nuffnang ads

Friday, July 23, 2010

KAWAN LAMA ISA SAMAD DI RUMAH ORANG TUA KUALA KUBU BAHRU

Kasih isteri sampai ke mati. Kasih sahabat sampai ke mana? Hampir tiga tahun, saudara Ahmad Sulong, 60, berada dalam jagaan sebuah rumah perlindungan orang tua-tua di sekitar Kuala Kubu Bahru, namun salah satu impiannya untuk bertemu sahabatnya yang paling istimewa masih tidak terpenuh. Tidak kesampaian.
    Siapa sahabat pak Ahmad itu? Tentu ramai nak tahu. Tak lain dan tak bukan ialah Tan Sri Isa Samad, adun Bagan Pinang sekarang, dan bekas menteri besar Negeri Sembilan.
     Apa hubungan antara mereka berdua? Mereka adalah sahabat sejak kecil dan Ahmad sendiri mengakui pernah sebelum ini bersama Isa melawat dan berkunjung keluar negara. Ayah pak Ahmad, Sulong Said, lebih dikenali sebagai Dukun Sulong adalah sahabat baik ayah Isa, iaitu arwah Tan Sri Samad .
    Terpanggil juga saya menyatakan kesedihan betapa seorang sahabat yang kini terlantar menderitai sakit tua sedang menanggung rindu di pusat perlindungan dan kebajikan orang tua-tua manakala sahabatnya Isa pula sedang seronok dan bahagia bersama isteri barunya.
    Isa boleh sahaja berkata tidak kenal atau boleh bersikap tidak mahu ambil tahu hal-hal Ahmad, tetapi realitinya mereka adalah kawan baik. Sama-sama bersekolah di Sekolah Tinggi Port Dickson dulu.
   Ini sekadar pemberitahuan kepada Isa bahawa sahabat lamanya itu sedang terlantar merinduinya. Kalau sudi kunjungilah Ahmad di sebuah rumah kebajikan dan perlindungan orang tua di Kuala Kubu Bahru di Selangor.
   Ahmad memang tak menagih simpati Isa, tetapi sebagai manusia kita faham apalah makna kawan ketika saat-saat diuji sedemikian parah oleh Allah.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Ala Mat Sulong Kg Teluk. Tak kan tak kenal. Alahai...

PILIHANRAYA: TAK ADA ILHAM?

Seman datang akhirnya berjumpa selepas beberapa minggu merajuk kerana harga gula dinaikkan sebegitu tinggi. Memang Seman akan jatuh sawan setiap kali hal-hal berkaitan gula dijadikan isu.
     Dan sebentar tadi Seman datang membawa muka selamba. "Tebu yang aku tanam dah dekat setengah meter tunasnya menegak"
     Saya anggukkan. Seman melemparkan seringai yang lebih luas. Nampak sebaris gigi atasnya yang kuning pekat. "Engkau marah aku lagi ke?" dia menumpang duduk di sebelah, sambil kakinya terhayun-hayun dijuntaikan dari atas bangku buluh bawah pokok jambu.
     "Jangan marah la ya," dia memujuk. Saya hairan. Sepatutnya saya yang bimbang dia masih merajuk, tapi sebaliknya pula berlaku.
     "Kawan-kawan mana boleh bawa hati" akhirnya saya jawab secara bodoh. Seman menyengih dan berpaling. Matanya tajam merenung ke dalam mata saya. Terasa ada sesuatu bernama keihklasan.
     Ditepuknya paha sebelah kanan saya dua kali. "Aku datang ni pun ada hal lagi," suara Seman perlahan keluar daripada celah bibirnya yang dipagar hutan berbunga lalang itu.
    "Apa halnya lagi?"
    Seman terkekeh-kekeh. Lama dia terkekeh-kekeh dan di hujung kekeh yang lama itu saya terdengar kekehnya berdecit-decit. "Apa halnya?" saya mendesak.
    "Kau agak pilihanraya bila?"
    Saya turun dari pangkin. Berdiri betul-betul di depan Seman. "Aku ingat ada hal lain. Rupanya pilihanraya!" Saya tenung muka Seman. Lama berlawan tenung, Seman tertawa dan saya pun tertawa.
    "Bila agaknya?" tanya Seman di hujung tawanya.
    "Beginilah kawan..." saya memberi jawapan. "Ada orang bagitahu, cadangannya dah dekat tapi ada pula kumpulan pemikir yang bantah kata nampak gaya BN susah kalau pilihanraya!"
    "Habis?" Seman tak sabar terus bertanya.
    "Itulah tu," jawap saya. "Ada sumber kata tunggu round PM lawat Sabah dan Sarawak. Lepas tu satu keputusan mungkin diambil menentukan tarikh yang sesuai. Sumber pun ada bayangkan, mungkin tak mustahil dalam tempoh terdekat. Kalau tangguh pun lima enam bulan aje!"
    "Jadi tak tahulah bila sebenarnya pilihanraya?" Seman semacam kecewa.
    "Dulu Mahathir selalu kalau ditanya, kata tunggu ilham. Sekarang Najib bukan tunggu ilham...tapi mungkin dah tak ada ilham kut!"
    Dan kami tergelak-gelak. Gelak sekuat-kuatnya sehingga beberapa ekor beruk belakang rumah terkejut dan meloncat dari pokok getah ke pokok halban sebesar pemeluk.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Tak ada ilham?

