nuffnang ads

Tuesday, June 8, 2010

SATU LAGI DUKA MELAYU

Satu lagi duka orang Melayu. Gara-gara tidak berpuas hati, seorang pesakit yang mendapat rawatan komplimentari dari seorang pengamal perubatan Melayu di Kota Kemuning, Shah Alam membuat sidang akhbar bersama pemimpin parti sebuah politik bukan Melayu.

Maka, aduan dan ketidakpuasan hatinya pun disiarkan dalam beberapa akhbar Cina dan berbahasa inggeris, kononnya dia berasa tertipu dengan rawatan yang dijalaninya walaupun dikatakan telah membayar sekitar RM4,000. Pengadu bukan orang Melayu dikatakan mengidap penyakit kronik tahap 4 dan telah pun menjalani rawatan di hospital sebelum ini.

Namun kerana ingin mencuba, dia beralih selera dengan harapan penyakitnya dapat dirawat dan sembuh. Pertamanya, dia datang ke pusat rawatan itu dengan keizinan hatinya sendiri. Tiada paksaan sebenarnya bagi sesiapa untuk mendapatkan rawatan komplimentari itu. Kalau mahu diikutkan, pengamal perubatan tradisional itu bukan baru dalam bidangnya dan pernah merawat pesakit termasuk dari Indonesia, Brunei dan Singapura.

Malah, bukan cerita bohong bahawa sebahagian pesakit yang datang ke situ telah sembuh, walaupun realitinya sebelum itu doktor perubatan moden telah gagal merawat penyakit yang mereka hidapi.

Bayaran yang dikenakan pula lebih murah daripada bayaran dikenakan oleh hospital swasta. Bukan rahsia juga, ada pesakit datang seawal jam 4 pagi menunggu untuk mendapatkan rawatan manakala yang lain turut memperkenalkan rawatan komplimentari itu kepada rakan-rakan dan sanak saudara selepas terbukti sembuh penyakit mereka. Ini isyarat menunjukkan keyakinan mereka amat tinggi terhadap keupayaan pengamal perubatan itu.

Namun dalam hal pesakit yang tidak berpuas hati tadi, dia membuat aduan kerana penyakitnya tidak sembuh selepas dia kembali semula ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Ya, keadaan ini boleh berlaku. Dalam apa kerja sekalipun tidak ada kesempurnaan. Hospital sendiri tidak menjamin 100 peratus pesakitnya dapat dirawat dan sembuh. Kalau boleh sembuh semuanya, tidak adalah yang datang berjumpa pengamal tradisional itu termasuk beberapa kes yang datang dengan menggunakan khidmat ambulans kerana terlalu tenat dan nazak.

Demikian satu lagi duka orang Melayu. Kejayaannya, cuba dicemar oleh rasa kecewa segelintir pesakitnya. Bayangkan kalaulah pesakit itu berjaya sembuh dari sakit kronik tahap 4 yang dihidapinya itu. Adakah dia akan memanggil pemimpin parti bukan Melayu mengadakan sidang akhbar untuk menghebahkan kecemerlangan seorang pengamal perubatan komplimentari Melayu? Belum tentu dan hampir mencecah darjah tidak mungkin!

Namun kepada pengamal perubatan tradisional itu saya berharap, teruskan khidmat anda walaupun akan ada pemeriksaan dari mana-mana agensi kerajaan. Buktikan anda di pihak yang benar. Barangkali menyusun semula organisasi rawatan anda dengan memiliki pegawai perhubungan awam dan seorang peguam syarikat akan melancarkan lagi khidmat yang diberi. Dalam hal ini, profesionalisme amat penting.

Semoga duka ini tidak berterusan. Hal yang baik bak intan, terbenam jauh sekalipun ke dasar lautan, sinarnya tetap nampak. Bagai benih yang baik juga. Tercampak ke laut menjadi pulau, terdampar di gurun menjadi danau.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10