakan politik fitnah dan pijak kawan untuk mencapai impiannya.

Namun, apalah makna kejayaan yang dicapai jika yang diperolehi itu sebenarnya dipintal dan diperah dari keringat, air mata dan dukacita kawan sendiri.

Semoga kita belajar daripada pengalaman ini.

Friday, June 4, 2010

LEPAS 50 TAHUN, HASILNYA MUFLIS?

Kita mahu katakan apa kalau kerajaan sendiri mengakui negara akan muflis menjelang 2019 hanya kerana subsidi tidak dihentikan. Mahu apa dikatakan kepada sebuah kerajaan yang telah memerintah lebih 50 tahun, tapi tempoh yang sebegitu lama hanya untuk memastikan negara muflis?

Hilang keyakinan saya kalau beginilah caranya sebuah pemerintahan, menguasai dan mentadbir sebuah negara yang kaya hasil komoditinya, tapi gagal meletakkan ekonomi negara ke puncak sebaliknya terpaksa mengakui sebuah kegagalan.

Ini bukan fitnah politik. Kenyataan negara akan muflis muntah dari mulut dan menjulur keluar dari lidah seorang menteri. Bukan satu tohmahan kalau diandaikan bahawa membawa sebuah negara ke ambang kebankrapan merupakan satu perbuatan orang yang gagal mentadbir.

Sedih, hiba, walang dan lumat hati mendengar bahawa negara akan muflis. Tersentak dan ralat rasanya bila kekayaan komoditi mesti disubsidi dan kemudian subsidi itu pula dijadikan alasan kegagalan ekonomi.

Sebenarnya kita mesti berani berubah. Berani berubah cara kerja dan mengubah sikap kita ke arah mentadbir ekonomi secara betul.

Masih ingat kahak hijau wak mat ketika meludah saya bila saya katakan negara kita muflis sebab subsidi. Sebab beri subsidi kepada gula dan minyak masak akhirnya negara menanggung hutang. Macam torpedo kahak hijau dan sesekali bercampur kuning menerjah sisi kiri dan kanan tubuh saya. Marah benar wak mat.

"Engkau ni bodoh ke bangang?" dia bertempik. "Mana nak masuk akal, gula mahal, minyak mahal lepas tu kerajaan kena bagi subsidi pula? Bodoh ke bingai engkau ni?" soalnya sambil biji matanya membola merah.

Wak mat hanya sekolah tahap darjah tiga. Dia tak akan percaya, sebab tebu boleh campak seminggu belakang rumah tumbuh tunasnya. Kelapa sawit buat minyak masak itu pun katanya macam hutan simpan ditanam di negara ini.

"Sepatutnya, gula paling tinggi pun 50 sen sekilo. Minyak masak pun sama. Sebab kita boleh hasilkan gula dan minyak masak. Kenapa kita nak beli dari luar? Yang aku geram dan geli hati sampai terkencing-kencing ialah kenapa pulak kerajaan kena keluar subsidi?" dia menyoal melepaskan geram.

"Ini mungkin ada kaitan sistem ekonomi, sistem AP gula misalnya wak?" saya menjawab secara bodoh dan secara bangang jugalah dijawab oleh wak mat.

"Orang gila pun kalau macam ini tak boleh rugi. Kita ada banyak duit misalnya. Kita bagi pada anak-anak kita. Lepas tu kita cakap orang kampung, kita dah nak bankrap berhutang sebab bagi duit pada anak-anak sedangkan duit itu bukan kita hutang dari bank. Duit itu kita kumpul bertahun-tahun.

"Aku malulah kalau kata bankrap sebab subsidi. Macam perumpamaan, tak ada beban, batu digalas. Tak masuk akal. Yang kaya orang macam Robert Kuok. Siap bagi gelaran raja gula lagi!" wak mat malas berbalah lagi dan mengatur langkahnya pergi. Tapi sebelum itu dia sempat berpaling.

"Kalau kau cakap lagi negara kita muflis pasal kena bagi subsidi gula dan minyak masak, aku cangkul kepala engkau!" dan serentak itu memancut lagi kahak hijau bercampur kuning. Kali ini kena tepat ke dahi saya.

Mahu saya apakan orang tua itu. Saya tanggalkan baju dan lapkan kahak masin wak mat. Sumpah saya tak mahu berbalah dengan wak mat sebab kahak dia laju bak torpedo. Tapi tak boleh saya salahkan dia, sebab wak mat tak habis sekolah. Sedangkan orang sekolah tinggi pun tak boleh uruskan ekonomi. opppss.

