SHAH ALAM: Saya teringat jenaka dulu-dulu. "Jangan lari, nanti aku tembak!" kata pengawal keselamatan kepada seorang perompak. Kemudian perompak itu dengan selamba berhenti dan menjawab: "Jangan tembak, nanti aku lari!"
Itu jenaka dulu-dulu, tapi sekarang banyak hal berlaku yang bukan lagi jenaka sebaliknya realiti sehingga menimbulkan polemik kepada banyak pihak. Isunya, penggunaan senjata api anggota polis terhadap orang awam.
Jangan salah sangka. Saya tidak berhasrat atau pun mempunyai kecenderungan untuk bersifat memihak dalam hal ini. Pertama saya merujuk kepada kejadian pelajar berusia 15 tahun yang mati tertembak di Shah Alam dan terbaru semalam, seorang remaja 17 tahun cedera sehingga ususnya ditembusi peluru di Negeri Sembilan.
Kedua-duanya melibatkan remaja dan anggota polis. Demikian lumrah di negara kita, insiden sebegini menarik perhatian banyak pihak. Sama ada pihak yang ada kepentingan, mahupun yang langsung tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
Ingin saya luahkan, senjata api boleh membunuh apabila picunya dipetik dan pelurunya meluncur sehingga mengena sasaran. Secara logik, apakah anggota polis sesuka hati mahu menembak, terutama selepas mereka sendiri menyedari kesan akibat melepaskan tembakan tanpa mematuhi peraturan dalam melaksanakan tugas?
Hal yang lain pula, kalau logik itu dipatuhi, kenapa pula boleh berlaku insiden sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah. Di mana salah silapnya?
Hal yang satu lagi, seperti kata-kata jenaka tadi, kalau tidak bersalah kenapa kita mesti melarikan diri. Kalau takut sekali pun, tidakkah ada ruang untuk kita faham bahawa orang yang mengejar kita adalah petugas keselamatan.
Kalau hanya takut kerana tidak memiliki lesen memandu, saya rasa itu adalah satu kesilapan yang semestinya tidak berulang lagi di kalangan remaja. Dikenakan saman tidak memiliki lesen memandu tidak akan dihukum gantung. Tidak akan dihukum mati.
Apa pun, insiden telah berlaku. Takziah dan saya hanya dapat merakamkan sedih kepada pihak terbabit. Namun polis tidak pula semestinya benar dalam menjalankan tugas mereka. Dalam kejadian kedua, pengurusan tertinggi polis sendiri telah memohon maaf dan saya rasa inilah cara paling berhemah; mengakui kesilapan apabila kesilapan berlaku. Orang awam akan menghormati polis dan jangan pula bertahan hanya untuk menegakkan ego.
Polis dalam apa hal sekalipun, mesti belajar daripada pengalaman. Ditegur, ditohmah dan dijadikan mangsa kritikan sudah menjadi intipati dalam tugas seharian. Mereka mesti faham, hal sedemikian juga tidak terkecuali berlaku kepada imigresen, penjara, jpj atau pihak berkuasa tempatan.
Kepada orang politik, ambillah sikap untuk membantu dengan niat yang ikhlas dan demi menegakkan keadilan, pastikan kedua-dua pihak terbela.
Kepada ibu bapa, pastikan anak-anak memiliki lesen memandu yang sah dan mematuhi peraturan ketika menunggang, membonceng atau memandu. Jangan jadikan alasan untuk tidak mampu membiayai kos pengambilan lesen memandu kalau dalam sesebuah rumah, mereka mampu untuk memiliki dua tiga buah motosikal yang mencecah ribuan ringgit. Itu belum lagi kereta. Jangan jadikan alasan, sedangkan tanpa sedar kita mampu bertukar telefon bimbit enam bulan sekali. Ingatlah, kesilapan meletakkan kepentingan dalam susun fikiran kita akan memberi musibah.
Tumpang lalu dan salam buat semua.