nuffnang ads

Monday, May 31, 2010

BANGUNLAH JP

Sebelum kemaskinikan silibus pemanduan, JPJ mesti kemaskan diri sendiri dan pentadbiran yang ala zaman Jepun sekarang mesti diperbetulkan. Pentadbiran ala zaman orang kurang sekolah yang tak mahu ikut peredaran zaman mesti dirombak. Sekarang orang dah guna komputer dan sistem yang canggih-canggih, tapi JPJ masih takuk lama dan berkarat.

Datuk Solah kena lihat dan terima realiti. Hal-hal yang saya nyatakan di bawah ini bukan sehari berlaku tapi telah lama. Telah berlumut. Kerusi pegawai dan kerani pun dah bertukar berpuluh kali, sayangnya pentadbiran JPJ khusus membabitkan urusan lesen memandu macam kandang kerbau tahun 50-an.

1.Kenapa setiap kali urusan bagi ujian calon memandu mesti disertakan salinan kp depan belakang? Bila hantar untuk tempahan ujian praktikal, calon dimestikan hantar salinan kp dan lesen L. Nak buat lesen L dah kena hantar salinan kp.
2.Kemudian bila dah lulus ujian praktikal, ketika mahu membuat lesen baru sekali lagi calon mesti sertakan salinan kp dan lesen L depan belakang. Musibah kepada calon, kalau tidak dihantar salinan dokumen berkenaan maka ditolaklah permohonan mereka. Lebih menyakitkan, kepada calon tambah kelas. Contoh, yang telah ada lesen motosikal. Kenapa peraturan serupa mesti dilakuka seolah-olah, sistem JPJ tidak mempunyai apa-apa maklumat tentang calon berkenaan.
3.Begitu juga bagi permohonan GDL dan PSV. Logiklah, mereka ini dari kelompok yang telah ada lesen memandu. Bila mahu memohon, mesti hantar salinan kp, lesen depan belakang.


Bukankah dalam sistem komputer JPJ telah ada maklumat berkenaan pemohon terbabit. Kalau sekadar untuk pastikan mereka tidak berbohong ketika mengambil ujian, bukankah ada penguji yang boleh memastikannya ketika hari ujian?

Begitu juga bagi kelulusan dan membuat lesen baru, kenapa menambil tempoh melebihi 3 hari. Bukankah, mereka yang telah lulus ujian memandu telah mempunyai rekod di dalam sistem?

Tolonglah Datuk Solah. Untuk menggapai langit, jejak dulu kaki di tanah. Sempurnakan hal-hal yang asas dulu sebelum bercerita mahu membetulkan keadaan yang belum tentu hasilnya.

Sunday, May 30, 2010

HELLO SIR, THIS IS YOUR EMERGENCY EXIT. TQ

"I strongly believe Samy Vellu will step down. But sad to say I think he will go through the emergency exit!". This is my answer to one of my friend's question via phone this morning. The former lecturer sent his second question minutes after that.

"Who do you think the right leader can replace that old man?"

I told him everybody can be a leader in MIC but not his only son, Vell Paari. I believe that so many young and talented MIC leaders are there. They are ready to serve for their party and ready to cooperate with BN to make this country the best place for Malay, China and Indian.


Teringatkan hal itu pagi tadi, saya tegaskan bahawa Samy Vellu harus berundur demi kebaikan semua pihak. Jangan fikir kaum India atau MIC tidak terbela tanpa Samy Vellu. Banyak orang lain boleh mentadbir parti itu.

Segeralah Samy Vellu. Buang batu keras, buang angkuh dan terimalah hakikat dalam hidup anda kini memang ada yang tidak setuju, memang ada yang tidak suka dan memang ada yang benci. Tapi jangan marahkan keadaan, kerana itu adalah realiti kehidupan. Hidup umpama roda. Sesekali kita kena berani menghadap cermin.

Saturday, May 29, 2010

SAMY VELLU LAGI

Dari suam menjadi hangat. Kini terasa seolah-olah mendidih. Bolehkah Samy Vellu tahan? Tak mungkin. Inilah firasat saya.

Duduk terlalu lama mungkin menyebabkan sebahagian saraf kita kurang berfungsi. Itu risikonya kalau duduk terlalu lama. Apatah lagi berpuluh tahun. Sebaiknya, bangunlah dari duduk dan pergi ke pintu, lalu ke luar dan berjalan ke padang-padang lapang. Regangkan urat dan otot supaya saraf juga jadi segar. (masa akan datang kalau sesiapa termasuk Samy Vellu mahu rawatan saraf, boleh cuba dengan seorang pakar di HUSM. Dr Nizar Abdul Jalil namanya). Kalau Samy segan untuk hubungi doktor itu, saya boleh tolong. Jangan marah Samy. Saya maksudkan kalau sakit. Kalau tak sakit, duduklah diam-diam. Pekakkan telinga apa yang sedang berlaku.

MIC bagi saya perlukan perubahan. Perlukan perubahan! Kalau sudah ada suara suruh Samy turun, lebih baik turunlah. Saya yang bodoh ini rasa, mesti ada di antara cakap-cakap itu mempunyai kebenarannya. Samy jangan peningkan kepala lagi. Dalam berapa juta orang India di negara ini, saya fikir mesti ada yang boleh jadi pemimpin MIC. Mungkin mereka kurang baik dari Samy, tapi kita kena fikir cara rasional. Tak mustahil juga ada di antara mereka lebih baik dari Samy. Inilah yang Samy kena fikirkan. Saya bangga kalau MIC kuat dan kaum India terbela walaupun saya Melayu.

Orang bukan benci Samy. Tak benci. Orang sayang Samy. Itu fasal dia orang minta Samy segera lepaskan jawata. Samy pula janganlah melenting tak tentu fasal. Dulu bila saya suka marah-marah, anak saya bisik ke telinga saya. Dia kata: Abah jangan marah-marah. Abah mesti guna akal. Jangan guna kepala lutut! Mungkin Samy boleh jadikan kata-kata anak saya ini sebagai satu benda yang merangsang tindakan terbaik.

Tabik Samy!

Tips keselamatan pemanduan

TIP UNTUK KESELAMATAN PEMANDU WANITA

Kebanyakan wanita yang memandu kenderaan khususnya ketika bersendirian, sering kali leka memikirkan soal keselamatan. Ini lebih kerap berlaku apabila mereka memandu di sesuatu lokasi yang jarang dikunjungi.

Berikut mungkin boleh diberi perhatian oleh golongan itu.

1.Jika anda mahu meletakkan kenderaan, pilihlah parkir yang terbuka, tidak di tempat tersorok dan menjadi laluan orang ramai.
2.Pastikan bahagian depan kenderaan anda tidak menghadap bangunan. Ini bagi memudahkan anda mengendalikan kenderaan sebaik sahaja mahu keluar dari petak parkir dan sekaligus memudahkan anda bertindak jika berlaku kejadian tidak diingini.
3.Kunci kenderaan sebaik sahaja anda memasuki kenderaan dan jangan layan kehadiran orang tidak dikenali yang cuba mengetuk pintu kenderaan anda. Kadang-kala itu hanya helah untuk mereka mengambil kesematan.
4.Pastikan beg tangan atau bekas barangan berharga tidak diletakkan di atas kerusi penumpang atau bahagian belakang kerana ia mudah dilihat oleh orang tidak bertanggungjawab.
5.Ketika meninggalkan kenderaan di petak parkir pastikan barangan berharga tidak ditinggalkan di dalamnya.
6.Sebaik mungkin jangan letakkan permainan seperti beruang atau barangan yang menggambarkan kereta anda dimiliki oleh seorang perempuan kerana penjenayah akan menjadikan kenderaan itu sebagai sasaran mudah.
7.Pastikan telefon bimbit anda berfungsi dan anda telah berfikir akan menghubungi nombor kenalan atau pihak berkuasa secara segera bila dalam keadaan kecemasan.
8.Jangan cuba melawan provokasi pemandu lain ketika memandu kerana ada kemungkinan anda akan diekori kerana anda seorang wanita.

Friday, May 28, 2010

AYO-YO SAMY

Nak usik-usik Samy Vellu lagi. Hari ini, Samy Vellu tentu semakin pening. Seorang lagi CWC minta dia letak jawatan segera.

Sudah-sudahlah Samy. Cara cakap dalam TV3 malam kelmarin macamlah dia seorang saja yang hebat. Orang lain tak hebat. Ingat tak lagi dulu, sebelum pilihanraya 2008. Dia pernah cabar sesiapa pun boleh lawan dia di Sungai Siput. Dia cakap besar. Tapi akhirnya kalah. Mana nak sorok muka?..Oppss...Samy jenis tak sorok muka.

Kelmarin, cakap lagi. Ulang lagi cakap-cakap besar konon apa sahaja tindakan GAS oleh orang muda yang baru kenal dunia politik dan baru dalam MIC tak boleh buat apa.

Ada batu dalam kepala nampaknya. Tapi biasalah. Mana ada orang takut nak tunjuk takut. Kena tunjuk berani walaupun perut mula kecut.

Bukan apa Samy. Orang dah mula bersuara. Dengar. Dia orang sayang sama lu aya. Bukan dia orang benci. Dia orang mahu aya duduk relaks selepas berjasa memimpin MIC 31 tahun.

