nuffnang ads

Friday, June 25, 2010

KASIHAN ORANG MELAYU

Menentang lesen judi bola memang wajib bagi umat Islam, tetapi dalam konteks negara Malaysia, penentangan itu juga sebenarnya perlu dilihat mengambilkira bahawa judi memang lebih banyak membawa keburukan. Rasional Nazri Aziz kononnya, kenapa umat Islam tidak bising bila Cina makan babi dan minum arak, tetapi sebaliknya kalut bila soal judi lesen bola, adalah sesuatu yang kurang tepat.

Sebenarnya, orang Islam menentang lesen judi bola ini kerana ia baru mahu dilaksanakan. Maknanya, keburukan lebih baik dicegah daripada diberi sokongan daripada berlaku. Makan babi dan arak pula sejak merdeka lagi telah dibenarkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO. Apalah daya kita untuk mengharamkan arak dan babi kerana ia telah lama dibenarkan.

Soal sekarang adalah, kalau boleh keburukan yang baru jangan pula digalakkan. Kalau belum diberi lesen judi bola itu, kenapa mesti disokong supaya ia diberi juga. Kalau alasannya kerana ia budaya orang bukan Islam, kita berasa sedih. Ini kerana nampaknya apa sahaja benda buruk yang orang Islam tidak boleh lakukan atau tidak dibenarkan melakukannya, boleh dilakukan atas alasan ia budaya orang bukan Islam. Di manakah hak orang Islam. Kalau macam itu, jika orang Cina mahu membakar mercun sesuka hati, kita kena benarkan sebab itu budaya mereka. Kalau bukan Islam mahu berbogel sambil berjalan, kita biarkan sebab itu dilakukan oleh bukan Islam.

Begitu juga kalau bukan Islam mahu melakukan apa sahaja, kita biarkan. Umat Islam tidak boleh bising-bising. Tapi tidak ingatkah kita soal keistimewaan orang Melayu dan Islam di negara ini yang turut menjadikan Islam sebagai agama rasmi? Walaupun kita menghormati agama dan budaya orang lain, agama dan budaya kita juga wajar dihormati.

Soal mahu mencari duit dari cukai judi bola? Tak terfikirkah kita bahawa duit yang mahu kita kutip cukainya itu datang dari poket orang-orang yang teraniaya, yang sentiasa kalah dan sentiasa tidak menang! Tergamakkah kita? Kalau ya pun, ada jaminankah tiada lagi pertaruhan haram judi bola? Ini perlu dijawab sebab dalam usaha kita mencegah kemasukan rokok haram pun, masih berlambak sindiket membawa masuk rokok tidak bercukai dari negara jiran. Begitu juga mercun, begitu juga arak. Begitu juga judi 4 ekor yang dilesenkan. Berapa banyak yang jalankan judi haram walaupun lesen judi itu telah dilesenkan oleh kerajaan? Berjayakah kita menangangi semua itu? Berapa banyak cukai yang kita dapat. Berapa banyak duit gelap yang ada dalam putaran kewangan kita? Yang belum diketahui punca dan susur galurnya?

Dalam soal lesen judi bola ini saya puji sesetengah pemimpin UMNO yang menentangnya. Kenapa kita harus takut pada bayang-bayang sendiri? Yang salah dan tidak elok lebih baik katakan tidak elok. Bukankah itu cara seorang pemimpin yang mulia dan berhemah? Kita hormat rakyat bukan Islam dan bukan Melayu. Kita kena bagi mereka kefahaman dan beri mereka contoh yang baik bahawa judi itu sebenarnya buruk dan tidak elok. Tanyalah pada orang Cina, kalau semua kata ia benda yang elok, esok juga kita bagikan lesen itu kepada mereka. Sebenarnya orang Cina dan bukan Islam sendiripun ramai yang menentang pemberian lesen judi itu. Peliknya, ayahandaku Tun Mahathir boleh menulis kononnya kalau dia Perdana Menteri, esok juga dia luluskan lesen perjudian itu.

Demikianlah duka orang Melayu yang lebih 50 tahun merdeka. Jepun berbelas Perdana Menteri, Thailand berbelas perdana menteri, Amerika dan Britain saling bertukar parti memerintah. Kita masih di takuk lama. Sebab itu mentaliti atau cara fikir kita tak pernah berubah. Kasihannya orang Melayu.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10