PERINGATAN ULANGAN: ORANG POLITIK JANGAN CAMPUR HAL JCorp

Saya suka meminta semua rakyat membuka mata dan membaca penuh makna sebahagian tulisan yang ditulis oleh Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim di dalam kolumnya di dalam Harian Metro semalam. Tanpa mahu mempengaruhi sesiapa tentang 'sesuatu' yang sedang berlaku saya mengajak orang ramai melihat satu sisi perangai manusia bergelar orang politik. Itu sahaja. Sekurang-kurangnya kita tahu akhirnya bahawa ada orang politik sanggup gigit tangan kawan, seperti pernah diungkapkan Allahyarham Tan Sri Osman Saat kepada saya beberapa tahun lalu di kediamannya.
   Berikut petikan tulisan Muhammad Ali Hashim; "Dalam bisnes, persengketaan dan konflik juga berlaku akibat sikap tamak, iri hati dan rakus. Sifat ini seperti virus yang mudah menjangkiti masyarakat sehingga mendorong seseorang MENIPU, MEMFITNAH, MERAMPAS, MENYAMUN serta melakukan segala hal yang dilarang demi mendapatkan harta kekayaan yang jelas BUKAN MILIKNYA.
   Persaingan sengit juga semakin meruncingkan keadaan. Perebutan peluang dan kesempatan banyak mengakibatkan dihalalkan segala cara sehingga diibaratkan 'MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH'. Kalau harta ayah sendiri sanggup disamun, apa lagi harta milik masyarakat dan kerajaan.
   Mungkin ini yang dipelajari dan diteladani daripada permainan monopoli. Matlamatnya ialah merebut semua dengan pantas sebelum dipintas. Pedulikan nilai etika,batasan moral, hak dan batil, halal haram agama dan undang-undang. Dalam monopoli, ramai sanggup masuk penjara kerana akan segera keluar setelah membayar RM200 (memberi rasuah?) dan setelah itu ulangi semula pembolotan harta kekayaan mengikut cara yang sama"
   Kepada semua pelayar siber saya mohon sebar-sebarkanlah petikan tulisan ini sebagai peringatan betapa dasyatnya perilaku seseorang dalam merampas sesuatu yang bukan haknya. Hal-hal berkaitan penyamunan, perompakan, pemalingan dan perampokan ini sebenarnya sedang berleluasa.
   Kita melihat permainan ini sedang berlaku di selatan tanah air melibatkan juga pengaruh politik dan tangan-tangan tokoh politik yang begitu licik bersandiwarawa.
   Kepada rakyat Malaysia, terutama generasi muda, kamu lihatlah dalam-dalam wajah Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang tak kering keringat membangunkan JCorp. Pernah air matanya menitis demi cintanya pada sebuah syarikat korporat yang mahu berjaya sebagai tanda betapa bagusnya pemain ekonomi Melayu. Namun kita lihatlah juga akhirnya nanti. Saya haya mampu berkongsi simpati. Selamatkan JCorp dari orang-orang yang rakus. Yang betul, saya katakan betul. Salah tetap salah.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Tak selamat merampas harta yang bukan hak kita!