Samy dah banyak jasa. Tapi Samy kena ingat, orang banyak jasa pun banyak buat silap. Silap yang kita buat kadang-kadang kita tak nampak. Itu pasal orang beli cermin dan bagi kita. Tapi kita tak nampak juga. Sebab apa? Sebabnya kia buta.

Thursday, May 27, 2010

SELAMAT MAJU JAYA. BERSAMA KITA MERENTAS MASA DEPAN

Belum pernah saya membuat pujian begini. Tanpa ganjaran, tanpa agenda yang tersembunyi, tanpa ada yang tersirat di sebalik yang tersurat. Saya nyatakan kekaguman jauh dari dalam atma untuk yang memimpin negara. Maksud saya YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dari lubuk hati seorang rakyat biasa yang merempat hidupnya, saya berbangga kerana beberapa dasar, impian dan gagasan yang diperkenalkan oleh YAB telah mulai kelihatan memberi jiwa, khususnya kepada Umno yang sebelum ini seakan pudar harumnya.

Memperkenalkan dasar untuk memberi keutamaan kepada rakyat tanpa melupakan pembangunan menyeluruh di dalam negara, telah mulai membuahkan hasilnya. Pendekatan mesra untuk menyakinkan rakyat bahawa nasib mereka akan terbela adalah satu-satu cara untuk memikat semula kepercayaan mereka yang terhakis kerana hal-hal yang telah sedia kita maklum.

Sebenarnya YAB, rakyat bukan mahukan dulang emas atau intan berlian. Rakyat tidak pernah mahu dijunjung berpayungkan mahkota. Namun rakyat hanya mahu nasib mereka terbela. Mereka mahu sebuah kerajaan penyayang dan pada masa yang sama adil dan telus mentadbir negara yang kaya dan aman ini. Rakyat banyak tidak mahu diri mereka berasa terpinggir sedangkan ada kelompok tertentu memonopoli kegembiraan, kebahagiaan, kekayaan dan kesenangan. Rakyat marhen hanya mahu keadilan dipraktikkan walaupun mereka hanyalah golongan berpakaian compang-camping yang terbongkok-bongkok menoreh getah atau mendayung perahu usang membelah laut semata-mata mencari sesuap nasi.

Kini Umno semakin hidup jiwanya. Dekatilah rakyat tanpa mengira bau badan mereka. Tanpa mengira cantik buruk wajah mereka. Dari nafas busuk dan keringat tengik merekalah sebenarnya Umno dulu lahir dan hidup sebagai sebuah parti yang menjadi pohon rimbun rendang yang akhirnya mesti bertanggungjawab memayungi bangsa Melayu merentas musim-musim selepas merdeka.

Saya tabik selepas melihat apa yang YAB lakukan untuk negara, bangsa dan parti. Rakyat jelata semakin tinggi keyakinan melihat sebuah pentadbiran yang berani melakukan inovasi dan transformasi. Jangan bimbang YAB. Orang Melayu akan kembali meyokong Umno. Mereka menyokong bukan kerana mendapat imbuhan, tetapi kerana berasa dihargai.

Teruskan dasar-dasar yang baik untuk bangsa dan negara. Tanpa berselindung, kita harus mengakui hakikat bahawa masih banyak yang boleh kita lakukan untuk rakyat. Masih banyak yang Umno boleh lakukan untuk orang Melayu.

Dasar mengutamakan rakyat sememangnya amat penting. Rakyat sentiasa memerlukan perhatian. Rakyat bukan mahukan belaian, tapi rakyat mahu diri mereka terasa dihargai.

Walaupun gejolak dan gelodak berlaku di sana sini kebelakangan ini, jangan khuatir Perdana Menteri. Itu hanyalah asam garam dalam kehidupan dan demi merentas masa depan yang penuh liku, kita kena percaya bahawa akhirnya kita akan sampai ke puncak juga.

Jangan bimbang tentang kemenangan. Percayalah, Allah akan melindungi pemimpin yang berhati ikhlas. Moga luahan ini memberi kita kekuatan untuk menghadapi pilihanraya umum. Salam maju jaya untuk Umno dan bangsa Melayu.

Wednesday, May 26, 2010

WAKE-UP RTD

Customer must get ready. Bring along your copy of identity card and driving licence when you deal with the RTD counter. For example if someone is going to apply for road test, the driving institutes must send together the application with a copy of candidate's identity card. If this procedure is not followed, the RTD will reject the application.

For those who want to apply for a new licence after passed the road test, the RTD also will ask for a copy of identity card. This is ridicule because we are in the world of paperless administration. Why must copy of identity card be given to the RTD for every single deals with the department.

For the record, every details of the licence holder including those with learner driving licence (LDL) already in the RTD's computer system. So, is it a good way to ask a copy of identity card everytimes customer deals with the department? Answer me. Who is going to collect tons of recycle papers at the end of month. Wake up RTD.

SAMY VELLU AKAN KECUNDANG

Telahan saya, Samy Vellu akan kecundang. Kedegilan untuk mendengar desakan ahli MIC supaya mengundurkan diri akan menyebabkan beliau semakin dipinggirkan. Dalam kata mudah, apabila berasa semakin tidak disukai, beliau pun terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Maka, berakhirlah satu drama yang sekian lama diperhatikan bukan sahaja oleh ahli MIC tetapi juga, ahli parti lain yang menjadi komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Selepas 31 tahun menerajui MIC, Samy Vellu harus akur kepada kehendak ahli parti itu. Golongan senyap kini mulai bersuara. Sesekali suara-suara desakan kedengaran nyaring dan apa daya lagi buat Samy Vellu untuk bertahan. Cubaan anak lelakinya Vell Paari untuk mempertahankan ayahnya juga tersilap cara. Menjadikan kononnya Umno sebagai kambing hitam, menyebabkan Paari digelar biadap. Dalam bahasa Melayu mudah, biadap juga membawa maksud kurang ajar.

Samy dikatakan akan meletakkan jawatannya pada 2006, tetapi tidak menjadi. Kemudian difahamkan, beliau akan meletakkan jawatan Julai depan. Juga tidak menjadi kenyataan apabila membuat keputusan bersara September 2011. Inilah yang menyebabkan beberapa ahli jawatankuasa kerja pusat CCW MIC, mula bersuara. V Mugilan, timbalan ketua pemuda MIC, keluar dari terowong diam, lalu melontarkan desakan. Diikuti dua lagi termasuk K P Samy. Samy Vellu berkeras. Surat pemecatan dihantar dan nampaknya begitulah cara Samy Vellu bertindak.

Samy mesti faham dan kalau kurang faham mesti diberi faham atau difahamkan dengan cara jelas dan terbuka bahawa, kepemimpinan beliau mula tergugat dan dpersoalkan. Kalau telah dipersoalkan, maknanya Samy Vellu tidak mendapat kepercayaan penuh. Tun Mahathir dan Tun Abdullah pun telah meletakkan jawatan. Apa lagi ditunggu oleh Samy?

Menyalahkan Umno sebagai dalang memang biadap dan kurang ajar. Paari tidak perlu mencetuskan polemik baru. Mengheret Umno dalam kancah pertelagahan MIC adalah sifat orang yang kurang periksa. Sifat orang kurang periksa antaranya ialah akan menerima kesan daripada perbuatannya.

Timbalan Perdana Menteri sendiri menyatakan Paari atau saya umpamakan 'budak' itu biadap dan mesti meminta maaf. Budak yang masih mentah, yang belum pandai bermain ombak diminta janganlah memohon kapal untuk belayar meredah lautan luas. Nanti bukan sahaja kapal tak dapat, tapi diri sendiri diketawakan orang. Paari kena tahu, untuk belayar dia kenalah belajar mendayung perahu terlebih dulu. Ini usahkan perahu, kapal pula yang dia mahu. Maksudnya, jangan cetuskan polemik sehingga luar dari tajuk, hanya kerana bapanya didesak bersara segera. Ukur baju di badan sendiri. Jangan buat macam muka cicak terkena lastik. Atau macam biawak diketuk ekor. Atau macam ular dipalu kepala. Atau macam muka ikan todak termasuk jala. Atau macam muka kucing termakan ikan busuk.

Kenapa mesti mahu mempertahankan bapanya. Sepatutnya Paari sendiri menasihatkan bapanya, bahawa lebih elok bersara daripada dibersarakan.

Paari mesti sedar, presiden PPP, Datuk M Kaveas juga telah membuat pengakuan terbuka tentang ada orang yang sabotaj beliau ketika bertanding dalam pilihanraya lalu sehingga beliau kalah. Kalau Parri mahu tahu siapa orang yang Kaveas katakan itu, Paari kena buka telinga luas-luas sekarang. Buka telinga sekarang: Orang itu ialah Samy Vellu! Kalau itulah sifat Samy Vellu, Paari kena nasihatkan bapanya.

Tuesday, May 25, 2010

KENAPA SALAHKAN SAYA DAPAT LESEN

Kenapalah banyak pula orang Islam yang bising-bising fasal pemberian lesen judi bola. Dalam negara ini, orang Islam tidak dibenarkan berjudi. Judi dilesenkan hanya untuk orang bukan Islam. Itu antara maksud Tan Sri Vincent Tan kepada umat Islam atau mereka yang menentang pemberian lesen itu.

