Sedih, sayu dan hiba. Tiba-tiba teringat kata-kata sinis allahyarham Tun Ghafar Baba pada tahun 1993 dulu pada satu majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Semua ada ketika itu. Datuk A Kadir Jasin, Datuk Nazri Abdullah, Azman Ujang (sekarang Datuk Seri), Mior Kamarul Baid (sekarang Datuk) dan ramai lagi pengamal media ada.
Mungkin masih ada yang ingat kata-kata Tun Ghafar ketika berucap. Antaranya membawa maksud: "Saya teringin sangat mahu menjadi Editor akhbar dan editor akhbar yang ada hari ini mungkin pula boleh tukar dan ambil jawatan saya dan menjadi Timbalan Perdana Menteri (termasuk Timbalan Presiden UMNO).
Mungkin juga ada yang ingat, Tun Ghafar berkata begitu kerana ketika itu akhbar arus perdana dilihat terlalu menyokong Anwar Ibrahim dalam proses merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Tentu juga, ucapan sinisnya itu meluahkan rasa nubarinya tentang sesuatu bernama 'keadilan'. Barangkali editor akhbar mahupun media elektronik boleh menimbang-nimbang kenangan ucapan yang pernah diucapkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri kita itu.