Tobeng berlari-lari ligat mencari aku yang sedang berjuntai di pangkin buluh di bawah pohon jambu, di depan rumah Bodoi.
"Kenapa?" aku tanya melihat ada cemas dikendongnya sekali pada wajah bulat legam itu.
"Kejap!" Tobeng merayu jangan ditanyakan lagi. "Biar lepas nafas aku ni dulu" sambungnya membuang cungap terakhir.
Dua minit saling terdiam. Aku berjuntai, Tobeng berdiri.
Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu terpacul kata-kata begini: Astaqfirullah! MasyaAllah!
"Apa hal kau ni?" aku tanya lagi.
"Innalillah!!" satu lagi perkataan Arab terkeluar dari mulutnya yang bersimpai oleh misai berbunga lalang.
Kalau bukan disebabkan kawan, mahu sahaja kucangkul kepala Tobeng ketika itu. Macam mana aku tak marah, lain ditanya, lain pula dijawabnya.
Namun demikianlah Tobeng. Orang tidak sekolah seperti dia dan aku memang demikian perilaku.
'Kenapa?" aku soal berulang.
Tobeng terus menjawab. "Negara kita hanya hasilkan 1 (satu) peratus sahaja gula untuk kegunaan. Selebihnya atau 99 peratus, kita import!"
Aku terdiam. barulah aku tahu rupanya Tobeng mahu bercerita semula pasal gula di negara ini. Pasal gula kurang, pasal gula harga mahal dan pasal gula kena subsidi sehingga kerajaan hampir muflis.
"Mana engkau tahu?"
"Aku baca The Star tadi. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed bagi tahu dalam parlimen, tiga pengeksport utama gula ke negara ini ialah Brazil, Australia dan Thailand" jawab Tobeng.
Aku tabik si Tobeng ini. Dalam tidak ke sekolah, dia sanggup bawa kamus, baca akhbar The Star.
"Habis apa masalahnya?"
"Inilah masalahnya dengan negara kita!" tegas Tobeng. Mula bersuara seperti orang politik yang suka angkat tangan masa bercakap.
Tobeng terus bercerita melihat aku diam. "Kau tahu?" soalnya. Aku diam. Dan dia terus menyambung. "Kita beli gula dari Brazil sebanyak 509,000 tan metrik atau 41 peratus. Beli dari Australia sebanyak 448,000 tan metrik dan beli dari Thailand 174,000 tan metrik,"
Aku termenung. Betul juga kata wak Mat, wak Tapa dan wak janggut dulu yang bersungut pasal kebodohan orang kita.
"Cuba engkau komen sikit!" tiba-tiba Tobeng minta aku jadi orang ekonomi ulas serba-sikit tentang masalah gula ini.
Aku pun apa lagi. Dah lama tak mengulas, pelawaan Tobeng aku sahut.
"Engkau tahu Tobeng!" aku mulakan ulasan. "Kesilapan telah berlaku. Masalah gula ini, sebenarnya memerlukan keazaman orang politik atau pentadbir untuk mengatasinya."
Muka Tobeng ceria. "selagi kita tak ada azam untuk menghasilkan gula sendiri, selagi itulah kita akan menjadi hamba kepada perdagangan antarabangsa. Selagi itulah kita akan dibeban oleh harga mahal dan kerajaan pula akan merungut sebab terpaksa mengeluarkan subsidi,"
Tobeng terus bertanya. "Apa mesti kita buat sekarang?"
"Sepatutnya kerajaan kena galakkan penghasilan tebu dalam negara untuk diproses menjadi gula. Walaupun pakar pertanian sebelum ini kata tebu kita tak dapat hasilkan gula bermutu, aku rasa itu hanya kata-kata orang Melayu yang malas dan hanya mahu mencari alasan. Kalau kita boleh buat kereta dan boleh hantar orang pergi ke angkasa, mustahillah nak proses gula bermutu pun tak boleh. Apa fungsi kementerian pertanian, apa fungsi Mardi?
"NEGARA kita masih banyak tanah terbiar. Kalau kerajaan lantik 1,000 kontraktor tanam tebu di seluruh negara menggunakan tanah terbiar atau tanah rizab atau tanah yang disewa, aku rasa gula tak jadi masalah. Satu kontraktor mungkin boleh usahakan 100 hektar dan kalau satu kontraktor boleh gajikan 20 pekerja, 1,000 kontraktor akan membuka peluang pekerjaan kepada 20,000 rakyat negara ini. Itu kalau dikira dari segi membuka peluang pekerjaan.
"Kalau kata kilang tak ada, bohong. Kilang MSM ada Chuping ada, CSR ada dan Felda pun ada kilang proses gula. Bukankah ini kerja senang," aku ulas panjang. Tobeng terdiam mengangguk.
Aku sambung lagi. "Kalau sikap hanya suka mengimport, apatah lagi barangan makanan keperluan, sampai bila kita tak dapat selesaikan masalah rakyat. Pada masa sama kita hanya untungkan orang tertentu sahaja yang dapat permit import gula. Sampai ada di antaranya kita gelar Raja Gula. Ketika dia digelar Raja Gula, berapa juta rakyat menderita dapat gula mahal dan kerajaan pula kena bayar subsidi?
"Aku hairanlah Tobeng! Kita tak pernah kelihatan mahu berazam bersungguh-sungguh. Tuhan dah bagi tanah subur kita masih nak tadah tangan dari negara luar dapatkan gula. Cuba kau lihat pentadbir Singapura. Dia tak ada sumber air, tapi dia berazam tinggi untuk bantu rakyatnya. Sebab itu dia hasilkan air minuman dari kitar semula. Itu negara yang Tuhan tak bagi banyak sumber mentah. Kita ni, negara yang Tuhan bagi sumber mentah begitu banyak.
"Tobeng!" Aku jerkah Tobeng yang mula menitis air liurnya.
"Kenapa?" dia bersoal.
"Selagi mentaliti kita macam ini, minta maaflah kita tak akan sampai ke mana? Sepatutnya kita dah jadi negara kaya raya dan rakyat senang lenang. Tapi kenapa macam ni? Sampai ada menteri kata kita hampir bangkrap. Aku sedih!!!!!!"
Tobeng bangun bercekak pinggang. "Kau tahu tak. Mustapha kata penyelesaian terbaik jangka panjang masalah gula ini ialah untuk menarik subsidi secara berperingkat dan tentu harga gula tempatan dan antarabangsa tidak akan berbeza lagi!"
Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Subsidi, subsidi, subsidi. Aku marahkan diri aku sebagai orang Melayu kerana menyebut perkataan subsidi yang sepatutnya tak ada dalam kamus ekonomi di tanah airku yang subur dianugerahkan Allah ini.
DEMIKIANLAH SEBAHAGIAN DUKA MELAYU!