Dalam akhbar dia berkata, kenapa mesti bising-bising sedangkan judi itu tidak melibatkan mereka. Malah ada pula katanya, sekurang-kurangnya kerajaan dapat juga hasil daripada perbuatan melesenkan judi itu. Dapat juga digunakan untuk negara. Itu antara maksud Tan Sri Vincent Tan. Umat Islam baca betul-betul kenyataan beliau yang dipetik dalam Star semalam.

Mula-mula, dia kata orang Islam tidak ada hak kerana mereka dilarang terbabit dalam premis perjudian itu tetapi kemudian bangga kerana katanya kerajaan dapat juga hasil untuk negara gunakan. Benar.

Yang Vincent Tan tak faham ialah, orang Islam tak boleh berjudi dan tak boleh makan hasil dari judi! Inilah bahayanya kenyataan orang bukan Islam yang mahu bercakap fasal Islam. Orang Islam marah pemberian lesen judi bola itu, bukan marah kepada Vincent Tan kerana mendapat lesennya. Vincent Tan kena faham senario bantahan ramai kebelakangan ini.

Vincent Tan juga lupa, bukan orang Islam sahaja yang membantah. Bukan Islam juga membantah pemberian lesen judi. Bagi mereka, judi lagi banyak memberi keburukan daripada kebaikan. Tak tahulah kalau Vincent Tan dapat melihat lebih jauh dari itu dengan mata akal dan mata hatinya!

Dalam hal pemberian lesen ini, saya rasa ia amat sensitif. Bagi bukan Islam, sepatutnya tidak menghurainya sehingga menyentuh sensitiviti agama.

JANGAN SALAHKAN BAS KALAU TAK BELI TIKET

V Parri anak Samy Vellu. Anak lelaki tunggal yang telah mulai masuk alam dewasa. Hari ini Parri dipetik memberitahu akhbar kononnya kekalahan BN dalam pilihanraya lalu banyak disumbangkan oleh hal-hal yang dilakukan sendiri oleh Umno. Malah beliau menyifatkan Umno sebagai pemandu bas dan parti lain khususnya MIC sebagai penumpang.

Beliau juga tanpa segan silu dipetik akhbar memberitahu kononnya Umnolah di belakang V Mugilan yang mendesak presiden MIC segera melepaskan jawatan. Konon katanya, menyokong cadangan itu sebagai perbuatan Umno yang kurang elok.

Nampaknya Parri mulai berani berpencak. Rentak samba cara katanya, macam main bola di padang yang tidak rata. Memang Umno, hakikatnya bukan parti yang sempurna. Saya yang pernah memarahi Umno dalam hidup saya mengakui hal itu dan Parri benar bila berkata, Umno antara penyebab kekalahan teruk dalam beberapa kawasan pada pilihanraya lalu.

Cuma Parri kena menerima hakikat, MIC mungkin jadi penyebab lebih teruk dalam piliihanraya lalu. Mungkin tidak salah dikatakan, presiden yang juga bapa beliau mungkin tidak betul dalam strategi. Sebab itu, sejak minggu ini ramai meminta Samy Vellu melepaskan jawatan.

Bagi saya, pergi sajalah. Buat apa mahu pertahankan jawatan itu selepas 31 tahun menjadi presiden tetapi gagal. Buat apa mahu terus kekal kalau masih ramai masyarakat India tidak terbela dan telah banyak masalah demi masalah berlaku dalam tempoh itu. Mugilan mungkin betul. K P Samy mungkin betul. Janganlah dilihat mereka sebagai tidak betul. Parri betul?

Memang dalam peraturan MIC, ahli parti boleh dikenakan tindakan jika mendesak kepada media agar presiden meletakkan parti. Tapi, janganlah sampai orang estet pun melihat tindakan pecat atau buang parti sebagai cara diktator. Dulu, Tun Mahathir pun orang tentang dan cabar berhenti. Tun Abdullah pun sama, tapi tak adalah pula sampai hantar surat ke rumah untuk pecat ahli parti walaupun ketika itu waktu tidur.

Hari ini, Parri anaknya pula nak berpencak. Kononnya dengan cara menyalahkan Umno, terbukalah sandiwara Mugilan. Saya tak nampak perlunya Umno berdiri di belakang Mugilan bagi mendesak Samy melepaskan jawatan. Tak penting bagi Umno kerana Umno banyak kerja lain yang lebih penting. Mugilan bukan pemimpin muda yang tidak sekolah. Dia faham dan mengerti kenapa dia berkata begitu. Dia mahu bantu orang India yang miskin, mahu menjaga kepentingan mereka. Itu sahaja. Parri mungkin melihat cakap dan cara Mugilan dari sisi yang lain. Jadi dia ketemu makna yang lain.

Saya fikir, pemimpin MIC yang lama-lama, yang tua-tua perlu banyak bersekolah. Khususnya dalam belajar perhubungan dan pengurusan krisis. Umno telah lama ke sekolah.

Monday, May 24, 2010

AYUH SAMY VELLU, FIKIRKAN.

MIC sentiasa bergolak. Bergolak kerana soal kepemimpinan. Elokkah pertelagahan ini berterusan?

Jawabnya memang sama sekali tidak elok kerana selain merenggangkan hubungan sesama mereka, ia juga akan menjejaskan semangat dan kekuatan Barisan Nasional. Jika dibiarkan terus akan menyebabkan BN seperti rumah dimakan anai-anai sebahagian daripada tiangnya. Dalam kata yang lebih jelas, rakyat atau pengundi BN akan naik meluat.

Di mana silapnya atau siapa yang silap dalam pergolakan yang berlaku apabila Mugilan meminta Samy Velllu meletakkan jawatan dengan segera. Mustahil tiada siapa yang silap. Suara lain dalam MIC juga kedengaran meminta Samy Vellu lepaskan jawatan. Malah mantan Perdana Menteri Tun Mahahthir Mohamed juga pernah menyuarakan hal serupa tidak lama dulu. Tentu ada sebab kalau banyak mulut telah bersuara.

Samy Vellu tentu faham bahasa orang yang memintanya melepaskan jawatan dengan segera. Sekarang, terpulang kepada beliau untuk berfikir semula. Perletakan jawatan tidak bermakna beliau kalah atau tewas selepas menjadi presiden parti itu sekian lama.

Ayuh Samy Vellu, tolong fikirkan. Mungkin beliau ada rasionalnya. Jika ada luahkan seluas-luasnya supaya orang faham. Kalau tak mahu letakkan jawatan dan kekal pada janji terakhirnya itu, terpulanglah. Orang tak akan memaksa. Pisau di tangan beliau, timun di tangan beliau. Cuma nasihat saya hati-hati gunakan pisau untuk memotong timun, takut kalau-kalau terluka jari.

Saturday, May 22, 2010

MUFTI KENA BERI FATWA

Peguam bukan Islam memohon untuk menjadi peguam syarie. Persatuan Peguam Syarie tiba-tiba membantah. Orang ramai juga mula bersuara. Sedikit demi sedikit, seperti terasa sentimen agama mulai dibakar. Orang Islam nampaknya rasional, tidak terlalu pantas melatah. Bagus begitu, kerana sebahagian sifat Islam itu adalah rasional. Tapi rasionalkah kita kalau hanya berdiam?

Namun, adakah isu ini akan reda apabila hak dan peraturan membenarkan juga seorang bukan Islam menjadi peguam syarie. Perkara ini banyak berkait dengan perundangan. Namun kita mahu melihat juga dari sisi sentimen dan perasaan manusia bernama umat Islam.

Rasional kenapa permohonan itu ditentang, antaranya kerana bimbang ia boleh melebarkan lagi isu berkaitan murtad di kalangan umat Islam. Benarkah? Kalau benar, tidakkah hal ini sepatutnya dipertimbangkan oleh pentadbir agama negeri atau persekutuan sebelum ini. Bolehkah kita menidakkan kehendak dan hak seorang bukan Islam yang berkelulusan memohon dirinya daripada didaftarkan sebagai peguam syarie? Rencam untuk dijawab.

Ini bukan hal remeh-temeh dan kita yang tidak mempunyai kelayakan di segi perundangan mungkin tidak layak membincangkannya kecuali memberi pandangan dari sisi luar kitab perundangan.

Memanglah sepatutnya hanya orang Islam yang menjadi peguam syarie untuk menguruskan hal-hal perundangan berkenaan orang Islam di mahkamah yang membentangkan perundangan Islam. Namun yang menjadi tanda tanya kita ialah kenapa seorang bukan Islam berminat benar memohon menjadi peguam syarie. Mengapa?

Mufti sepatutnya tidak terlepas pandang memberi fatwa tentang masalah ini kerana kita bimbang ia perlahan-lahan menjadi jarum yang menyuntik racun sekaligus boleh memberi kesan kepada umat Islam sendiri pada masa depan.

Kepada bijak pandai Islam, sekaranglah masa anda untuk bersuara. Jangan hanya bersuara soal haram halal dan sembahyang puasa sahaja. Sekaranglah masanya kita kena melihat kalau-kalau ada ruang tertinggal yang mesti ditampal bagi memastikan nasib umat Islam tidak terabai untuk masa kini, akan datang dan selama-lamanya.

