nuffnang ads

Thursday, June 10, 2010

SEMBANG MAT RONGAK

Telah mulai bersuara. Pimpinan sama ada dari PR atau BN, sama sahaja. Hanya 20 peratus lulus kalau diukur menggunakan skala ujian. BN kebanyakannya Melayu. PR juga banyak yang Melayu. Kesimpulannya, Melayu gagal menjadi pentadbir yang cemerlang. Persoalannya, benarkah?

Lihat Selangor. Lihat Perak atau Negeri Sembilan. Kata orang, apalah sangat yang dicapai oleh kesemua negeri itu. Selangor ditadbir oleh PR. Negeri Sembilan oleh BN. Perak pula, ditadbir oleh BN selepas PR.

Duduk menghirup kopi pekat, bercerita hal politik sesama kami yang tidak bersekolah, tersasul juga menyebut. Sejak kebelakangan ini banyak sangat duka orang Melayu tercetus. Misalnya, cakap menteri boleh berbalik-balik. Nak bagi 40 peratus kepentingan kepada bangsa asing. Kononnya, hanyalah cadangan. Banyak orang tersilap faham. Begitu juga soal lesen judi bola. Selepas beriya-iya Vincent Tan menangkis serangan orang yang bantai fasal hal judi itu, aleh-aleh dengar kata lesen judi belum lulus. Tapi begitukah cerita sebenarnya?

Mat Rongak tiba-tiba gatal mulut menyeringai dan mengeluarkan carut politiknya. "Kau orang tahu tak? Kenapa Singapura jadi negara maju? Kenapa Pulau Pinang maju lebih dari Perak atau Johor?"

Aku dan wak Tungau menyengih cuba mencari jawapan. Tapi macam biasalah. Manalah orang tak sekolah macam kami tahu mencari jawapan kepada soalan itu. Mat Rongak pun hampir angin satu badan seperti berasa cakap-cakapnya tak ingin dilayan.

"Kau orang bangang ke?" jerkah Mat Rongak. Air liurnya tersembur. "Soalan mudah pun tak boleh nak jawab! Sebab Singapura ditadbir bangsa asing. Sebab Pulau Pinang ditadbir bangsa asing! Orang Melayu ni sengal!"

Dan tak sampai seminit, kekeh kami macam kokang terpijak kulit buah temponek. Berdecit-decit, lalu mat Rongak menyambung lagi. "Semalam aku baca dalam Harian Metro, Datuk Muhamad Ali, bos KPJ tu cakap mahu lihat lebih ramai peniaga Melayu jadi macam Robert Kuok dan Ananda Krishnan!"

Aku dan wak Tungau pun apa lagi. Tekan perut ketawa terbahak-bahak. Mat Rongak cerita pasal ekonomi daaa! Ketawa lagi dan tekan perut lagi. Sampailah Mat Rongak merayu tolong jangan ketawakan dia sebab dia mahu lepas gian mahu bercakap macam pakar ekonomi Melayu yang banyak sangat cakap dalam media di negara ini.

Kasihankan Mat Rongak, aku dan wak Tungau ampunkan sahaja keterlanjurannya mahu melepas gian. Kami pun beri lampu hijau. Cakaplah Mat Rongak! Cakaplah apa sahaja asal jangan cakap dia bawa kami masuk sekali ke dalam ISA!

"Robert Kuok tu orang kata raja gula. Malaysia pula, kalau tanam tebu boleh hasil gula sendiri, boleh eksport, boleh wujudkan peluang kerja, boleh buat orang Melayu miskin jadi kaya. Tapi gula dengar khabar ada sistem jualannya. Kena permit eh? Jadi masalah gula macam segenggam garam, tabur pada luka orang Melayu sendiri."

"Ananda Krsihnan tu pula aku tak dengar pula gelarannya. Tapi aku ada baca sikit-sikit dalam tulisan AKadirJasin dulu!"

Cepat-cepat aku buka mulut, lopongkan seluas-luas. Dasyat juga Mat Rongak, fikirku. Kalau tulisan AKadirJasin dia baca, kami apa lagi. Tentulah tertinggal kebelakang.

"Apa KadiaQ tulis?" aku umpan nak tahu.

"Aku tak nak sebut apa AKadirJasin tulis dalam suratkhabar dulu. Cuma aku nak bagitau, aku ada baca tulisan orang yang bagitau peniaga bangsa asing macam Ananda Krishnan berjaya kerana turut terima bantuan kerajaan. Bukan semata-mata kerana usaha sendiri. Dasar kerajaan turut membantu mereka. Mereka dapat tongkat juga!"

"Habis engkau cemburu ke?" aku tanya.
"Tak!" Mat Rongak jawab.
"Habis tu?"
"Aku kasihan melihat duka orang Melayu di negara ini!"
"OK. kau sambunglah berucap," aku melopongkan mulut.
"Dah lebih 50 tahun merdeka, kita macam tak maju-maju. Ada cakap nak muflis, tapi PM kata tak jadi. Singapura, maju selepas keluar dari Malaysia. Rakyat dia sikit, negara tak ada komoditi macam getah, kelapa sawit dan gula, tapi urusan gula, tepung dan minyak masak mesti melalui negara mereka.
"Itu belum kira sayur, buah dan apa macam makanan yang dunia tengok macam Singapura yang keluarkan. Aku sedih!"

"Sebab apa?"
"Sebab negara kita subur. 50 tahun diberi masa untuk tadbir janganlah sombong sebab dah buat kereta. Itu pun ada kereta yang mini macam Alphard. Engkau tahu kereta apa? Kereta Juara! Tapi Singapura maju gila babi dari kita. Orang kata, kenapa jadi macam itu. Apakah masa 50 tahun belum cukup untuk kita cemerlang. Atau orang Melayu ni memang pemalas? Atau pemimpin Melayu belum jumpa kaedah atau formula macam mana nak majukan negara?"

"Oppss...jangan lebih-lebih Mat. Cakap kau tu dah macam terbabas!" aku mengingatkan. Mat Rongak pun tunduk lalu diam.

"Yalah...yalah...kang aku cakap lebih, kena tangkap. Minta maaflah. Tapi tujuan aku suci. Aku nak Malaysia maju. Aku nak Melayu maju. Tapi tengok cara akhir-akhir ini, boleh ke kita capai impian itu?" tanya Mat Rongak menitiskan air liurnya dua titik titik.

bersambung.......

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10