Bodoi menangis terisak-isak sampai kelopak matanya bengkak. Telah lebih dua jam dia menangis. Kata Kiah, bini yang Bodoi nikah lebih 25 tahun lalu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, macam itulah perangai Bodoi.
"Kadang-kadang tengah tidur boleh menangis. Boleh dengar dia terisak-isak!" Kiah gigit bibir bawahnya yang lebam tak bergincu. "Angin juga saya asyik macam ni. Dah puas berubat. Bomoh jumpa, doktor jumpa. Perangainya macam itu jugak!" sambung Kiah, lalu angkat punggungnya menuju ke dapur.
"Abang layanlah dia tu. Saya buatkan air!" Kiah berpaling dan bergerak tapi tidak nampak lagi punggungnya berombak. Yang kelihatan hanya papan-papan nipis yang senget-menget diheretnya.
Puas aku bertanya Bodoi, apa sebabnya dia menangis. Tapi Bodoi macam budak-budak. Kawan lama yang begitu akrab dengannya ini tidak dipedulikannnya. Apa yang aku tanya, dia jawab dengan jeling dengan geleng.
"Kau kena berubat Doi!" aku saja-saja cadangkan. Entah dia faham atau dengar, aku tak pasti. Tapi yang jelas, Bodoi hanya gelengkan kepala. Beberapa ketika, barulah isaknya reda.
"Hahh..macam tulah dia bang!" Kiah meletakkan cawan kopi pekat atas meja. "Nangis tak ikut masa. Nangis tak tentu pasal!" bebel Kiah aku telan dengan penuh faham. Mungkin Kiah penat. Sakit Bodoi telah menyebabkan Kiah terpaksa menoreh getah belakang rumah mentuanya. Harapkan Bodoi, Kiah boleh tak makan dengan anak-anak.
Setengah jam di rumah Bodoi, aku melihat seorang kawan yang tidak serupa dulu. Dulu Bodoi ceria dan peramah. Dia kuat dan cekal hati. Tapi kini Bodoi bagai budak kecil. Dia tak mampu mengurus fikiran dan perbuatannya. Sehari-hari kerjanya menangis terisak-isak. Aku angkat tangan bersyukur kepada Allah. Walaupun didepani ujian, aku tidak sampai diletakkan Tuhan dalam keadaan Bodoi.
Sebelum balik, aku genggam tangan Bodoi. Dia hanya pandang muka aku seperti orang belum kenal. Dalam genggaman itu aku selitkan RM20. Itu sahaja yang aku ada, bisik hatiku. Kita pun sama Bodoi, hatiku berkata lagi.
"Semoga engkau sempat mengikut jejak langkahku untuk memulakan perjalanan hidup baru walaupun kita semakin dekat dan menghampiri waktu senja. Moga Allah selamatkan kita" aku sempat tuliskan pada kertas kecil dan aku tinggalkan di atas bantal yang selalu dipeluk Bodoi ketika dia menangis.
Melangkah keluar dari rumah sahabatku itu, aku tinggalkan dua tiga titis air mata di tangga batu.