SHAH ALAM: Umno telah 64 tahun merentas musim. Getir payah, sulit susah. Risau resah, hinggalah masuk meranduk musim senang dan lenang. Musim selesa dan musim-musim yang tidak bernama.
Umno telah tua dan berusia. Maknanya apabila telah tua dan berusia, Umno telah matang. Alhamdulillah. Umno belum nyanyuk dan belum lagi dirasuk atau meracau.
2008 tentu pahit bagi Umno untuk membaca sejarah perjalanan. Namun kata orang yang pahit itu biasanya ubat. Namun ubat tak semestinya pahit kerana racun juga pahit, tapi realitinya racun bukan ubat.
Berdepan musim-musim baru, saya harap Umno telah lulus dalam belajar sejarah. Saya harap Umno telah khatam memahami perasaan orang Melayu. Saya sebagai orang Melayu hakikatnya telah pudar perasaan sayangkan Umno satu ketika dulu. Benar! Entah kenapa, tetapi saya rasa Umno tentu lebih faham.
Kini Umno harus bangkit. Umno harus berubah. Umno harus menyakinkan orang Melayu khususnya bahawa itulah parti sebenar yang memayungi masa depan mereka. Umnolah tempat buat mereka memohon kasih. Umnolah tempat untuk mereka menadah harapan.
Banyak yang Umno harus buat yang saya rasa belum lagi Umno buat. Tolonglah! Tolonglah Umno. Antara rakyat dan parti, kita sebenarnya berkasih sayang. Sayanginya rakyat, maksud saya lebih istimewanya orang Melayu kerana kelak parti akan disayangi mereka.
Sudahkah Umno merenung jauh-jauh. Kita ada dua matlamat dilahirkan. Satu hidup, dan satu lagi mati. Ketika hidup kita disambut. Kita mati kita dihantar. Tapi Umno ingatkah, kenapa susah sangat Umno sejak merdeka memperjuangkan satu industri batu nisan dan kain kapan untuk orang Melayu di negara ini. Kenapakah, soal-soal kematian kita mesti diuruskan oleh bangsa asing. Contohnya pembuat batu nisan di Kuala Selangor adalah bangsa asing (bukan Islam) dan mereka juga mendapat kebenaran memajak kuari untuk batu nisan sejak berpuluh-puluh tahun.
Saya bukan cemburu kalau kita melihat ini dari sisi perniagaan semata-mata. Tapi saya risau dan malu. Sudahlah bangsa kita masih merempat dalam bidang ekonomi, soal mati kita pun seolah-olah tidak diberi perhatian. Mungkin Umno boleh tubuhkan syarikat pembuat batu nisan dan kilang kain kapan yang khusus diterajui oleh orang Melayu. Mungkin pada sisi lain, kita melihat ada elemen 1Malaysia apabila Cina membuat batu nisan untuk orang Melayu. Tapi, janganlah sampai ke situ kita melihat fenomena ini. Hal mati melibatkan maruah.
Satu lagi, Umno mesti mengira dan belajar menghitung. Bukan mengira duit atau projek. Tolong kira berapa ramai Melayu muflis dan disenaraihitamkan. Saya mohon tolong tengok betul-betul dalam senarai jabatan insolvensi apa yang sedang berlaku. Begitu ramai orang Melayu muflis dan berada dalam senaraihitam.
Tahukah kita bahawa majoriti yang muflis itu adalah berumur di antara 35 sehingga 60 tahun. Sedarkah kita kebanyakan mereka adalah lelaki dan sudah pastilah dalam usia sebegitu, mereka adalah ketua bagi sesebuah keluarga. Kalau ketua bagi sesebuah rumahtangga telah muflis, apa yang akan berlaku? Mereka tidak bekerja. Anak-anak dan isteri merempat. Rumahtangga punah dan perasaan serta emosi sentiasa dibuai oleh rasa marah dan benci. Tolonglah mereka! Tolonglah mereka! Majoriti yang muflis tentu tidak mahu mereka berada dalam keadaan itu.
Kini sebenarnya telah tiba bagi Umno untuk menjadi juara. Jika awal dulu mereka juara memerdekakan negara, kini tiba masanya Umno menjadi juara membebaskan orang Melayu dari miskin dan papa. Umno ada masa, ada ruang, ada kuasa dan ada peluang. Ketika kita tidak melupakan bangsa lain, bangsa kita juga jangan kelihatan seperti terabai.
Memang Umno telah banyak berjasa tapi pastikan lebih banyak jasa boleh ditaburkan supaya Umno akan lebih dekat di hati orang Melayu. Percayalah! Umno tidak lemah, tetapi Umno sedikit leka. Saya sayang Umno tapi adakah Umno sayangkan orang Melayu seperti saya?
InsyaAllah akan lahir sebuah buku "Kitab Untuk Umno"- mungkin boleh menceritakan 1001 masalah orang Melayu yang perlu diberi perhatian.
Salam. Selamat menyambut ulangtahun ke 64 Umno.