Sebahagian daripada duka orang Melayu sepanjang hidup di negara ini selepas lebih 50 tahun merdeka adalah kegagalan mereka untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa lain di dalam bidang ekonomi.
Golongan Melayu sering tertinggal dan kelihatan amat payah untuk berjaya sekaligus menguasai ekonomi di negara ini walaupun kerajaan pada dasarnya telah memperkenalkan pelbagai dasar dan pakej ransangan untuk membantu orang-orang Melayu. Memanglah pelik, selepas lebih 50 tahun merdeka, capaian ke arah sasaran memiliki 30 peratus kuasa ekonomi masih belum tercapai. Bagaikan ada halangan dan batas-batas tertentu yang menghadang hasrat kerajaan untuk melihat orang Melayu berjaya.
Sebagai kaum majoriti di negara ini, amatlah menyedihkan tahap ekonomi orang Melayu masih terus ketinggalan. Pemilikan saham, harta, simpanan tunai dan bilangan yang terbabit dalam bidang profesional di kalangan orang Melayu masih boleh dikira dengan jari. Ini jauh bezanya dengan pencapaian kaum Cina dan India. Selama ini pelbagai cara telah dilakukan untuk membantu, namun ia tetap gagal. Persoalannya, apakah cara kita membantu orang Melayu selama ini salah atau orang melayu sendiri sememangnya dilahirkan untuk merempat di bumi sendiri?
Persoalan ini mungkin sinikal di kalangan ahli politik, tetapi selepas 50 tahun merdeka bayangkan kekecewaan orang Melayu yang merempat apabila menimbang dan mengukur tahap pencapaian bangsa mereka di bidang ekonomi.
Melayu tidak bodoh, tidak malas dan tidak malang sebenarnya. Melayu makan apa yang bangsa lain makan kecuali yang diharamkan agama. darah Melayu juga merah seperti bangsa lain. Akal Melayu juga ada di dalam satu kepala setiap seorang seperti bangsa lain dan jumlah tulang dalam badan orang Melayu, termasuk organ dalam seperti hati, jantung dan paru-paru, tetap sama seperti orang lain. Soalnya, kenapa kita masih duduk semakin ke bawah ketika negara dikatakan bercita-cita menjadi negara maju tidak lama lagi.
Apakah bantuan belum menyeluruh diberikan kepada orang Melayu untuk bangkit? Kalau benar, kerajaan kena melihat ini sebagai satu cabaran. Kerajaan seharusnya melihat setiap inci kelemahan dalam membantu Melayu jadi bangsa yang maju bukan sebagai bangsa yang bangsat di negara sendiri.
Saya terpaku melihat industri kitar semula di negara ini. Banyak premis industri itu dikuasai India. Kedai runcit dikuasai bangsa Cina. Doktor, peguam dan profesional lain dikuasai India dan Cina. Di manakah orang Melayu, pada hal mereka melebihi 50 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.
Banyak pemilik kitar semula bangsa asing telah menjadi jutawan. (Tak percaya?)
Saya terkedu melihat banyak bangsa Cina memiliki premis perjudian. Ini cara mudah untuk kaya. Orang Melayu tak boleh (dengar khabar lesen judi bola sepak pun diluluskan untuk bangsa Cina) sebab mereka orang Islam. Lesen judi bola saya yakin boleh melahirkan berpuluh jutawan bangsa asing di negara ini.
Saya terharu apabila meneliti banyak MLM dimiliki kaum lain, tetapi ahlinya majoriti adalah orang Melayu. Mereka inilah yang berjalan kaki menjual barang, mencari ahli sambil meninggalkan keluarga walaupun mengetahui harga sebotol makanan kesihatan yang bernilai lebih Rm100 sama banyak dengan nilai belanja dapur bagi kebanyakan orang Melayu. Lebih terharu ada bangsa asing yang gunakan nama awalnya seperti orang Melayu sehingga mengelirukan orang ramai untuk memasuki syarikat MLM. Hakikatnya dia adalah bangsa asing yang bukan beragama Islam. Keyakinan orang Melayu dibeli dengan sedemikian rupa. Untung belum tentu, tapi pemilik syarikat kaya-raya.
Banyak benar duka orang Melayu kini, khususnya dalam bidang ekonomi. Misalnya kerajaan umum peruntukan RM10 juta untuk golongan belia tapi mesti menerusi MBM. Saya bimbang jumlah itu hanya untuk majlis konvoi bermotosikal, tempah T shirt, kembara entah apa, dan seminar yang tak menjanjikan pulangan. Jumlah RM10 juta kalau diagihkan kepada 1,000 orang belia yang mahu membuka workshop, kedai runcit, penerbitan kecil-kecilan atau nurseri bunga, mungkin boleh menghasilkan 200 jutawan kalau kena gaya. Tapi percayalah, menerusi peruntukan itu kalau mahu lahirkan 10 jutawan pun belum tentu. Silap-silap tak ada seorang pun dapat dibantu dari miskin menjadi kaya.
Macam TEKUN juga, berapa ramai orang Melayu dah jadi jutawan. Bukan mereka tidak boleh, tapi mungkin ada cara yang tidak betul dalam membantu Melayu. Mungkin macam istilah elektrik, tentu ada wayar tercabut di sana sini.
Saya terharu dan terharu. Masa terus berlalu Melayu terus layu. Menunggu hari gugur ditiup angin seperti daun kering. Demikian duka orang Melayu yang hanya secebis saya tuliskan. Adakah ia akan berlangsung turun temurun. Hanya Allah yang tahu di mana silapnya sebab kita tak pernah sungguh-sungguh melihat masalah ini dengan hati yang terbuka dan luhur!