nuffnang ads

Wednesday, June 2, 2010

PESANAN BERHARGA

BELUM lupa saya antara kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Fatimah (allahyarhamah), bekas menteri wanita pertama ketika saya menemuinya di rumah beliau di Bangsar pertengahan 90-an. Bukan sekadar kata-kata, tetapi mempunyai nasihat yang bermakna dan saya percaya ianya datang dari dalam atmanya.

Pesannya kepada saya. Orang Melayu kena setia kepada pemimpin dan berajak baik demi perpaduan dan masa depan yang lebih cemerlang. Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan. Beliau memberitahu, perjuangan Umno masa lalu amat getir, tetapi semuanya demi memperjuangan martabat bangsa, agama dan negara. Beliau tidak pernah kesal dan kecewa kerana Umno.

Ingatan saya juga masih kekal pada pesan terakhir dalam pertemuan terakhir saya dengan Tan Sri A Samad Ismail, pada tahun 2000. Katanya, selagi orang Melayu kurang membaca dan tak ingin membaca, selagi itulah mereka akan ketinggalan. Tambahnya, membaca itu umpama jendela minda. Lagi banyak kita membaca, lagi luas jendela terbuka dan lagi banyak pengetahuan masuk ke dalam minda kita.

Pesan Tun Ghafar yang masih saya ingat ketika beliau menyampaikan hadiah kewartawanan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada tahun 1992 pula, lebih sayu dan menghibakan saya. Antara pesannya dalam ucapan dihadiri wakil media malam itu ialah, "kadang-kadang saya mahu menjadi seorang editor akhbar dan biarlah jawatan saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno diambilalih oleh editor akhbar pula". Ketika itu sedang hangat berlangsung kempen, di mana Anwar Ibrahim menentang beliau untuk jawatan Timbalan Presiden Umno. Tidak berapa lama, Tun Ghafar mengumumkan beliau menarik diri daripada pertandingan dan menanglah Anwar!

Satu lagi pesan yang sangat menyentuh hati saya ialah dari mulut Pak Husin, bapa kepada Juraimi yang telah dihukum mati bersama Mona Fandey dan Afendi selepas mahkamah mendapati mereka bersalah membunuh bekas Adun, Datuk Mazlan. Kata pak Husin kepada saya, "hidup mesti diteruskan. Siapa yang tidak sayangkan anak. Bila berdepan keadaan ini, mesti ingatkan Allah. Biar Allah menentukan segala-galanya. Saya orang susah dan mahu melawatnya di penjara pun terasa sukar". Namun tiada setitis air mata pun mengalir turun menyusur pipinya yang cengkung ketika itu. Dia lelaki dan ayah yang tabah.

Saya titipkan pesanan-pesanan ini untuk renungan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Manusia diberikan akal. Gunakan ia sebaik mungkin.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10