nuffnang ads

Monday, June 7, 2010

NASIB ORANG MELAYU MEMANG MACAM INI

Pagi ini menguruskan satu kes remaja perempuan berusia 21 tahun yang ada sijil kelahiran tapi sekarang tiada kad pengenalan. Bukan kerana apa, hanya kerana ayah dan ibunya telah menghilangkan diri di negara jiran.

Usaha telah dilakukan untuk memohon MyKad menerusi nenek dan ibu saudara remaja itu (adik ayahnya) namun Jabatan Pendaftaran mahukan sijil nikah bapanya. Kalau boleh mahu bapanya datang, sedangkan hal itu adalah sesuatu yang sukar dan hampir mencecah darjah mustahil.

Peliknya, sijil kelahiran remaja ini tertera jelas ayahnya seorang warganegara Malaysia, mempunyai kad pengenalan, dan dia pula dilahirkan di Hospital Daerah Port Dickson. Laporan kelahirannya pula dilaporkan oleh datuknya, yang juga warganegara Malaysia.

Cuma menjadi masalah sebelum ini ialah, walaupun bapanya warganegara, ibunya seorang rakyat asing dan bila perkahwinan berlaku, hal membabitkan soal teknikal mengenai butiran dalam sijil kelahiran pun berlaku. Anak dituliskan sebagai tidak diketahui taraf warganegaranya.
Maka membesarlah anak tanpa sekolah dijaga oleh neneknya. Bila mendapat peluang bekerja, soal kad pengenalan menjadi halangan. Dia sukar memohon kerja, sukar membuka buku akaun bank dan paling sukar ialah kerap terkeliru apabila ditahan pihak berkuasa.

Masalah ini mungkin boleh dipandang sekali imbas sahaja oleh pelbagai pihak, namun saya melihat ia adalah soal hak dan tanggungjawab. Andai telah jelas ada sijil kelahirannya di negara ini, jelaslah dia seorang warganegara. Apakah untuk memohon Mykad mesti dengan kehadiran sijil nikah dan tubuh badan bapanya, sedang nenek remaja itu sedia memohon bagi pihaknya. Bukankah nenek atau ibu saudaranya waris remaja itu? Malah, dalam sijil kelahiran juga tertera nama datuknya, siap dengan warganegara dan nombor kad pengenalan.

Soalan saya kenapa susah sangat sehingga menyeksa kehidupan seorang remaja. Kenapa susah sangat sedangkan ada kes membabitkan warga asing yang tidak lahir di negara ini sedang bersenang-lenang di negara ini selepas memperolehi taraf pemastautin tetap atau lebih seronok lagi diluluskan permohonannya mendapatkan Mykad.

Ini adalah sebahagian daripada duka orang Melayu yang sering saya tuliskan. Duka orang Melayu tak siapa pun tahu. Orang hanya tahu menyalahkan orang Melayu apabila orang Melayu mula bersifat protes dan membenci. Maafkan saya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10