Andai anda sering gagal dalam ujian berkomputer JPJ dalam proses untuk mendapatkan lesen L, fikirkan banyak kali. Bukan kerana soalan yang disediakan susah, tetapi kemungkinan besar anda tidak memahami begitu banyak aspek perundangan dan peraturan yang dikenakan ketika anda berada di jalan raya.
Jangan terlalu taksub atau angkuh kononnya anda belajar tinggi, maka anda akan lulus dengan mudah dalam ujian itu. Mengikut pengalaman saya, pernah bertemu seorang lelaki yang gagal lebih 30 kali dalam tempoh lebih dua tahun. Saya tidak pasti apa puncanya sehinggakan lelaki yang belajar sehingga tingkatan lima itu gagal berpuluh-puluh kali.
Namun dalam hati saya, dapat saya rasakan yang dia tidak faham tentang undang-undang atau peraturan jalan raya. Tempoh lesen belajar memandu (L) dikatanya tiga bulan sahaja, sedangkan tempoh sebenar adalah dua tahun.
Bila ditanya kadar alkohol dibenarkan dalam mulut, darah dan air kencing, dia geleng kepala. Bila ditanya adakah dia membaca buku rujukan atau faham isi kandungan ceramah KPP, dia mengangguk.
Entahlah katanya! Tapi semangat dia kuat. Lepas lebih 30 kali gagal, dia masih mencuba walaupun menghadiri KPP sebanyak dua kali dalam tempoh lebih dua tahun
Pada saya, kegagalan memahami peraturan di jalan raya menyebabkan ramai gagal. Namun di kalangan mereka yang lulus pula, ramai juga yang tidak faham peraturan. Malah pernah saya tanyakan kepada seorang pemandu teksi. Saya tanyakan, bila hujan bolehkah kita pasangkan lampu kecemasan. Dia jawap, mestilah kena pasang. Kemudian bila saya tanya, bila berhenti di simpang empat lampu isyarat, apakah brek yang mesti digunakan. Dia jawab tarik brek tangan, kemudian tekan brek kaki. Saya pening dan pening. Bukankah brek tangan ertinya brek meletakkan kenderaan. Maknanya sebelum meletakkan kenderaan kita kena perlahankan kenderaan terlebih dulu. Maknanya juga, kita kena tekan brek kaki perlahan-lahan. Kemudian baru tarik brek tangan bila kenderaan telah berhenti. Ini tidak! Macam-macam. Kalau pemandu teksi sendiri tidak faham peraturan, jangan harap anak muda merempit juga akan faham.
Masalahnya, kenapa mereka dapat juga lesen. Ehem-ehem ke? Atau nak suruh saya jadi penyiasat macam dulu-dulu ke? Ehem-ehem. Alahai.