Hasil galian dirompak dengan cara paling sistematik. Dengan menggunakan orang dalam sebagai minyak pelincir untuk melancarkan urusan bawa keluar pasir, negara kehilangan hasil yang begitu besar. Dan kerugian itu dijangka berterusan, selagi tiadanya tindakan berkesan diambil untuk mengatasinya.
Selangor, Johor dan Perak antara negeri dikatakan menjadi sasaran penyamun pasir setakat ini. Di Johor misalnya, pasir seperti dilaporkan sebuah akhbar dieksport ke negara jiran dalam kuantiti yang amat banyak. Peliknya, terlalu lambat kegiatan itu dapat dikesan. Atau mungkin ramai yang mengesan perbuatan penyamun berkenaan, malangnya mereka sendiri tidak tahu ke mana harus disalurkan maklumat itu. Atau mereka sendiri kurang yakin perbuatan itu dapat dihentikan.
Akibatnya, negara kehilangan hasil galian antara terpenting yang dianugerah Allah. Sebuah negara jiran yang terhimpit oleh pembangunan yang begitu pesat tanpa perlu bersusah payah telah begitu seronok menikmati pasir yang dicuri demi membangunkan negara itu.
Ketika kita sibuk mempertikaikan duit gelap yang hilang akibat masih belum berlesennya judi bola di negara ini, kita hampir terlupa kehilangan hasil yang Tuhan berikan secara melimpah ruah.
Kalau beginilah caranya, kita bimbang cakap-cakap negara akan bankrap mungkin boleh menjadi kenyataan. Hasil yang sepatutnya dapat dinikmati rakyat, hilang begitu sahaja. Negara menjadi miskin. Macam pepatah, ayam di kepuk mati kelaparan.
Apa yang pasti, kita tak pernah berfikir macam mana mahu menghasilkan duit dari sumber yang Tuhan berikan secara percuma, tapi asyik sibuk mahu mengutip cukai dari hasil-hasil yang amat Allah murkai.
Kita lupa buat gula sendiri walaupun tanah subur. Kita lupa pada minyak masak, petroliam, pasir dan pelbagai jenis bahan mentah yang sepatutnya telah membuat kita kaya. Sedih. Kita hanya memikirkan hal-hal yang sulit tetapi hal-hal mudah yang boleh membuat kita kaya raya langsung tak pernah difikirkan.
Kita mampu buat kereta. Kita sanggup berhabis hantar anak negara naik angkasa tapi susah sangatkah kita mahu berfikir untuk menghasilkan duit dari bahan mentah supaya duit yang bakal kita dapat itu boleh memakmurkan negara.
Yang kita gaduh-gaduh pasal nak kutip cukai judi bola!