SHAH ALAM: Bukan kerana saya kecewa atau kerana saya menyembunyikan sesuatu yang selama ini terlindung di belakang dinding hati.
Tentang hal-hal berkaitan trend ahli parti PKR keluar dari rumah dan mahu bebas, tiba-tiba menyeronokkan saya untuk bercerita sedikit tentang soal perjuangan, keikhlasan dan duit.
Ada orang keluar parti kerana perjuangan. Perjuangan dalam parti yang tidak menepati kehendak falsafah perjuangannya boleh menjadi sebab. Dia pun keluar parti lalu bebas. Satu lagi, apabila hati mulai tidak ikhlas, atau parti sendiri seperti tidak ikhlas atau kelihatan tidak ikhlas, dia pun keluar parti lalu bebas. Akhirnya, soal duit. Kalau ada orang bagi duit untuk keluar parti, dia orang ambil dan patuh syarat. Dia pun keluar parti lalu bebas. Ada juga bukan sebab orang bagi duit untuk keluar parti, tapi dia sendiri telah tahu, poketnya tak berduit selama berparti sehingga anak isteri tidak makan. Dia sedih dan kesal, lalu dia pun keluar parti dan bebas.
Kini, PKR macam bukit tinggi semakin rata kena tarah. Tarah bukan oleh kontraktor, tapi oleh ahli parti yang berpaling tadah. Saya bersyukur. Bukan saya benci PKR, tapi atas prinsip saya rasa eloklah mereka yang menyedari PKR tidak memberi apa-apa keluar parti lalu bebas. Negara kita telah terlalu banyak parti untuk orang Melayu khususnya.
Dulu bila orang tanya, kamu sayang parti mana saya jawab begini: "Saya sayang Umno, saya sayang PKR, saya sayang Pas. Tapi saya lebih sayang Melayu saya dan agama saya"
Mendengar jawapan itu, banyak orang marah. Ada sahabat kecil hati. Ada kawan lari. Mereka fikir saya orang pembangkang. Kepala mereka fikir, kalau sayang semua parti tentulah saya pembohong dan sayangkan pembangkang.
Berbalik kepada cerita orang keluar PKR. 11 pemimpin telah cabut awal-awal, yang lain-lain ikut berbondong. Saya bukan mahu luahkan gembira tapi secara adil dari hati saya jelaskan, bahawa PKR tidak akan bertahan lama. Banyak pemimpinnya seolah-olah terkena kejutan budaya apabila diberi kuasa untuk memerintah beberapa negeri. Macam di Selangor, saya rasa tiang rumah telah beberapa kali berbunyi waktu malam. Maknanya, tiang makin tenggelam sebab rumah dibuat atas tanah gambut. Selepas itu saya dengar dinding, atap dan lantai kraap-kruup. Macam tak cukup paku, macam guna kayu tak bermutu. Dalam hati saya berkata, rumah dah nak roboh. Cuma baiknya, ada antara pemimpinnya yang baik dan bagus.
Tentang keluar PKR, sama-sama fikirkanlah. Kalau ditanya saya, parti ini semakin bermasalah. Pertama kerana tercetusnya masalah keyakinan di kalangan akar umbi. Kedua, parti ini gagal memaklumkan kepada rakyat jelata hala tujunya.
Saya tak berdoa untuk PKR hancur kerana dalam PKR ada Melayu. Saya hanya mohon, sama-samalah berfikir. Berfikirlah sama-sama.