SEKADAR NASIHAT

Ada sahabat jauhkan diri gara-gara tidak sealiran ideologi dan fahaman politik. Saya katakan bodoh buat tindakan itu, dan lebih bodoh apabila memburukkan kawan hanya kerana geram mempunyai kawan yang tidak sealiran perjuangan politiknya.

Saya faham betapa ceteknya kefahaman mereka tentang makna sahabat. Memburukkan kawan sehingga kawan terasa buruk pada kaca mata kawan-kawan yang lain satu perbuatan yang terlalu buruk bagi mereka yang terpelajar.

Nasihat saya pada orang politik dan penyokong parti jangan buat benda yang buruk itu.

KONSISTENSI PENTING BEB

Seorang menteri kata Malaysia akan bankrap menjelang 2019 jika subsidi tidak ditarik balik atau dikurangkan. Mungkin Malaysia akan jadi seperti Greece katanya, yang muflis akibat fenomena yang hampir serupa.

Namun seorang pakar ekonomi kemudian menulis, Malaysia tidak sama seperti Greece kerana Greece 'menipu' fasal kedudukan kewangan untuk duduk sama rendah dalam sistem kewangan Euro.

Kemudian, ada lagi pakar ekonomi setuju Malaysia akan bankrap dan berdepan masalah jika subsidi tidak ditarik segera.

Kemudian, pakar ekonomi yang lain mencelah Malaysia tak mungkin muflis hanya kerana subsidi sebaliknya banyak faktor lain seperti ketirisan dan projek-projek yang melebihi harga atau kos yang menyumbang ke arah bencana itu.

Peliknya semalam, seorang timbalan menteri berkata, Malaysia mustahil akan bankrap walaupun subsidi tidak ditarik balik.

Aduh! Konsistensi dalam ucapan, kenyataan dan keputusan mulai dipertikaikan orang. Hal ini bukan kecil impaknya kerana ia melibatkan isu masa depan negara dan rakyat. Rakyat yang sedia gelisah boleh jadi marah kerana disogok dengan kenyataan yang goyang. Di mana kesilapan kita sebenarnya? Adakah bercakap tanpa fakta atau bercakap di luar fakta atau cakap-cakap kita adalah sesuatu yang dimuatkan di mulut orang lain.

Belum lupa tidak lama dulu. Beberapa undang-undang diluluskan di parlimen antaranya denda melibatkan RM1,000 untuk kesalahan jalan raya tertentu. Sehari dua, kelulusan itu ditarik balik walaupun realitinya ia sudah tentu diluluskan kerana mendapat majoriti wakil kerajaan yang memerintah.

Saya menegur hal-hal tidak konsisten membabitkan kenyataan atau ucapan kepada awam ini kerana ia menggambarkan sesuatu yang tidak konsisten juga dalam cara membuat sesuatu keputusan terutama membabitkan rakyat.

Orang dulu-dulu berkata, fikir dulu sebelum buat. Lebih kurang sama dengan fikir dulu sebelum buang. Isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat bukan demikian cara untuk diuar-uarkan.

Kita seolah-olah memberi senjata dan peluru kepada orang lain untuk menembak dan janganlah pula salahkan orang lain kalau kita sama seperti dikatakan perumpamaan; "Senjata makan tuan". Minta dijauhkan musibah itu dan belajarlah dari kesilapan. Semakin banyak buat semakin banyak salah. Semakin banyak cakap semakin banyak dosa. Ingat pesanan orang tua-tua ini.

Thursday, June 3, 2010

ANAK MELAYU YANG GIGIH

Saya banyak bertemu anak muda Melayu yang gigih. Berniaga dari subuh hingga ke Magrib. Bertahun-tahun menempuh susah payah, tetapi tak pernah kecewa, ralat atau berputus asa.
Mereka tak pernah dikenali oleh pemimpin negara kita, tetapi kegigihan anak-anak muda ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan.


Mereka mewakili generasi yang menafikan bahawa Melayu itu pemalas. Melayu bukan pemalas, tapi kegigihan mereka jarang dberi perhatian.

Salah seorang ialah usahawan yang juga pengajar memandu yang terbabit dalam perniagaan perkhidmatan lesen memandu dan urusan-urusan berkaitan. Namanya Zaidi Samsuri. Awal 30-an, dan telah menjadi pengajar memandu lebih 10 tahun di sekitar Shah Alam.