PEGAWAI KERAJAAN DAPAT PEMBELAAN POLITIK. FUHHHH!

Kita tengok berapa lama Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang boleh kekal di kerusinya? Kita tengok berapa lama KSN dan PM boleh membela pegawai kerajaan pusat yang tidak boleh diterima oleh kerajaan negeri.

Ini hal yang semua orang boleh perhatikan, betul atau tak betulnya kerajaan memerintah. Hanya kerana politik sanggup PM dan KSN bela pegawai kerajaan yang tunjuk sikap kurang ajar terhadap seorang Ketua Menteri. Bela pegawai kerajaan yang mengeluarkan kata-kata biadap terhadap ketua menteri sambil duduk sepinggan dengan orang UMNO dalam sidang akhbar!

Memang dah jangka dah. Niat orang politik BN memang satu. Lantaklah engkau. Yang engkau lawan tu bukan orang Barisan Nasional. Orang Pembangkang! Engkau makipun lagi baik. Mungkin itu yang ada dalam hati perut pemimpin kerajaan. Tapi cuba tengok kalau pegawai tu lawan sikit aje orang BN. Mampus ke hulu ditukar 24 jam. Hal-hal macam ini tak payah berwayanglah konon ketua Menteri yang salah, pegawai kerajaan tu tak salah. Ini politklah beb.


Cuma Najib tak sedar agaknya. Hal-hal berbohong depan orang ramai macam ini, atau perbuatan membela orang yang salah macam ini memang dibenci rakyat. Kalau ada seribu orang 20 undi mesti lari sebab hal macam ini. Najib tak pernah fikir agaknya. Cubalah nasihatkan sikit pegawai kerajaan tu. Taklah sampai macam Datuk Nasir Safar, bekas pegawai khasnya yang letak jawatan dulu. Nasihatkan bahawa pegawai kerajaan ada kod etika. Nak dimaki macam mana pun tak boleh lawan balik kecuali ambil tindakan ikut sivil atau saluran mahkamah atas kapasiti peribadi. Kerajaan pun tak boleh campur dalam urusan mahkamah yang diambil kerana ia lebih bersikap peribadi.

Ini asyik pusing kiri kanan, tunggu tuah kalau-kalau ada merit untuk BN atau parti memerintah memulas telinga lawan. Tak ingatkah perbuatan membela tak kena tempat ini semacam berbogel di depan cermin melihat diri sendiri telanjang. Buruknya!

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Jangan fikir rakyat nak sokong pegawai kerajaan tu.Menyampah adalah.

IKAN PUYU DAN SEPAT SIAM DI LAUT

Jangan hairan dan terkejut dengan insiden beberapa kali buaya dilihat timbul di tepi pantai sekitar Port Dickson dan Melaka sebelum ini. Itu memang disahkan buaya kerana selain dirakamkan gambarnya, pakar haiwan juga mengesahkan tentang kewujudan spesies buaya air masin di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa selain buaya beberapa kejadian aneh turut berlaku dan dialami oleh beberapa nelayan di sekitar pantai Port Dickson menganjur ke pantai negeri Melaka.

Antaranya ialah penemuan ikan puyu dalam jala oleh seorang nelayan di pantai laut Pasir Panjang, berdekatan Kem Membina Semangat di Tanjung Selamat, Port Dickson tidak lama dulu. Ikan puyu sebesar tiga jari itu terperangkap di dalam jala bersama beberapa ikan lain dari sepesies yang hidup d air masin.

