Ini cerita gula lagi. (Ulang 33 kali). Tentang gula tiada di kedai runcit dan di pasaraya. Tentang orang kampung yang berniaga kecil -kecil jual minuman marah pasal tiada gula. Entah atas apa sebabnya, gula tiada di pasaran. Kalau ada pun macam air kena catu musim kemarau.
Gula sepatutnya bukan masalah lagi bagi sebuah negara yang tanahnya subur seperti negara kita. Sumpah! Kita bodoh kerana tidak gunakan kelebihan tanah subur untuk hasilkan gula sendiri sekaligus untuk dieksport. Sumpah! Kita bodoh kerana menggunakan sistem ekonomi tertentu yang menyebabkan gula ikut harga dunia. Bodoh kita guna AP (orang kampung tak faham). Dan bodoh kita kena bagi subsidi.
Perbuatan kita tak pernah menyelesaikan masalah. Jangan berjudi. Tapi buat kedai judi. (Ada pula hati nak lesenkan judi bola). Jangan merokok tapi tanam tembakau. Jangan minum arak tapi kilang arak dibiarkan. Jangan ambil gula berlebihan, nanti kena kencing manis!
Sebenarnya dalam isu kurang gula, tak payahlah cerita pasal kencing manis. Ceritalah pasal macam mana nak murahkan gula dalam negara dan nak eksport gula banyak-banyak untuk dapat duit.
Kumpullah tebu dari setiap rumah rakyat. Hantar ke kilang-kilang. Felda, MSM dan CSR ada kilang. Tolonglah, orang kampung dah bising. Dia orang tak nak dengar apa itu transformasi, apa itu MEB, apa itu 1Malaysia, apa itu peruntukan juta-juta. Orang kampung nak tengok kita selesaikan masalah yang asas-asas. Kalau masalah yang asas-asas, tak cukup gula, minyak masak harga tinggi, petroliam mahal, tol naik, PIBG caj bayaran tinggi, banyak muflis, anak-anak keluar universiti menganggur. Itu yang mereka mahu. Soal GST, MEB atau apa lagi singkatan yang diumumkan, mereka tak faham. Mereka tak fahammmmmmmm! Sebab yang mereka faham ketika ini adalah untuk fahamkan perut anak isteri. Ada nasi untuk dimakan atau ada duit untuk digunakan atau tidak.
Tolonglah, cerita gula macam cerita orang tolol bercakap dengan orang bingai. Macam orang bangang bercakap dengan orang bingung. Orang kampung tak faham. Begitu juga cerita masalah asas yang lain. Jangan cerita yang muluk-muluk sahaja sedangkan ia hanya mimpi yang membuai. Bukan realiti.
Terima kasih atas cerita gula ini dan terima kasih pak mat, wak rahmat, wak jono dan tobeng kerana ketawa sambil tekan perut kerana kerajaan tak dapat selesai atau murahkan harga gula. Kata mereka macamlah susah sangat nak selesaikan. Saya hanya menempel, ikut dengar dan luahkan sahaja. Paling tidak mereka telah buat saya ketawa.