Mungkin tindakan bukan Islam membuat batu nisan untuk orang Islam hal biasa-biasa sahaja, tapi soal seorang bukan Islam mahu menjadi peguam syarie tentu menarik akal kita untuk berfikir. Berfikirlah secara lapang, dengan hati tenang dan kita mahu menang dengan hak dan demi menjaga imej kita tanpa menjejaskan hak dan imej bangsa lain atau agama lain.

Friday, May 21, 2010

NAIK LEVI, MAJIKAN TAK PEDULI

Menaikkan levi konon untuk mengekang kebanjiran pekerja asing di negara ini, belum tentu boleh mencapai matlamat. Seperti juga menaikkan cukai rokok, hal di sebaliknya pula yang berlaku. Lambakan rokok seludup semakin berleluasa, sedangkan perokok tegar tidak akan patuh pada kenaikan harga rokok untuk menghentikan tabiat buruk itu.

Begitu juga dengan kenaikan levi. Belum tentu ia boleh memberi kesan seperti diharapkan. Takut-takut semua pintu masuk di sempadan akan dibanjiri dengan pendatang tanpa izin. Inilah yang dibimbangkan. Majikan, terutama kilang kecil dan pengusaha yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan sumbangan sosial kepada negara, tentu tidak teragak-agak memilih pekerja dari pintu belakang. Kos yang tinggi bagi mereka, bukan penghalang. Yang penting, golongan tamak ini hanya mahukan keuntungan dengan memberikan gaji dan upah rendah. Jadi fikir mereka apa salahnya mereka terus menggunakan khidmat pekerja asing walaupun menerusi cara yang tidak sah.

Hasrat dan matlamat kerajaan memang murni, terutama untuk memastikan lebih ramai pekerja tempatan mengisi peluang pekerjaan. Namun perlu diingat, hati manusia tidak sama. Mereka yang hanya fikirkan keuntungan tidak pedulikan hukuman. Inilah yang perlu kita fikirkan bersama. Apa sahaja cara kerajaan untuk membantu pekerja tempatan terutama orang Melayu, belum tentu tercapai. Ada sahaja halangannya. Mungkin benar kata orang, perkataan MALAYSIA sendiri membawa konotasi tidak ada tuahnya apabila ia dikatakan gabungan Malay (dalam bahasa Inggeris merujuk perkataan Melayu) dan Sia (merujuk makna rugi)
Jadilah ia Melayurugi.

Namun banyak cara lain mungkin boleh difikirkan oleh kerajaan. Jangan putus asa, selagi memang niat di hati ikhlas dan jujur membantu rakyat.

Thursday, May 20, 2010

DON'T CRY KHIR TOYO

Don't cry khir toyo. Yesterday, one of my old friends made a joke. He said, now is the right times for you to choose either to start a new broom hypermarket, continue with your teeth business or stay still in the politic arena. I really don't understand what did he means.

But, it is fact that Selangor is no more BN state. Don't cry brother. Maybe you can think what is the best way to wrestle back Selangor from pakatan. Don't cry khir toyo.

Who knows you still have a chance to be the next menteri besar if the BN win in the next election and proves that what my friend jokes is totally wrong.

Don't cry brother.

HENTAM SAJALAH LABU

Andai anda sering gagal dalam ujian berkomputer JPJ dalam proses untuk mendapatkan lesen L, fikirkan banyak kali. Bukan kerana soalan yang disediakan susah, tetapi kemungkinan besar anda tidak memahami begitu banyak aspek perundangan dan peraturan yang dikenakan ketika anda berada di jalan raya.

Jangan terlalu taksub atau angkuh kononnya anda belajar tinggi, maka anda akan lulus dengan mudah dalam ujian itu. Mengikut pengalaman saya, pernah bertemu seorang lelaki yang gagal lebih 30 kali dalam tempoh lebih dua tahun. Saya tidak pasti apa puncanya sehinggakan lelaki yang belajar sehingga tingkatan lima itu gagal berpuluh-puluh kali.

Namun dalam hati saya, dapat saya rasakan yang dia tidak faham tentang undang-undang atau peraturan jalan raya. Tempoh lesen belajar memandu (L) dikatanya tiga bulan sahaja, sedangkan tempoh sebenar adalah dua tahun.

Bila ditanya kadar alkohol dibenarkan dalam mulut, darah dan air kencing, dia geleng kepala. Bila ditanya adakah dia membaca buku rujukan atau faham isi kandungan ceramah KPP, dia mengangguk.

Entahlah katanya! Tapi semangat dia kuat. Lepas lebih 30 kali gagal, dia masih mencuba walaupun menghadiri KPP sebanyak dua kali dalam tempoh lebih dua tahun

Pada saya, kegagalan memahami peraturan di jalan raya menyebabkan ramai gagal. Namun di kalangan mereka yang lulus pula, ramai juga yang tidak faham peraturan. Malah pernah saya tanyakan kepada seorang pemandu teksi. Saya tanyakan, bila hujan bolehkah kita pasangkan lampu kecemasan. Dia jawap, mestilah kena pasang. Kemudian bila saya tanya, bila berhenti di simpang empat lampu isyarat, apakah brek yang mesti digunakan. Dia jawab tarik brek tangan, kemudian tekan brek kaki. Saya pening dan pening. Bukankah brek tangan ertinya brek meletakkan kenderaan. Maknanya sebelum meletakkan kenderaan kita kena perlahankan kenderaan terlebih dulu. Maknanya juga, kita kena tekan brek kaki perlahan-lahan. Kemudian baru tarik brek tangan bila kenderaan telah berhenti. Ini tidak! Macam-macam. Kalau pemandu teksi sendiri tidak faham peraturan, jangan harap anak muda merempit juga akan faham.

Masalahnya, kenapa mereka dapat juga lesen. Ehem-ehem ke? Atau nak suruh saya jadi penyiasat macam dulu-dulu ke? Ehem-ehem. Alahai.

Tuesday, May 18, 2010

DUKA ORANG MELAYU. SECEBIS RASA

Sebahagian daripada duka orang Melayu sepanjang hidup di negara ini selepas lebih 50 tahun merdeka adalah kegagalan mereka untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa lain di dalam bidang ekonomi.

Golongan Melayu sering tertinggal dan kelihatan amat payah untuk berjaya sekaligus menguasai ekonomi di negara ini walaupun kerajaan pada dasarnya telah memperkenalkan pelbagai dasar dan pakej ransangan untuk membantu orang-orang Melayu. Memanglah pelik, selepas lebih 50 tahun merdeka, capaian ke arah sasaran memiliki 30 peratus kuasa ekonomi masih belum tercapai. Bagaikan ada halangan dan batas-batas tertentu yang menghadang hasrat kerajaan untuk melihat orang Melayu berjaya.

Sebagai kaum majoriti di negara ini, amatlah menyedihkan tahap ekonomi orang Melayu masih terus ketinggalan. Pemilikan saham, harta, simpanan tunai dan bilangan yang terbabit dalam bidang profesional di kalangan orang Melayu masih boleh dikira dengan jari. Ini jauh bezanya dengan pencapaian kaum Cina dan India. Selama ini pelbagai cara telah dilakukan untuk membantu, namun ia tetap gagal. Persoalannya, apakah cara kita membantu orang Melayu selama ini salah atau orang melayu sendiri sememangnya dilahirkan untuk merempat di bumi sendiri?

Persoalan ini mungkin sinikal di kalangan ahli politik, tetapi selepas 50 tahun merdeka bayangkan kekecewaan orang Melayu yang merempat apabila menimbang dan mengukur tahap pencapaian bangsa mereka di bidang ekonomi.

Melayu tidak bodoh, tidak malas dan tidak malang sebenarnya. Melayu makan apa yang bangsa lain makan kecuali yang diharamkan agama. darah Melayu juga merah seperti bangsa lain. Akal Melayu juga ada di dalam satu kepala setiap seorang seperti bangsa lain dan jumlah tulang dalam badan orang Melayu, termasuk organ dalam seperti hati, jantung dan paru-paru, tetap sama seperti orang lain. Soalnya, kenapa kita masih duduk semakin ke bawah ketika negara dikatakan bercita-cita menjadi negara maju tidak lama lagi.

Apakah bantuan belum menyeluruh diberikan kepada orang Melayu untuk bangkit? Kalau benar, kerajaan kena melihat ini sebagai satu cabaran. Kerajaan seharusnya melihat setiap inci kelemahan dalam membantu Melayu jadi bangsa yang maju bukan sebagai bangsa yang bangsat di negara sendiri.

Saya terpaku melihat industri kitar semula di negara ini. Banyak premis industri itu dikuasai India. Kedai runcit dikuasai bangsa Cina. Doktor, peguam dan profesional lain dikuasai India dan Cina. Di manakah orang Melayu, pada hal mereka melebihi 50 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.
Banyak pemilik kitar semula bangsa asing telah menjadi jutawan. (Tak percaya?)

Saya terkedu melihat banyak bangsa Cina memiliki premis perjudian. Ini cara mudah untuk kaya. Orang Melayu tak boleh (dengar khabar lesen judi bola sepak pun diluluskan untuk bangsa Cina) sebab mereka orang Islam. Lesen judi bola saya yakin boleh melahirkan berpuluh jutawan bangsa asing di negara ini.

