nuffnang ads

Saturday, May 22, 2010

MUFTI KENA BERI FATWA

Peguam bukan Islam memohon untuk menjadi peguam syarie. Persatuan Peguam Syarie tiba-tiba membantah. Orang ramai juga mula bersuara. Sedikit demi sedikit, seperti terasa sentimen agama mulai dibakar. Orang Islam nampaknya rasional, tidak terlalu pantas melatah. Bagus begitu, kerana sebahagian sifat Islam itu adalah rasional. Tapi rasionalkah kita kalau hanya berdiam?

Namun, adakah isu ini akan reda apabila hak dan peraturan membenarkan juga seorang bukan Islam menjadi peguam syarie. Perkara ini banyak berkait dengan perundangan. Namun kita mahu melihat juga dari sisi sentimen dan perasaan manusia bernama umat Islam.

Rasional kenapa permohonan itu ditentang, antaranya kerana bimbang ia boleh melebarkan lagi isu berkaitan murtad di kalangan umat Islam. Benarkah? Kalau benar, tidakkah hal ini sepatutnya dipertimbangkan oleh pentadbir agama negeri atau persekutuan sebelum ini. Bolehkah kita menidakkan kehendak dan hak seorang bukan Islam yang berkelulusan memohon dirinya daripada didaftarkan sebagai peguam syarie? Rencam untuk dijawab.

Ini bukan hal remeh-temeh dan kita yang tidak mempunyai kelayakan di segi perundangan mungkin tidak layak membincangkannya kecuali memberi pandangan dari sisi luar kitab perundangan.

Memanglah sepatutnya hanya orang Islam yang menjadi peguam syarie untuk menguruskan hal-hal perundangan berkenaan orang Islam di mahkamah yang membentangkan perundangan Islam. Namun yang menjadi tanda tanya kita ialah kenapa seorang bukan Islam berminat benar memohon menjadi peguam syarie. Mengapa?

Mufti sepatutnya tidak terlepas pandang memberi fatwa tentang masalah ini kerana kita bimbang ia perlahan-lahan menjadi jarum yang menyuntik racun sekaligus boleh memberi kesan kepada umat Islam sendiri pada masa depan.

Kepada bijak pandai Islam, sekaranglah masa anda untuk bersuara. Jangan hanya bersuara soal haram halal dan sembahyang puasa sahaja. Sekaranglah masanya kita kena melihat kalau-kalau ada ruang tertinggal yang mesti ditampal bagi memastikan nasib umat Islam tidak terabai untuk masa kini, akan datang dan selama-lamanya.

Mungkin tindakan bukan Islam membuat batu nisan untuk orang Islam hal biasa-biasa sahaja, tapi soal seorang bukan Islam mahu menjadi peguam syarie tentu menarik akal kita untuk berfikir. Berfikirlah secara lapang, dengan hati tenang dan kita mahu menang dengan hak dan demi menjaga imej kita tanpa menjejaskan hak dan imej bangsa lain atau agama lain.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10