nuffnang ads

Friday, June 4, 2010

KONSISTENSI PENTING BEB

Seorang menteri kata Malaysia akan bankrap menjelang 2019 jika subsidi tidak ditarik balik atau dikurangkan. Mungkin Malaysia akan jadi seperti Greece katanya, yang muflis akibat fenomena yang hampir serupa.

Namun seorang pakar ekonomi kemudian menulis, Malaysia tidak sama seperti Greece kerana Greece 'menipu' fasal kedudukan kewangan untuk duduk sama rendah dalam sistem kewangan Euro.

Kemudian, ada lagi pakar ekonomi setuju Malaysia akan bankrap dan berdepan masalah jika subsidi tidak ditarik segera.

Kemudian, pakar ekonomi yang lain mencelah Malaysia tak mungkin muflis hanya kerana subsidi sebaliknya banyak faktor lain seperti ketirisan dan projek-projek yang melebihi harga atau kos yang menyumbang ke arah bencana itu.

Peliknya semalam, seorang timbalan menteri berkata, Malaysia mustahil akan bankrap walaupun subsidi tidak ditarik balik.

Aduh! Konsistensi dalam ucapan, kenyataan dan keputusan mulai dipertikaikan orang. Hal ini bukan kecil impaknya kerana ia melibatkan isu masa depan negara dan rakyat. Rakyat yang sedia gelisah boleh jadi marah kerana disogok dengan kenyataan yang goyang. Di mana kesilapan kita sebenarnya? Adakah bercakap tanpa fakta atau bercakap di luar fakta atau cakap-cakap kita adalah sesuatu yang dimuatkan di mulut orang lain.

Belum lupa tidak lama dulu. Beberapa undang-undang diluluskan di parlimen antaranya denda melibatkan RM1,000 untuk kesalahan jalan raya tertentu. Sehari dua, kelulusan itu ditarik balik walaupun realitinya ia sudah tentu diluluskan kerana mendapat majoriti wakil kerajaan yang memerintah.

Saya menegur hal-hal tidak konsisten membabitkan kenyataan atau ucapan kepada awam ini kerana ia menggambarkan sesuatu yang tidak konsisten juga dalam cara membuat sesuatu keputusan terutama membabitkan rakyat.

Orang dulu-dulu berkata, fikir dulu sebelum buat. Lebih kurang sama dengan fikir dulu sebelum buang. Isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat bukan demikian cara untuk diuar-uarkan.

Kita seolah-olah memberi senjata dan peluru kepada orang lain untuk menembak dan janganlah pula salahkan orang lain kalau kita sama seperti dikatakan perumpamaan; "Senjata makan tuan". Minta dijauhkan musibah itu dan belajarlah dari kesilapan. Semakin banyak buat semakin banyak salah. Semakin banyak cakap semakin banyak dosa. Ingat pesanan orang tua-tua ini.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10