Saya terharu apabila meneliti banyak MLM dimiliki kaum lain, tetapi ahlinya majoriti adalah orang Melayu. Mereka inilah yang berjalan kaki menjual barang, mencari ahli sambil meninggalkan keluarga walaupun mengetahui harga sebotol makanan kesihatan yang bernilai lebih Rm100 sama banyak dengan nilai belanja dapur bagi kebanyakan orang Melayu. Lebih terharu ada bangsa asing yang gunakan nama awalnya seperti orang Melayu sehingga mengelirukan orang ramai untuk memasuki syarikat MLM. Hakikatnya dia adalah bangsa asing yang bukan beragama Islam. Keyakinan orang Melayu dibeli dengan sedemikian rupa. Untung belum tentu, tapi pemilik syarikat kaya-raya.

Banyak benar duka orang Melayu kini, khususnya dalam bidang ekonomi. Misalnya kerajaan umum peruntukan RM10 juta untuk golongan belia tapi mesti menerusi MBM. Saya bimbang jumlah itu hanya untuk majlis konvoi bermotosikal, tempah T shirt, kembara entah apa, dan seminar yang tak menjanjikan pulangan. Jumlah RM10 juta kalau diagihkan kepada 1,000 orang belia yang mahu membuka workshop, kedai runcit, penerbitan kecil-kecilan atau nurseri bunga, mungkin boleh menghasilkan 200 jutawan kalau kena gaya. Tapi percayalah, menerusi peruntukan itu kalau mahu lahirkan 10 jutawan pun belum tentu. Silap-silap tak ada seorang pun dapat dibantu dari miskin menjadi kaya.

Macam TEKUN juga, berapa ramai orang Melayu dah jadi jutawan. Bukan mereka tidak boleh, tapi mungkin ada cara yang tidak betul dalam membantu Melayu. Mungkin macam istilah elektrik, tentu ada wayar tercabut di sana sini.

Saya terharu dan terharu. Masa terus berlalu Melayu terus layu. Menunggu hari gugur ditiup angin seperti daun kering. Demikian duka orang Melayu yang hanya secebis saya tuliskan. Adakah ia akan berlangsung turun temurun. Hanya Allah yang tahu di mana silapnya sebab kita tak pernah sungguh-sungguh melihat masalah ini dengan hati yang terbuka dan luhur!

Monday, May 17, 2010

PENGHARGAAN

Penghargaan ini kepada semua yang berikut di atas kebaikan membantu di segi moral dan material ketika saya berdepan saat-saat getir.

Brig Jeneral Ismet Nayan Ismail - Terendak Kem, Melaka
Left Kolonel Sabri
Left Kolonel Amirudin Sulaiman UPNM
Setiausaha Sulit Kanan Menteri Kemajuan Wilayah, En Karim Mustapa
Datuk Mior Kamarul Baid - Group Editor Berita Harian
Datuk Mustafa Omar - Group Editor Harian Metro
Mejar (B) Sharif Rahmat
Kapt (B) Anuar Rahim
Kapt (B) Nasir Abdullah
X -Boy The Royal Military College intake 1978-1980
Dr Nizar Abdul Jalil -Pakar Sakit Kronik HUSM
YB Suhaimi Shafie - Adun Sri Muda
En Rasid Rahaman - News Editor Berita Minggu
En Jasni Shafie - Pengulas sukan RTM
En Saodi Mat Atar - Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor
En Daud Awang - Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka
Kawan-kawan Berita Harian, Harian Metro kumpulan Karangkaraf and TV3/RTM
En Ismail Abi Hashim - Perkeso
dan kepada semua yang telah memberikan tawa mereka untuk melihat saya gembira. Termasuk kepada mereka yang telah menyalakan pelita ketika saya berada di dalam terowong yang gelap gelita.

Moga Allah memberkati anda. Lidah saya basah mensyukuri semua ini dan moga Allah memelihara anda di dalam keadaan sentiasa terlindung dan kemurahan.

SIBU; DON'T CRY JONI AND JIMMY

Don't cry Joni. Don't cry Jimmy. We lost the seat because of our failure to understand what the peoples want. Sibu is not ours. DAP unseated us steadily. Don't cry mama or papa. We will try again next election. But when?

To the loser, again; don't cry. Try hard and harder.

SIBU OH SIBU

Kalaulah kerana bukan sokongan anggota tentera dan polis yang terlibat dalam undi pos bagi pilihanraya kecil Parlimen Sibu, mahu banyak majoriti yang diterima oleh calon DAP. Mahu hampir 3,000 majoriti yang mereka perolehi, berbanding hanya 398 undi.

Kekalahan BN yang diwakili oleh calonnya Lau Jr, sepupu mendiang Robert Lau, tentu mengejutkan. Bukan rahsia lagi, kekalahan itu mengejutkan kerana BN menyangkakan kemenangan akan mudah diperolehi. Apatah lagi selepas mereka menang dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor walaupun dengan majoriti hanya 1,725 undi beberapa minggu lalu.

Undi pos yang BN perolehi sekitar 2,000 telah menyelamatkan sekurang-kurangnya daripada dikalahkan secara tragis oleh DAP. Untuk rekod undi pos yang diperolehi calon DAP hanya 70 undi manakala calon bebas pula mendapat 36 undi.

Bagaimanapun, hal yang mesti difikirkan oleh BN ialah kenapa kekalahan yang mereka dapat dan bukannya kemenangan selesa, selepas berhempas pulas membantu pengundi Sibu dengan pelbagai janji projek. Adakah pengundi Cina yang mewakili lebih 67 peratus pengundi di kawasan itu, telah dirasuk mindanya untuk membenci BN? Kalau benar, apa sebabnya? Apakah dosa BN sehingga pengundi Cina enggan membantu memenangkan BN dalam pilihanraya ini. Apakah faktor itu ada kaitan dengan ketidaksukaan mereka atau dalam perkataan lain "benci" kepada Ketua Menteri yang sesetengah pihak mendakwa telah begitu lama berkuasa.

Nampaknya satu trend telah mula dikesan. Satu isyarat telah mulai kelihatan menerusi beberapa pilihanraya kecil yang diadakan di negara ini. BN mesti bijak mengenalpasti trend dan isyarat itu. BN mesti memahami dengan jiwa dan atma yang penuh tulus. Pengundi Cina dikatakan terlalu liat untuk mengundi BN. Ini terbukti dalam pilihanraya Hulu Selangor dan Sibu.

Apakah hati mereka terluka? Saya tidak percaya alasan kempen pembangkang mempengaruhi pengundi Cina sebab pengundi Cina tidak bodoh. Yang benar bagi mereka, tetap benar, yang salah tetap salah. Kalau mereka mendengar kempen yang sama sekali tidak benar, mereka dapat membezakannya. Tapi apa yang telah terjadi pada pilihanraya Sibu? Kenapa mereka menolak BN. Ada riak tsunami mula bergerak nampaknya. BN kena pantas memahami fenomena ini.

Adakah hati pengundi terluka? Apakah yang menyebabkan hati mereka terluka. Apakah ada butir kata dari mulut pemimpin BN yang sedikit celupar menyebabkan mereka terasa? BN kenalah menyiasatnya. Kadang-kala kita tak sedar kata-kata diucapkan melukakan hati orang. Macam kata orang-orang tua. Kerana nila santan binasa, kerana mulut badan merana.

Itu satu hal. Kalaulah BN dapat mengenalpasti mungkin hati pengundi Cina telah terluka dan BN mampu merawat luka itu sehingga sembuh, bagaimana pula kalau selepas ini hati pengundi Melayu di semenanjung pula terluka. Apakah BN dapat mengesan menerusi imbasan tentang luka hati orang Melayu? Awas, pemimpin Umno khususnya, jangan buat hati pengundi terluka. Apatah lagi hati orang Melayu. Jangan lupa bantu Melayu, nanti mereka tidak akan terluka hati.

Kepada yang menang saya ucapkan tahniah. Yang kalah saya ucapkan kembalilah ke rumah. Berdiri di depan cermin, muhasabah ke dalam diri. Buang ego jauh-jauh, dan beritahu kepada diri. Rupanya banyak benda yang kita belum buat. Dan apa yang kita buat pula kadang-kala melukakan hati orang. Selamat berfikir untuk memajukan negara. Malaysia maju, rakyat bangga.

SIBU OH SIBU

Sunday, May 16, 2010

CERITA GULA LAGI. DENGARLAH SAYANG!!!!!!!

Ini cerita gula lagi. (Ulang 33 kali). Tentang gula tiada di kedai runcit dan di pasaraya. Tentang orang kampung yang berniaga kecil -kecil jual minuman marah pasal tiada gula. Entah atas apa sebabnya, gula tiada di pasaran. Kalau ada pun macam air kena catu musim kemarau.

Gula sepatutnya bukan masalah lagi bagi sebuah negara yang tanahnya subur seperti negara kita. Sumpah! Kita bodoh kerana tidak gunakan kelebihan tanah subur untuk hasilkan gula sendiri sekaligus untuk dieksport. Sumpah! Kita bodoh kerana menggunakan sistem ekonomi tertentu yang menyebabkan gula ikut harga dunia. Bodoh kita guna AP (orang kampung tak faham). Dan bodoh kita kena bagi subsidi.

