nuffnang ads

Thursday, May 27, 2010

SELAMAT MAJU JAYA. BERSAMA KITA MERENTAS MASA DEPAN

Belum pernah saya membuat pujian begini. Tanpa ganjaran, tanpa agenda yang tersembunyi, tanpa ada yang tersirat di sebalik yang tersurat. Saya nyatakan kekaguman jauh dari dalam atma untuk yang memimpin negara. Maksud saya YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dari lubuk hati seorang rakyat biasa yang merempat hidupnya, saya berbangga kerana beberapa dasar, impian dan gagasan yang diperkenalkan oleh YAB telah mulai kelihatan memberi jiwa, khususnya kepada Umno yang sebelum ini seakan pudar harumnya.

Memperkenalkan dasar untuk memberi keutamaan kepada rakyat tanpa melupakan pembangunan menyeluruh di dalam negara, telah mulai membuahkan hasilnya. Pendekatan mesra untuk menyakinkan rakyat bahawa nasib mereka akan terbela adalah satu-satu cara untuk memikat semula kepercayaan mereka yang terhakis kerana hal-hal yang telah sedia kita maklum.

Sebenarnya YAB, rakyat bukan mahukan dulang emas atau intan berlian. Rakyat tidak pernah mahu dijunjung berpayungkan mahkota. Namun rakyat hanya mahu nasib mereka terbela. Mereka mahu sebuah kerajaan penyayang dan pada masa yang sama adil dan telus mentadbir negara yang kaya dan aman ini. Rakyat banyak tidak mahu diri mereka berasa terpinggir sedangkan ada kelompok tertentu memonopoli kegembiraan, kebahagiaan, kekayaan dan kesenangan. Rakyat marhen hanya mahu keadilan dipraktikkan walaupun mereka hanyalah golongan berpakaian compang-camping yang terbongkok-bongkok menoreh getah atau mendayung perahu usang membelah laut semata-mata mencari sesuap nasi.

Kini Umno semakin hidup jiwanya. Dekatilah rakyat tanpa mengira bau badan mereka. Tanpa mengira cantik buruk wajah mereka. Dari nafas busuk dan keringat tengik merekalah sebenarnya Umno dulu lahir dan hidup sebagai sebuah parti yang menjadi pohon rimbun rendang yang akhirnya mesti bertanggungjawab memayungi bangsa Melayu merentas musim-musim selepas merdeka.

Saya tabik selepas melihat apa yang YAB lakukan untuk negara, bangsa dan parti. Rakyat jelata semakin tinggi keyakinan melihat sebuah pentadbiran yang berani melakukan inovasi dan transformasi. Jangan bimbang YAB. Orang Melayu akan kembali meyokong Umno. Mereka menyokong bukan kerana mendapat imbuhan, tetapi kerana berasa dihargai.

Teruskan dasar-dasar yang baik untuk bangsa dan negara. Tanpa berselindung, kita harus mengakui hakikat bahawa masih banyak yang boleh kita lakukan untuk rakyat. Masih banyak yang Umno boleh lakukan untuk orang Melayu.

Dasar mengutamakan rakyat sememangnya amat penting. Rakyat sentiasa memerlukan perhatian. Rakyat bukan mahukan belaian, tapi rakyat mahu diri mereka terasa dihargai.

Walaupun gejolak dan gelodak berlaku di sana sini kebelakangan ini, jangan khuatir Perdana Menteri. Itu hanyalah asam garam dalam kehidupan dan demi merentas masa depan yang penuh liku, kita kena percaya bahawa akhirnya kita akan sampai ke puncak juga.

Jangan bimbang tentang kemenangan. Percayalah, Allah akan melindungi pemimpin yang berhati ikhlas. Moga luahan ini memberi kita kekuatan untuk menghadapi pilihanraya umum. Salam maju jaya untuk Umno dan bangsa Melayu.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10