Kalaulah kerana bukan sokongan anggota tentera dan polis yang terlibat dalam undi pos bagi pilihanraya kecil Parlimen Sibu, mahu banyak majoriti yang diterima oleh calon DAP. Mahu hampir 3,000 majoriti yang mereka perolehi, berbanding hanya 398 undi.
Kekalahan BN yang diwakili oleh calonnya Lau Jr, sepupu mendiang Robert Lau, tentu mengejutkan. Bukan rahsia lagi, kekalahan itu mengejutkan kerana BN menyangkakan kemenangan akan mudah diperolehi. Apatah lagi selepas mereka menang dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor walaupun dengan majoriti hanya 1,725 undi beberapa minggu lalu.
Undi pos yang BN perolehi sekitar 2,000 telah menyelamatkan sekurang-kurangnya daripada dikalahkan secara tragis oleh DAP. Untuk rekod undi pos yang diperolehi calon DAP hanya 70 undi manakala calon bebas pula mendapat 36 undi.
Bagaimanapun, hal yang mesti difikirkan oleh BN ialah kenapa kekalahan yang mereka dapat dan bukannya kemenangan selesa, selepas berhempas pulas membantu pengundi Sibu dengan pelbagai janji projek. Adakah pengundi Cina yang mewakili lebih 67 peratus pengundi di kawasan itu, telah dirasuk mindanya untuk membenci BN? Kalau benar, apa sebabnya? Apakah dosa BN sehingga pengundi Cina enggan membantu memenangkan BN dalam pilihanraya ini. Apakah faktor itu ada kaitan dengan ketidaksukaan mereka atau dalam perkataan lain "benci" kepada Ketua Menteri yang sesetengah pihak mendakwa telah begitu lama berkuasa.
Nampaknya satu trend telah mula dikesan. Satu isyarat telah mulai kelihatan menerusi beberapa pilihanraya kecil yang diadakan di negara ini. BN mesti bijak mengenalpasti trend dan isyarat itu. BN mesti memahami dengan jiwa dan atma yang penuh tulus. Pengundi Cina dikatakan terlalu liat untuk mengundi BN. Ini terbukti dalam pilihanraya Hulu Selangor dan Sibu.
Apakah hati mereka terluka? Saya tidak percaya alasan kempen pembangkang mempengaruhi pengundi Cina sebab pengundi Cina tidak bodoh. Yang benar bagi mereka, tetap benar, yang salah tetap salah. Kalau mereka mendengar kempen yang sama sekali tidak benar, mereka dapat membezakannya. Tapi apa yang telah terjadi pada pilihanraya Sibu? Kenapa mereka menolak BN. Ada riak tsunami mula bergerak nampaknya. BN kena pantas memahami fenomena ini.
Adakah hati pengundi terluka? Apakah yang menyebabkan hati mereka terluka. Apakah ada butir kata dari mulut pemimpin BN yang sedikit celupar menyebabkan mereka terasa? BN kenalah menyiasatnya. Kadang-kala kita tak sedar kata-kata diucapkan melukakan hati orang. Macam kata orang-orang tua. Kerana nila santan binasa, kerana mulut badan merana.
Itu satu hal. Kalaulah BN dapat mengenalpasti mungkin hati pengundi Cina telah terluka dan BN mampu merawat luka itu sehingga sembuh, bagaimana pula kalau selepas ini hati pengundi Melayu di semenanjung pula terluka. Apakah BN dapat mengesan menerusi imbasan tentang luka hati orang Melayu? Awas, pemimpin Umno khususnya, jangan buat hati pengundi terluka. Apatah lagi hati orang Melayu. Jangan lupa bantu Melayu, nanti mereka tidak akan terluka hati.
Kepada yang menang saya ucapkan tahniah. Yang kalah saya ucapkan kembalilah ke rumah. Berdiri di depan cermin, muhasabah ke dalam diri. Buang ego jauh-jauh, dan beritahu kepada diri. Rupanya banyak benda yang kita belum buat. Dan apa yang kita buat pula kadang-kala melukakan hati orang. Selamat berfikir untuk memajukan negara. Malaysia maju, rakyat bangga.