Perbuatan kita tak pernah menyelesaikan masalah. Jangan berjudi. Tapi buat kedai judi. (Ada pula hati nak lesenkan judi bola). Jangan merokok tapi tanam tembakau. Jangan minum arak tapi kilang arak dibiarkan. Jangan ambil gula berlebihan, nanti kena kencing manis!

Sebenarnya dalam isu kurang gula, tak payahlah cerita pasal kencing manis. Ceritalah pasal macam mana nak murahkan gula dalam negara dan nak eksport gula banyak-banyak untuk dapat duit.

Kumpullah tebu dari setiap rumah rakyat. Hantar ke kilang-kilang. Felda, MSM dan CSR ada kilang. Tolonglah, orang kampung dah bising. Dia orang tak nak dengar apa itu transformasi, apa itu MEB, apa itu 1Malaysia, apa itu peruntukan juta-juta. Orang kampung nak tengok kita selesaikan masalah yang asas-asas. Kalau masalah yang asas-asas, tak cukup gula, minyak masak harga tinggi, petroliam mahal, tol naik, PIBG caj bayaran tinggi, banyak muflis, anak-anak keluar universiti menganggur. Itu yang mereka mahu. Soal GST, MEB atau apa lagi singkatan yang diumumkan, mereka tak faham. Mereka tak fahammmmmmmm! Sebab yang mereka faham ketika ini adalah untuk fahamkan perut anak isteri. Ada nasi untuk dimakan atau ada duit untuk digunakan atau tidak.

Tolonglah, cerita gula macam cerita orang tolol bercakap dengan orang bingai. Macam orang bangang bercakap dengan orang bingung. Orang kampung tak faham. Begitu juga cerita masalah asas yang lain. Jangan cerita yang muluk-muluk sahaja sedangkan ia hanya mimpi yang membuai. Bukan realiti.

Terima kasih atas cerita gula ini dan terima kasih pak mat, wak rahmat, wak jono dan tobeng kerana ketawa sambil tekan perut kerana kerajaan tak dapat selesai atau murahkan harga gula. Kata mereka macamlah susah sangat nak selesaikan. Saya hanya menempel, ikut dengar dan luahkan sahaja. Paling tidak mereka telah buat saya ketawa.

APABILA SAKIT

Menerbangkan kenang dalam pejam mata
di atas katil di sisi perempuan
berbaju putih yang meminta darahku,
aku perlahan-lahan khatam
Tuhan sedang menjadikan sakit ini
neraca untuk menimbang dosa...

Di mana kawan-kawan yang pernah
meminjam tawa dan jenakaku dulu..

yang tinggal adalah sahabat
yang sudi memberi pinjam duka dan tangisnya
di sisiku mengajar syahadah
biarpun payah
tapi mereka
tak pernah resah
atau merusuh hatinya.


Apabila kita sakit, bersyukurlah kepada Allah. Allah telah mendatangkan sakit itu dengan membawa pelbagai hikmah. Sakit persis raptai sebuah kematian. Tanpa sakit kita sering terlupa dan mengabaikan banyak perkara yang lebih utama. Leka kita memacu kehidupan dunia seolah-olah tiada perkara lain di sebalik kehidupan ini kecuali keseronokan. Hanya apabila sakit, butang keinsafan kita seolah-olah ditekan dan berbunyi. Namun masih adakah peluang untuk kita kembali ke pangkal jalan, menoleh ke belakang meninjau jalan pulang? Atau mengintai ke depan mencari-cari arah datang?

Maka sebelum Tuhan memberikan kita sakit, insaflah bahawa hidup ini hanya sementara. Kesementaraan itu tidak akan menjanjikan apa-apa kalau kita terus leka dan alpa. Banyak kesilapan dan kekhilafan yang kita lakukan bukan kerana kita tidak menyedari hidup di dunia ini hanya sementara, tetapi kerana kita terlalu dibuai leka dan ghairah memburu keseronokan dunia.

Pesan saya pada diri dan kepada sahabat-sahabat. Bersiap sedialah menempuh saat-saat sakit. Ia adalah pra kematian yang diturunkan Tuhan untuk menguji hambaNya.

Saturday, May 15, 2010

FIKIRLAH SAMA-SAMA

SHAH ALAM: Bukan kerana saya kecewa atau kerana saya menyembunyikan sesuatu yang selama ini terlindung di belakang dinding hati.

Tentang hal-hal berkaitan trend ahli parti PKR keluar dari rumah dan mahu bebas, tiba-tiba menyeronokkan saya untuk bercerita sedikit tentang soal perjuangan, keikhlasan dan duit.

Ada orang keluar parti kerana perjuangan. Perjuangan dalam parti yang tidak menepati kehendak falsafah perjuangannya boleh menjadi sebab. Dia pun keluar parti lalu bebas. Satu lagi, apabila hati mulai tidak ikhlas, atau parti sendiri seperti tidak ikhlas atau kelihatan tidak ikhlas, dia pun keluar parti lalu bebas. Akhirnya, soal duit. Kalau ada orang bagi duit untuk keluar parti, dia orang ambil dan patuh syarat. Dia pun keluar parti lalu bebas. Ada juga bukan sebab orang bagi duit untuk keluar parti, tapi dia sendiri telah tahu, poketnya tak berduit selama berparti sehingga anak isteri tidak makan. Dia sedih dan kesal, lalu dia pun keluar parti dan bebas.

Kini, PKR macam bukit tinggi semakin rata kena tarah. Tarah bukan oleh kontraktor, tapi oleh ahli parti yang berpaling tadah. Saya bersyukur. Bukan saya benci PKR, tapi atas prinsip saya rasa eloklah mereka yang menyedari PKR tidak memberi apa-apa keluar parti lalu bebas. Negara kita telah terlalu banyak parti untuk orang Melayu khususnya.

Dulu bila orang tanya, kamu sayang parti mana saya jawab begini: "Saya sayang Umno, saya sayang PKR, saya sayang Pas. Tapi saya lebih sayang Melayu saya dan agama saya"

Mendengar jawapan itu, banyak orang marah. Ada sahabat kecil hati. Ada kawan lari. Mereka fikir saya orang pembangkang. Kepala mereka fikir, kalau sayang semua parti tentulah saya pembohong dan sayangkan pembangkang.

Berbalik kepada cerita orang keluar PKR. 11 pemimpin telah cabut awal-awal, yang lain-lain ikut berbondong. Saya bukan mahu luahkan gembira tapi secara adil dari hati saya jelaskan, bahawa PKR tidak akan bertahan lama. Banyak pemimpinnya seolah-olah terkena kejutan budaya apabila diberi kuasa untuk memerintah beberapa negeri. Macam di Selangor, saya rasa tiang rumah telah beberapa kali berbunyi waktu malam. Maknanya, tiang makin tenggelam sebab rumah dibuat atas tanah gambut. Selepas itu saya dengar dinding, atap dan lantai kraap-kruup. Macam tak cukup paku, macam guna kayu tak bermutu. Dalam hati saya berkata, rumah dah nak roboh. Cuma baiknya, ada antara pemimpinnya yang baik dan bagus.

Tentang keluar PKR, sama-sama fikirkanlah. Kalau ditanya saya, parti ini semakin bermasalah. Pertama kerana tercetusnya masalah keyakinan di kalangan akar umbi. Kedua, parti ini gagal memaklumkan kepada rakyat jelata hala tujunya.

Saya tak berdoa untuk PKR hancur kerana dalam PKR ada Melayu. Saya hanya mohon, sama-samalah berfikir. Berfikirlah sama-sama.

Friday, May 14, 2010

BETUL, JANGAN PANDANG SEBELAH MATA

Saya merujuk tulisan Kunta Kinte dalam Berita Harian hari ini. Kata Kunta Kinte, cadangan sebuah syarikat yang diwakili empat anak Melayu untuk ambilalih konsesi lebuhraya di negara ini dengan menawarkan cadangan menakjubkan, mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

Walaupun ada antara cadangan syarikat itu, contohnya mahu menurunkan kadar tol jika kerajaan bersedia meluluskan cadangan pembelian itu dianggap sedikit pelik, tetapi saya sependapat dengan Kunta Kinte. Cadangan itu sekurang-kurangnya diteliti oleh kerajaan.

Walaupun cadangan itu datangnya daripada sebuah syarikat anak Melayu, namun janganlah kerana ia kelihatan pelik, tiada keinginan kita untuk meneliti cadangan berkenaan. Betul, jangan pandang sebelah mata kerana saya percaya kalau ia boleh dilaksanakan secara jujur dan telus, keadaan itu akan membantu rakyat. Sekaligus ia akan menaikkan imej kerajaan pada pandangan rakyat jelata kerana rakyat tentunya suka kepada sebuah kerajaan yang dapat mengurangkan kos hidup mereka.

Thursday, May 13, 2010

UMNO DAN MELAYU

SHAH ALAM: Umno telah 64 tahun merentas musim. Getir payah, sulit susah. Risau resah, hinggalah masuk meranduk musim senang dan lenang. Musim selesa dan musim-musim yang tidak bernama.