Hubungi En Zaidi 014-6341444 untuk urusan lesen memandu. Beliau pengajar berkaliber yang bertauliah. Anak Melayu muda wajar mencontohi kegigiha Zaidi ini.

TIPS FOR YOUNG DRIVERS

To all young drivers especially girls who just passed your road test by RTD.

"E" means enough fuel for your car to find the nearest pump station. So, do not panic because your fuel tank actually is not empty. "E" does not stand for empty as always taught by your driving instructors.

Do you know why? This is because if your car is without fuel or your fuel tank is empty, it's engine will stop immediately. My advice is, do not panic. Drive to the nearest pump station steadily. Panic can cause accident.

PEMIMPIN JANGAN JADI BUDAK

Saya tak akan melayan Murugiah kerana dia seorang perosak atau pembelot parti. Demikian kata si D'Cruz yang baru sahaja dilantik sebagai salah seorang timbalan menteri.

Umum faham apa maksud kata-kata D'Cruz yang dikatakan antara pemimpin veteran dalam parti PPP itu. Murugiah yang dimaksudkan tentu sahaja seorang lagi timbalan menteri yang asalnya ketua pemuda PPP tapi dipecat oleh parti berkenaan.

Apa benar atau betul Murugiah itu pembelot atau orang yang merosakkan PPP? Itu tak perlu dijawab kerana ia urusan dalam parti berkenaan. Yang perlu kita jawab dan kita tegur adalah sikap D'Cruz yang seolah-olah mahu bermusuhan dalam barisan kepemimpinan kerajaan yang ada.

D'Cruz kena sedar, faham dan melihat diri sendiri terlebih dulu. Murugiah telah nampak buktinya bekerja untuk kerajaan, sedangkan dia baru sahaja dilantik. Jangan bawa masalah anda ke dalam pentadbiran kerajaan. Masalah anda atau PPP dengan Murugiah soal lain. Soal bekerja untuk kerajaan sebagai timbalan menteri pula hal yang berbeza. Adakah anda akan membiarkan tiada komunikasi anda dengan Murugiah kalau ditakdirkan ada tugas memerlukan anda bekerjasama dengan beliau?

Pemimpin tidak harus menjadi budak kerana pemimpin yang asalnya budak sebelum menjadi dewasa mesti menunjukkan teladan yang baik kepada budak! Budak yang dipimpin akan melihat pemimpin kebudak-budakkan sebagai pemimpin yang tidak boleh memimpin dengan hati telus dan ikhlas.

Perdana Menteri mesti mencatatkan pengakuan luar biasa D'Cruz yang dipetik akhbar ini sebagai satu benda yang tidak boleh dibiarkan. Ketika kerajaan sedang memacu pentadbiran ke depan, jangan ada pemimpin lain bersikap berjalan ke belakang. Soal peribadi atau dalaman parti soal lain.

D'Cruz nampaknya kena perlu banyak belajar untuk menjadi seorang pemimpin. Pertama betulkan cara berfikir dan tanggapan. Selamat menempuh alam baru, demi untuk negara. Demi untuk negara dan bukannya untuk yang lain-lain.

Wednesday, June 2, 2010

PESANAN BERHARGA

BELUM lupa saya antara kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Fatimah (allahyarhamah), bekas menteri wanita pertama ketika saya menemuinya di rumah beliau di Bangsar pertengahan 90-an. Bukan sekadar kata-kata, tetapi mempunyai nasihat yang bermakna dan saya percaya ianya datang dari dalam atmanya.

Pesannya kepada saya. Orang Melayu kena setia kepada pemimpin dan berajak baik demi perpaduan dan masa depan yang lebih cemerlang. Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan. Beliau memberitahu, perjuangan Umno masa lalu amat getir, tetapi semuanya demi memperjuangan martabat bangsa, agama dan negara. Beliau tidak pernah kesal dan kecewa kerana Umno.

Ingatan saya juga masih kekal pada pesan terakhir dalam pertemuan terakhir saya dengan Tan Sri A Samad Ismail, pada tahun 2000. Katanya, selagi orang Melayu kurang membaca dan tak ingin membaca, selagi itulah mereka akan ketinggalan. Tambahnya, membaca itu umpama jendela minda. Lagi banyak kita membaca, lagi luas jendela terbuka dan lagi banyak pengetahuan masuk ke dalam minda kita.

