Kolonel Amirudin sms saya petang tadi. Saya tahu dia tak sabar menemui saya selepas terpisah lebih 30 tahun. Kami sama-sama di E kompeni MTD dulu. Saya lagilah rindukan kawan-kawan lama, namun keadaan membataskan harapan. Namun saya percaya Allah akan memberi ruang kepada saya untuk menemui kawan-kawan yang terpisah lama.
Sebenarnya saya tak sabar untuk melihat adanya pilihanraya dalam tempoh segera. Saya harap Datuk Seri Najib umumkan segera tarikhnya. Kenapa? Saya pun tak tahu tapi berdasarkan cakap-cakap sahabat, pilihanraya kali ini tentu paling menyeronokkan. Paling misteri dan paling hebat berbanding pilihanraya 2008.
Parlimen Kota Raja? InsyaAllah. Namun jangan memandang dengan mata kasar, renung juga dengan mata hati. Parlimen Shah Alam? Sama kuat. Yang saya dan rakan-rakan mahu lihat sangat ialah semua calon bebas yang keluar dari PR. Saya ingin sangat melihat mereka bertanding. Bukan saja kesemuanya dipercayai akan kalah tetapi silap-silap kena boo. Tapi ini hanya bayangan hati.
Saya cukup seronok bercerita pasal bayangan hati. Tahun 1999, pada satu tengah malam bersama beberapa rakan kami berbual dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di kediamannya di Bukit Saujana. Saya bagi tau yang Anwar akan kena tangkap. Itu kata hati saya. Abdul Ghani tidak komen, tapi saya sambung, nasib Anwar hanya Allah sahaja yang tentukan. Dan sejarah tercatat, Anwar ditahan.
Satu lagi pasal bayangan hati. Saya dan bekas Adun Bandar Penawar, Dr Azam, satu malam berborak di kedai mamak di Bandar Baru Uda sehingga jam 12 malam. Ketika itu saya bagitau Azam yang saya akan pulang ke Klang dan mahu ucapkan sayonara kepada Metro dan Berita Harian. Tapi mulut saya gatal. Saya kata:"Kalau aku balik Selangor nanti, tentu MB akab berubah!". Datuk Abu Hassan tidak lama selepas itu meletakkan jawatan. Tapi bukan sebab saya.
Tapi dalam hidup jangan hanya bergantung kepada bayangan hati kerana dibimbangkan ada bayangan lain akan mengganggu minda dan sekaligus mempengaruhi cara kita bertindak. Kesannya kita mungkin tersilap membuat keputusan.
Tentang orang Melayu yang dikatakan rendah kadar peratusan mendaftar sebagai pengundi. Bagi saya senang saja. Bukan mereka yang salah. Salahnya SPR. Susah sangatkah mahu mendaftarkan pengundi secara automatik? Maaf cakap. Cara kerja mereka macam zaman sebelum perang Jepun, tidak mahu memodenkan cara. Susah? Susah apanya?
Tentang mungkin BN menang besar pada pilihanraya umum akan datang? Jangan harap selagi ada duka orang Melayu tak terubat. PR pun sama. Kelmarin ada sekumpulan orang berkelulusan universiti duduk minum di kedai mamak Kota Kemuning. Saya terdengar seorang mereka bercakap. Katanya, sokong Barisan dah lama, tapi tak apa-apa pun. Sokong PR pun macam itu juga. Jadi kita orang Melayu ni nak pergi mana agak-agaknya pilihanraya nanti. Wau...menarik sentimen yang dibangkitkan anak Melayu itu.