Umno telah tua dan berusia. Maknanya apabila telah tua dan berusia, Umno telah matang. Alhamdulillah. Umno belum nyanyuk dan belum lagi dirasuk atau meracau.

2008 tentu pahit bagi Umno untuk membaca sejarah perjalanan. Namun kata orang yang pahit itu biasanya ubat. Namun ubat tak semestinya pahit kerana racun juga pahit, tapi realitinya racun bukan ubat.

Berdepan musim-musim baru, saya harap Umno telah lulus dalam belajar sejarah. Saya harap Umno telah khatam memahami perasaan orang Melayu. Saya sebagai orang Melayu hakikatnya telah pudar perasaan sayangkan Umno satu ketika dulu. Benar! Entah kenapa, tetapi saya rasa Umno tentu lebih faham.

Kini Umno harus bangkit. Umno harus berubah. Umno harus menyakinkan orang Melayu khususnya bahawa itulah parti sebenar yang memayungi masa depan mereka. Umnolah tempat buat mereka memohon kasih. Umnolah tempat untuk mereka menadah harapan.

Banyak yang Umno harus buat yang saya rasa belum lagi Umno buat. Tolonglah! Tolonglah Umno. Antara rakyat dan parti, kita sebenarnya berkasih sayang. Sayanginya rakyat, maksud saya lebih istimewanya orang Melayu kerana kelak parti akan disayangi mereka.

Sudahkah Umno merenung jauh-jauh. Kita ada dua matlamat dilahirkan. Satu hidup, dan satu lagi mati. Ketika hidup kita disambut. Kita mati kita dihantar. Tapi Umno ingatkah, kenapa susah sangat Umno sejak merdeka memperjuangkan satu industri batu nisan dan kain kapan untuk orang Melayu di negara ini. Kenapakah, soal-soal kematian kita mesti diuruskan oleh bangsa asing. Contohnya pembuat batu nisan di Kuala Selangor adalah bangsa asing (bukan Islam) dan mereka juga mendapat kebenaran memajak kuari untuk batu nisan sejak berpuluh-puluh tahun.

Saya bukan cemburu kalau kita melihat ini dari sisi perniagaan semata-mata. Tapi saya risau dan malu. Sudahlah bangsa kita masih merempat dalam bidang ekonomi, soal mati kita pun seolah-olah tidak diberi perhatian. Mungkin Umno boleh tubuhkan syarikat pembuat batu nisan dan kilang kain kapan yang khusus diterajui oleh orang Melayu. Mungkin pada sisi lain, kita melihat ada elemen 1Malaysia apabila Cina membuat batu nisan untuk orang Melayu. Tapi, janganlah sampai ke situ kita melihat fenomena ini. Hal mati melibatkan maruah.

Satu lagi, Umno mesti mengira dan belajar menghitung. Bukan mengira duit atau projek. Tolong kira berapa ramai Melayu muflis dan disenaraihitamkan. Saya mohon tolong tengok betul-betul dalam senarai jabatan insolvensi apa yang sedang berlaku. Begitu ramai orang Melayu muflis dan berada dalam senaraihitam.

Tahukah kita bahawa majoriti yang muflis itu adalah berumur di antara 35 sehingga 60 tahun. Sedarkah kita kebanyakan mereka adalah lelaki dan sudah pastilah dalam usia sebegitu, mereka adalah ketua bagi sesebuah keluarga. Kalau ketua bagi sesebuah rumahtangga telah muflis, apa yang akan berlaku? Mereka tidak bekerja. Anak-anak dan isteri merempat. Rumahtangga punah dan perasaan serta emosi sentiasa dibuai oleh rasa marah dan benci. Tolonglah mereka! Tolonglah mereka! Majoriti yang muflis tentu tidak mahu mereka berada dalam keadaan itu.

Kini sebenarnya telah tiba bagi Umno untuk menjadi juara. Jika awal dulu mereka juara memerdekakan negara, kini tiba masanya Umno menjadi juara membebaskan orang Melayu dari miskin dan papa. Umno ada masa, ada ruang, ada kuasa dan ada peluang. Ketika kita tidak melupakan bangsa lain, bangsa kita juga jangan kelihatan seperti terabai.

Memang Umno telah banyak berjasa tapi pastikan lebih banyak jasa boleh ditaburkan supaya Umno akan lebih dekat di hati orang Melayu. Percayalah! Umno tidak lemah, tetapi Umno sedikit leka. Saya sayang Umno tapi adakah Umno sayangkan orang Melayu seperti saya?

InsyaAllah akan lahir sebuah buku "Kitab Untuk Umno"- mungkin boleh menceritakan 1001 masalah orang Melayu yang perlu diberi perhatian.

Salam. Selamat menyambut ulangtahun ke 64 Umno.

Wednesday, May 12, 2010

TENTANG JULIANA EVANS DAN SUDIRMAN

Maaf kali inui bercakap fasal dua artis, Juliana Evans dan allahyarham Sudirman Haji Arshad.

TENTANG JULIANA

Beliau artis muda yang baik hati dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Kadang-kadang melatah dan mudah tertawa.

Juliana mungkin masih ingat kata-kata saya padanya tidak lama dulu. Saya kata: "InsyaAllah, Ju akan jadi artis terkenal pada masa depan!"

Ketika itu Juliana bertanya semula sambil tergelak: "Macam mana uncle tahu?"

Saya pun jawap lebih kurang begini: "Itu yang uncle rasakan"

Kini, Juliana sedang menyambung pengajiannya di sebuah kolej swasta di Sunway dan saya percaya dia akan berjaya, sama ada dalam bidang akademik mahupun di dalam bidang seni.

Walaupun saya tidak mengenalinya lama, tapi secara peribadi saya mendekatinya dalam tempoh lebih sebulan, sebagai bekas jurulatih memandunya. Juliana lulus sekali sahaja. Pertama kerana dia cerdik, kedua kerana dia bersungguh-sungguh. Doa saya kepada Juliana, kalau anda mahu berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik atau seni, sekurang-kurangnya dua perkara mesti diberi perhatian. Pertama kerja keras, kedua disiplin. Tahniah dan salam.


TENTANG SUDIRMAN

Selama menjadi wartawan jenayah, saya tidak berkesempatan bertemu allayarham. Tapi dalam diam saya meminati lagu-lagunya terutama kerana sentuhan puan Habsah Hassan yang sering mencipta lirik bersesuaian.

Saya pernah diarahkan untuk menyiasat dan mencari maklumat di mana sudirman, ketika banyak pihak bertanyakan di mana beliau berada satu ketika dulu. Macam-macam kata orang. Macam-macam tempat saya pergi.

Tapi satu hari selepas berbulan-bulan menjejaki kisah beliau, saya menerima panggilan kira-kira jam 6.45 pagi dari seseorang. Begini lebih kurang kata si pemangil: "Encik, saya nak maklumkan, tadi ada ahli keluarga sudirman membuat laporan kematian beliau"

Saya terpaku, termangu dan terkedu. Ketika itu saya bertugas malam dan akan pulang sekitar jam 8 pagi. Si pemanggil mendakwa seorang anggota polis dan saya terus pergi ke rumah kakak allahyarham di sekitar bangsar.

Memang benar. Saya, Saodah Ismail (wartawan hiburan terkenal ketika itu) dan jurugambar, Noorazmi mat Noor adalah wakil media pertama tiba di rumah berkenaan. Saya meminta izin dari kakak allahyarham (Datuk Roziah) untuk menziarahi jenazah allahyarham. Syukur dbenarkan. Saodah berbual dengan Roziah manakala Atai (ketika itu masih kecil) membawa saya naik ke tingkat atas dan itulah saatnya air mata saya bergenang. Tafakur sejenak di depan jenazah, saya sedekahkan alFatihah kepada allahyarham....saya sayu. Kenapalah ketika hayatnya saya tidak berkesempatan untuk berjabat tangan. Hanya ketika kematiannya saya baru dapat bertemu. AlFatihah.

Sunday, May 9, 2010

JANGAN LARI, NANTI KENA TEMBAK

SHAH ALAM: Saya teringat jenaka dulu-dulu. "Jangan lari, nanti aku tembak!" kata pengawal keselamatan kepada seorang perompak. Kemudian perompak itu dengan selamba berhenti dan menjawab: "Jangan tembak, nanti aku lari!"

Itu jenaka dulu-dulu, tapi sekarang banyak hal berlaku yang bukan lagi jenaka sebaliknya realiti sehingga menimbulkan polemik kepada banyak pihak. Isunya, penggunaan senjata api anggota polis terhadap orang awam.

Jangan salah sangka. Saya tidak berhasrat atau pun mempunyai kecenderungan untuk bersifat memihak dalam hal ini. Pertama saya merujuk kepada kejadian pelajar berusia 15 tahun yang mati tertembak di Shah Alam dan terbaru semalam, seorang remaja 17 tahun cedera sehingga ususnya ditembusi peluru di Negeri Sembilan.

Kedua-duanya melibatkan remaja dan anggota polis. Demikian lumrah di negara kita, insiden sebegini menarik perhatian banyak pihak. Sama ada pihak yang ada kepentingan, mahupun yang langsung tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

Ingin saya luahkan, senjata api boleh membunuh apabila picunya dipetik dan pelurunya meluncur sehingga mengena sasaran. Secara logik, apakah anggota polis sesuka hati mahu menembak, terutama selepas mereka sendiri menyedari kesan akibat melepaskan tembakan tanpa mematuhi peraturan dalam melaksanakan tugas?