Pesan Tun Ghafar yang masih saya ingat ketika beliau menyampaikan hadiah kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 1992 pula, lebih sayu dan menghibakan saya. Antara pesannya dalam ucapan dihadiri wakil media malam itu ialah, "kadang-kadang saya mahu menjadi seorang editor akhbar dan biarlah jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno diambilalih oleh editor akhbar pula". Ketika itu sedang hangat berlangsung kempen, di mana Anwar Ibrahim menentang beliau untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Tidak berapa lama, Tun Ghafar mengumumkan beliau menarik diri daripada pertandingan dan menanglah Anwar!

Satu lagi pesan yang sangat menyentuh hati saya ialah dari mulut Pak Husin, bapa kepada Juraimi yang telah dihukum mati bersama Mona Fandey dan Afendi selepas mahkamah mendapati mereka bersalah membunuh bekas Adun, Datuk Mazlan. Kata pak Husin kepada saya, "hidup mesti diteruskan. Siapa yang tidak sayangkan anak. Bila berdepan keadaan ini, mesti ingatkan Allah. Biar Allah menentukan segala-galanya. Saya orang susah dan mahu melawatnya di penjara pun terasa sukar". Namun tiada setitis air mata pun mengalir turun menyusur pipinya yang cengkung ketika itu. Dia lelaki dan ayah yang tabah.

Saya titipkan pesanan-pesanan ini untuk renungan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Manusia diberikan akal. Gunakan ia sebaik mungkin.

HAMID ISA. "DUA-DUA HAMID SAMA"

Selepas kolonel Amirudin, pada sebelah petang, Leftenan Kolonel Hamid Isa pula menghantar sms kepada saya. Beliau bertanyakan khabar saya. Katanya dia kini bertugas di Kluang dan meminta maaf kerana belum sempat menziarahi saya.

Hamid Isa, asal dari Linggi, sama-sama satu kelas di RMC. Sama-sama nakal dan ramai di antara kawan kami tak tahu yang saya dan Hamid Isa ketika sekolah rendah pernah mewakili sekolah masing-masing bertanding dalam musabaqah al-Quran peringkat daerah Port Dickson. Dia dari kompeni B, saya pula dari kompeni E.

Terima kasih sahabat. Dalam kehidupan ini, banyak yang perlu kita lalui. Kadang-kala laluan yang kita rentas amat berbeza dan ia memisahkan kita sedemikian lama. Namun kehidupan kita juga mengekalkan satu-satunya yang berharga dalam diri kita. Kenangan! Selama mana pun terpisah, kenangan pasti menggamit kita. Manis atau pahit kenangan itu, bukan persoalannya.

Begitu juga tentang persahabatan. RMC mengajar kami tentang persahabatan. Harganya dan maknanya.

Dalam kehidupan ini, kita diajar untuk menjadi sesuatu. Maknanya menjadi benih yang baik. Tercampak ke laut menjadi pulau, tercampak ke gurun menjadi danau.

NOSTALGIA PUTERA 78

Kolonel Amirudin Datuk Sulaiman, menghubungi saya menerusi SMS bertanyakan khabar. Beliau adalah rakan lama saya yang telah tidak ketemu lebih 30 tahun. Kini beliau di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Beliau antara ratusan sahabat yang amat prhatin kepada nasib kawan-kawan lama dan sering ringan tangan dan lapang hati, memberi sokongan moral dan material ketika saya didepani ujian Allah.

Selain kolonel Amir, rakan-rakan bekas putera pengambilan 78 yang telah berjaya ialah Mejar Jeneral Datuk Aqbal Samad- Panglima Logistik Udara TUDM, Brigadier Jeneral Ismet Nayan Ismail - Panglima 10 Briged Para, Brigadier Jeneral Zambrose Mat Zain - Panglima Briged Mekanise, Kolonel Hasan Ali - Pengarah Grup Gerak Khas (GGK), Komander Rosli Kamarudin (Navy), Kolonel Sobri (TUDM), Kolonel Soo Kee Sing (nama Islam terlupa) dan Datuk Dr Abdul Fahmi Karim - pakar perubatan Hospital Pantai.

Selain itu mereka yang telah memasuki sektor swasta atau bekerja sendiri adalah mejar (B) Fadzil Abdullah @Choong Voon Leong - pemilik syarikat pengiklanan, kapt (B) Nasir Abdullah - pemilik syarikat kawalan keselamatan, Mejar (B) Shariff Rahmat, Kapt (B) Anuar Abdul Rahim, Mejar (B) Aminudin - pemilik syarikat keselamatan dan Nurazam Zakaria (RHB).

