nuffnang ads

Tuesday, June 8, 2010

DUKA MELAYU LAGI

Ini duka Melayu lagi. Seorang lelaki berusia pertengahan 30-an, saya panggil Mr X telah berkahwin, mempunyai beberapa anak. Lulus SPM agak cemerlang juga. Zaman keputusan SPM guna gred. Dia dapat gred satu. Kalau zaman dia dulu, senang-senang masuk universiti. Sebahagian besar rakan-rakan zaman persekolahannya dulu yang kurang cemerlang pun layak ke ITM (UiTM). Tapi dia anak keluarga miskin. Kais pagi makan pagi. Tapi ada duka dibawanya sejak dulu, kenapa dia belajar hanya setakat itu.

Tamat SPM, dia pun mohon kerja. Lepas susah payah jadi kuli kontrak, tukang angkat bakul sayur di pasar, dapatlah pula kerja kilang. Dia tekun dan kini alhamdulillah dia pasrah dengan kehidupannya.

Tak siapapun cuba masuk ke dalam hatinya memahami sebuah duka orang Melayu. Saya menitiskan air mata. Ayahnya seorang Melayu warganegara, ada kad pengenalan. Ayahnya berkahwin dengan wanita Indonesia. Dan di situlah duka bermula. Mr X dilahirkan di Negeri Sembilan. Oleh kerana ibunya tidak mempunyai dokumen dan atas kebodohan ayah barangkali, berlakulah kesilapan. Mr X dikatakan lahir di negara seberang.

Kemudian berlangsung kehidupan. Mr X pun memohon kad pengenalan merah (pemastautin tetap). Kerajaan luluskan dan sehingga kini dia hanya memiliki kad pengenalan pemastautin tetap.

Berpuluh tahun dia mencuba mendapatkan haknya untuk memohon Mykad tapi gagal. Banyak orang politik janji membantu, tapi terima kasih sajalah sebab semuanya mungkin tak ikhlas, sampai sekarang tak berjaya.

Saya lihat merit kenapa dia boleh mendapat kad pengenalan atau MYkad adalah kerana dia dilahirkan di negara ini. Cuma kesilapan komunikasi menyebabkan daftar kelahirannya bercanggah. Ayahnya masih ada di negara ini. Ayahnya warganegara. Secara logik tentulah anak juga dapat kewarganegaraan. Malah, semua lima adik-beradiknya yang lain juga memiliki Mykad. Kenapa tidak dibuka Allah hati orang yang melihat permohonan Mr X ini supaya berfikir dengan lapang. Sememangnya atas nama Allah, saya percaya dan tahu dia lahir di negara ini. Semua keluarga dan waris terdekat, termasuk ayah, bapa saudara, datuk, nenek dan jiran sekampung masih hidup (bidan yang menyambut kelahirannnya dulu telah meninggal dunia).

Kenapakah duka-duka begini masih disajikan kepada yang empunya hak. Kenapa duka orang Melayu ini tidak dipujuk dengan segera oleh pertama, kerajaan. Kedua Umno. Ketiga, pemimpin Melayu.

Duka Melayu berterusan dan selagi saya hidup, saya akan tuliskan satu persatu setiap hari duka-duka yang saya kutip ini. Sekurang-kurangnya saya mengongsi duka ini dengan kesedaran betapa sulitnya Melayu dan jadi Melayu. Biar saya mati bersama duka orang-orang Melayu.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10