Hal yang lain pula, kalau logik itu dipatuhi, kenapa pula boleh berlaku insiden sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah. Di mana salah silapnya?

Hal yang satu lagi, seperti kata-kata jenaka tadi, kalau tidak bersalah kenapa kita mesti melarikan diri. Kalau takut sekali pun, tidakkah ada ruang untuk kita faham bahawa orang yang mengejar kita adalah petugas keselamatan.

Kalau hanya takut kerana tidak memiliki lesen memandu, saya rasa itu adalah satu kesilapan yang semestinya tidak berulang lagi di kalangan remaja. Dikenakan saman tidak memiliki lesen memandu tidak akan dihukum gantung. Tidak akan dihukum mati.

Apa pun, insiden telah berlaku. Takziah dan saya hanya dapat merakamkan sedih kepada pihak terbabit. Namun polis tidak pula semestinya benar dalam menjalankan tugas mereka. Dalam kejadian kedua, pengurusan tertinggi polis sendiri telah memohon maaf dan saya rasa inilah cara paling berhemah; mengakui kesilapan apabila kesilapan berlaku. Orang awam akan menghormati polis dan jangan pula bertahan hanya untuk menegakkan ego.

Polis dalam apa hal sekalipun, mesti belajar daripada pengalaman. Ditegur, ditohmah dan dijadikan mangsa kritikan sudah menjadi intipati dalam tugas seharian. Mereka mesti faham, hal sedemikian juga tidak terkecuali berlaku kepada imigresen, penjara, jpj atau pihak berkuasa tempatan.

Kepada orang politik, ambillah sikap untuk membantu dengan niat yang ikhlas dan demi menegakkan keadilan, pastikan kedua-dua pihak terbela.

Kepada ibu bapa, pastikan anak-anak memiliki lesen memandu yang sah dan mematuhi peraturan ketika menunggang, membonceng atau memandu. Jangan jadikan alasan untuk tidak mampu membiayai kos pengambilan lesen memandu kalau dalam sesebuah rumah, mereka mampu untuk memiliki dua tiga buah motosikal yang mencecah ribuan ringgit. Itu belum lagi kereta. Jangan jadikan alasan, sedangkan tanpa sedar kita mampu bertukar telefon bimbit enam bulan sekali. Ingatlah, kesilapan meletakkan kepentingan dalam susun fikiran kita akan memberi musibah.

Tumpang lalu dan salam buat semua.

GULA OH GULA

KUALA LUMPUR: Gula terus menjadi kudis dalam kehidupan setiap hari rakyat di negara kita. Sejak berbelas tahun, gula terus memberikan masalah. Maksud saya bukan masalah penyakit kencing manis yang dihidapi orang ramai, tetapi masalah gula tiada dalam pasaran! (Semalam ronda di Mydin USJ...sekamit pun tak jumpa)
Kalau masalah penyakit kencing manis, semua orang tahu cara penyelesaiannya. Jumpa doktor atau makan ubat. Tapi ini hal gula tiada untuk kegunaan seharian. Bukan sehari dua berlaku, sejak zaman nenek saya masih muda lagi.
Hari ini saya ingin meluahkan marah orang terhadap masalah ini. Masalah sebesar debu di hujung jari ini yang masih tidak usai-usai walaupun entah beberapa orang menteri menerajui kementerian berkaitan.
Siapa kata susah sangat Malaysia mahu menyediakan gula mencukupi untuk rakyatnya? Siapa cakap? Ikhlas saya katakan, sepatutnya gula di negara ini dijual dengan harga 10 sen sekilo. Lebih dari itu, kita juga mampu mengeksport gula ke luar negara dan mampu membawa hasil lumayan yang kemudiannya boleh digunakan untuk membangunkan semula negara ini.
Pak mat (bukan nama sebenar) yang bekerja sebagai penoreh getah ketika saya tanyakan hal gula tak pernah cukup dalam negara hanya mampu tersengih. Katanya, masalah gula kacang sahaja untuk diselesaikan.
"Kenapa cakap macam tu pak mat?" tanya saya.
"Engkau ni bodoh apa?" akhirnya saya ditempelak oleh pak mat yang tak pernah langsung bersekolah di zaman kanak-kanaknya.
"Kenapa pulak?" walaupun dibodohkan saya buat muka macam kura-kura terbalik lalu bertanya. "Ada cara ke nak selesaikan masalah gula ni? Menteri pun tak boleh, macam mana pak mat kata nak selesaikan macam kacang aje?" saya desak, lalu pak mat duduk di banir getah yang batangnya telah condong 45 darjah ke barat.
Dia tersengih lagi. "Senang aje!"
Saya terlopong.
"Engkau ni sama aje bodoh," sekali lagi saya dibodohkan. "Tebu ni macam batang ubi kayu. Engkau campak belakang rumah, esok lusa keluar tunas. Tunggu dua tiga bukan dah berhasil. Bangang sangat ke kalau tak nak tanam tebu belakang rumah. Kalau ada 2 juta rakyat tanam tebu dan setiap rumah hasilkan 5 kilo tebu sebulan, jumlah tebu yang boleh dihasilkan dan cecah 10 juta kilo sebulan. Cukup buat gula sampai kiamat!
"Apa nak susah? Dalam Malaysia ni berpuluh kilang boleh proses gula. Tanya Felda, tanya MSM, tanya CSR. Apa bangangnya? Hantar lori kutip tebu belakang rumah rakyat kemudian proses, kemudian jual balik"
Saya terdiam. Pak Mat bangun. Dia berkahak kemudian meluncur air pekat warna hijau dari celah mulutnya, lekat atas daun sendayan tepi parit. "Bodoh!" ptuuiiii..
"Tapi kerajaan cakap teruk subsidi, cukai itu ini dan sistem ekonomi yang ada kaitan dalam jualan gula pak mat!"
"Apa bodoh bangang engkau ni!" pak mat membentak. Sebelah kakinya dihentak lalu terbeam dalam setengah kaki di tanah gambut "Nak selesai masalah gula atau nak cerita soal sistem ekonomi?"
Saya terdiam. Ada benarnya kata pak mat. Kalau pak mat yang bodoh itu sanggup kata saya lebih bodoh dari dia, apakah perkataan yang sesuai akan pak mat lontarkan kepada mereka yang tak mampu selesaikan masalah gula sejak zaman nenek saya belum kahwin lagi ini.
Atau benarlah kata orang putih zaman dulu. Orang Melayu ni bodoh dan bangang, nak buat jarum pun tak tahu, macam mana nak merdeka. Tapi saya pun Melayu. Sedih...sayu dan hiba. Kalau masalah gula pun susah nak selesai macam mana nak selesaikan masalah lain, termasuk nak bekalkan batu nisan dan kain kapan!

Friday, May 7, 2010

JANGAN ADA BANDAR IKUT BANGSA

Betulkan saya kalau salah. Saya memandang ada yang tidak sihat dengan gelaran little india atau chinaown yang diberikan kepada bandar-bandar tertentu seperti Brickfields dan Petaling Street. Kalau kita mahu memastikan konsep 1Malaysia segar dalam hati budi rakyat di negara ini, tindakan menamakan bandar dengan gelaran mengikut kaum tertentu mesti dielakkan.

Untuk jangka panjang, saya khuatir ia akan lebih banyak memberi keburukan berbanding kebaikan yang kita jangkakan.

Bukankah kita tahu, tiada sesiapa kaum di negara ini berhak menganggap bandar-bandar tertentu lebih memihak atau memberi hak kepada kaum masing-masing? Kita bimbang kalau hal ini berlaku lagi, kesan pada masa depan suka dibayangkan.

Kita memperkenalkan 1Malaysia, tapi pada masa yang sama mengagung-agungkan konsep menamakan bandar mengikut kaum. Apakah yang kita dapat secara keseluruhan apabila kita menamakan Brickfields sebagai Little India, sedangkan di Klang sendiri gelaran itu telah ada. Apa yang kita dapat menamakan Chinatown di Petaling Street kalau orang bumiputera susah mendapat tempat untuk berniaga di situ.


Perlu diingat bahawa konsep 1Malaysia telah lama kita amalkan dan jangan kita bataskan konsep itu dengan tindakan yang kurang cerdik seperti memberi gelaran litlle india atau china town. Realitinya di mana pula Melayu town?

Cuba lihat di Kuala Selangor. Golongan Cina memonopoli industri pembuatan batu nisan untuk orang Melayu. Kita telah lama tidak kisah hal ini kerana ia gambaran jelas betapa indahnya konsep 1Malaysia. Tapi janganlah pula selepas ini kita mencipta kerenah-kerenah lain yang boleh merosakkan keindahan konsep 1Malaysia yang telah dipraktikkan sejak awal merdeka.

Hakikatnya, tak payahlah memberi gelar little india atau chinatown. Geli saya kalau mengenang apa akan terjadi pada masa depan. Semua bandar akan ada gelaran sendiri. Yang saya tahu, ini tanah Malaysia dan kita semua kaum adalah rakyat Malaysia. Hidup Malaysia!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10