Lebih 180 bekas putera 1978 Maktab Tentera DiRaja kini bertebaran di seluruh negara. Namun ada di antara mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Sebahagian besarnya amat cemerlang. Namun demikianlah kehidupan - penuh warna-warni. Namun, kenangan menangis bersama dan saling membantu di kala kita di zaman putera itu tidak mungkin hilang dari ingatan.

InsyaAllah sebuah buku mengenai kecemerlangan bekas putera 78 ini akan terbit pada suatu hari nanti. Kepada sahabat-sahabat yang sering bertanya khabar dan banyak membantu saya, doakan kesihatan saya kembali pulih sepenuhnya dan memberi ruang dan masa kepada saya untuk menghasilkan buku tentang nostalgia kita dan kecermerlangan anda.

Tuesday, June 1, 2010

DUKA UMAT ISLAM DAN PENCINTA KEAMANAN


Sebahagian daraipada duka rakyat Malaysia kini tertumpu kepada penculikan 12 rakyat kita oleh pasukan komando Israel ketika dalam perjalanan menaiki kapal bagi misi keamanan mengagihkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Mereka dipercayai sedang dipenjarakan oleh sebuah kerajaan yang tidak bertamadun, selepas ditahan tanpa alasan kukuh di sebuah kawasan di perairan antarabangsa. Demi keamanan, mari kita bersama berdoa agar kesemua rakyat kita yang ditahan dibebaskan segera.

Paling menyakitkan hati kita adalah penggunaan kekerasan oleh komando Israel ke atas mereka yang tidak bersenjata. Malah, 'polis antarabangsa' Amerika Syarikat seolah-olah tidak melakukan apa-apa untuk mengajar Israel, misalnya memaksa pembebasan segera smeua yang ditahan. Walaupun insiden tragis ini telah mengorbankan 19 mangsa dan mencederakan berpuluh yang lain ia seolah-olah akan berlalu begitu sahaja. Tanpa adanya tindakan ke atas negara 'barbarian' Israel. Hal ini tentunya amat menyedihkan.

Di manakah maruah negara-negara Islam terdekat, yang sepatutnya bertindak segera. Kutukan dan protes tidak akan dipedulikan Israel. Jadi, kalau ada cara lain yang boleh mengajar Israel, gunakanlah cara itu demi menyelamatkan mereka yang tidak berdosa.

LET'S PRAY FOR OUR FRIENDS

The Israeli government put in jail 12 Malaysians who are on their way to help Palestinian in Gaza. The fate all of the Malaysian is remains unknown. The whole world must condemn the uncivilise acts and ask for the immediate release. Lets pray for the safety of our friends.

The Israeli commandos have used force against unarmed peoples who are on their journey to help the Palestinian. This is very sad episode to the whole world who loves peace.

We also knew that 19 were killed after the 'barbarian' stormed into the ship ferrying hundreds of volunteers from all over the world to the land of Gaza.

What will Mr Barrack Obama do? What the superpower countries like Russia and China will do? Do they keep their mouth shut against the acts of unhumanitarian by the barbarian country called Israel toward unarmed peoples?

Please! Pray for the safety of our friends. Ask for immediate release.

JAHANAM ISRAEL

Jangan menangis atau hairan atau kesal. Israel dilahirkan dengan hati syaitan dan tidak pernah memahami apa itu kemanusiaan.

Dialah raja dan segala-galanya di dunia ini kerana manusia yang lain tidak pernah berkesempatan bersatu untuk menentang dan memberi pengajaran paling manis buat negara yang amat zalim dan kejam ini.

Manusia umat Islam telah kering air mata. Namun jangan hentikan perjuangan. Menentang kezaliman Israel adalah wajib demi mewujudkan keamanan sejagat. Dengan darah dan keringat, bersamalah kita mencari jalan agar syaitan yang tidak pernah berhenti menzalimi umat Islam ini dihancurkan.

Kepada keluarga mereka yang terbabit dalam misi keamanan ke Gaza, bersabarlah dan berdoalah. Kita telah faham demikian zalimnya regim Israel, membunuh dan memusnahkan mereka yang tidak berdosa. Mereka sememangnya dayus, membunuh orang yang tidak bersenjata.

Allah bersama doa-doa orang yang teraniaya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10