Mahu belajar menulis berita? Kalau arwah pak Samad (Tan Sri A Samad Ismail) mendengarnya dia mesti gelak besar. Bukan maknanya cita-cita mahu menjadi penulis atau wartawan itu sesuatu yang melucukan, tetapi sebenarnya bukan semudah itu mahu menjadi wartawan. Semudah pertanyaan tadi.
Langkah pertama ialah tanya diri adakah kita ada kemahuan, cita-cita, bakat dan kesungguhan. Kalau mahu menjadi wartawan sekadar mencari glamour, pergi mohon jadi wartawan penyiaran atau pengacara. Misalnya di TV3.
Menulis berita bermakna kita menjadi pelapor, menyalurkan maklumat kepada orang ramai dengan cara paling berkesan, tepat dan bertanggungjawab.
Jadi langkah berikutnya selepas kita yakin mempunyai bakat, cita-cita atau kesungguhan ialah belajar menimba ilmu. Maknanya, untuk menjadi wartawan atau penulis berita, kita mesti banyak membaca. Pak samad selalu berkata, membaca itu jendela minda bagi golongan wartawan. Kalau wartawan kurang membaca, macam mana mereka boleh mempengaruhi orang lain membaca apa yang mereka tulis. Hal paling penting, kalau kurang membaca, kuranglah ilmu. Kalau kurang ilmu, apa yang kita tulis tentulah bak makanan tanpa garam, tanpa perasa yang kadang-kala boleh membuat orang muntah.
Tanggungjawab adalah kata kunci yang mesti diberi perhatian kepada sesiapa yang mahu menjadi wartawan. Tanpa tanggungjawab, semua orang boleh menulis. Semua orang boleh catat apa sahaja, tanpa memikirkan risiko atau kesan yang bakal tercetus akibat laporan mereka. Maknanya, tanggungjawab amat penting. Tanpa tanggungjawab, sebelah kaki wartawan sengaja digarikan kepada tiang besi yang kukuh!
Bannyak jenis laporan dalam pemberitaan yang mesti kita ketahui. Maksud saya, banyak bidang atau genre penulisan dalam dunia kewartawanan. Kalau anda berminat bidang jenayah atau mahkamah, anda boleh menceburkan diri dalam penulisan berkenaan. Tapi awas. Bukan semudah itu.
Asas penulisan yang anda perlu tahu ialah apakah jenis berita yang biasa ditulis atau dilaporkan oleh wartawan di negara kita. Anda harus mengikuti perkembangan penulisan berita dalam akhbar cetak seberapa kerap yang boleh.
Saya tidak mahu menunjukkan cara bagaimana menulis berita sebenarnya. Tetapi saya lebih senang mahu menunjukkan jalan singkat boleh menulis tanpa mempelajari cara menulis berita. Ertinya, kalau anda memang bernar-benar berminat dalam penulisan berita, anda kena rajin dan sentiasa setiap hari mencatat apa sahaja yang terlintas dalam fikiran dalam sebuah buku. Catatan itu anda simpan seminggu dan kemudian anda baca.
sekian...saya akan sambung menulis mengenai penulisan berita atau berkaitan kewartawanan selepas ini. Moga sdr Reduan dan Malik terjawab dengan serba sedikit catatan ini.