Kalau itu belum menakjubkan, insiden seorang lelaki India dari Melaka yang menjala di tempat sama, mendapat ikan sepat siam juga sebahagian daripada hal yang pelik. Ikan air tawar yang biasanya banyak kedapatan di sawah atau bendang itu boleh hidup di kawasan air masin!

Paling mengejut dan melucukan ialah lelaki India itu terus balik dan mencampakkan semula ikan berkenaan ke laut kerana berasa tidak sedap hati. Untung ikan tu!

Kejadian ini penulis saksikan dengan mata kepala sendiri.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Apa nak hairan. Buaya pun ada kat darat.

PETUA ELAK TERJERAT AYAT MAT NEGRO

Banyak kes wanita Melayu dan bukan Melayu terjerat dengan cinta maut mat Afrika dilaporkan menerusi media. Kebanyakan kes berpunca daripada kelalaian minah tempatan yang terpengaruh dengan ayah jawi terkeluar dari mulut mat Afrika terbabit.

Difahamkan, wanita kesunyian dan wanita yang meletakkan jodoh hanya pada nasib, sering terjerumus ke dalam pelukan cinta gila mat Afrika. Mangsa tidak menyedari dan kalau pernah membaca media pun tidak mengambil berat tentang nasihat dan perakuan pihak berkuasa bahawa mat Afrika sebenarnya lebih banyak terbabit dalam kegiatan mengedar dadah dan penipuan wang palsu.

Bagi mengelakkan wanita terjerat:

1.Pastikan emel yang anda terima khususnya daripada mereka mengakui ahli perniagaan dan anak atau kerabat DiRaja Afrika, dibakulsampahkan sahaja.
2.Begitu juga emel yang datang daripada mereka yang mengaku lelaki eropah atau wanita eropah. Mereka ini biasanya dijadikan umpan oleh sindiket tertentu yang menggunakan pelbagai jenis taktik bagi mengaburi wanita. Ada yang menjanjikan wang dan cinta, tetapi akhirnya wanita yang berharap pula menjadi mangsa. Lupakan emel sedemikian termasuk rakan siber yang mengakui mahu mengahwini wanita kesunyian.
3.Jika bertemu dengan mat Afrika, anda tidak perlu melayan kata-katanya walaupun anda akan berasa simpati memperlakukan dirinya sebegitu. Anda tidak perlu rasa bersalah kerana dia belum pasti pelancong yang boleh dihormati tetapi kemungkinan besar penjenayah yang sedang mencari mangsa.
4.Jangan bersendirian atau pulang ke rumah waktu lewat malam, terutama di kawasan apartment atau rumah pangsa yang sering dijadikan rumah sewa golongan itu. Anda pasti akan menjadi mangsa mereka jika anda menolak andaian ini.
5.Kalau boleh dapatkan pepper spray. Simpan dalam tas tangan dan jangan teragak-agak menggunakannya jika anda tahu anda dalam bahaya.
6.Kunci kereta jika anda didekati mat Afrika dan jangan buka tingkap, sebaliknya gelengkan kepala dan terus meninggalkan tempat berkenaan dengan segera. Bunyikan hon berkali-kali kalau anda dihalang.
7.Jangan berikan nombor telefon anda kepada orang tidak dikenali yang mungkin ada kaitan dengan sindiket mat Afrika.
8.Paling penting, berpesan kepada diri bahawa mat Afrika telah banyak melakukan jenayah. Maka, anda tidak boleh mempercayai mereka.

SIRI LAWAK AIR NOH OMAR

Ini satu lagi siri cerita lawak Noh Omar. Mulut masih penuh pasir, dah ubah cerita masuk bab air. Kata Noh, Selangor akan berdepan krisis air kronik menjelang 2014. Ikut katanya, penjelasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa air cukup sehingga 2019 tak betul sama sekali. Itu katanya penjelasan yang boleh kelirukan rakyat.

Hebat si Noh ini. Dia saja yang betul. (Kalau engkau betul Selangor tak jatuh 2008). Konon nak jadi juara rakyat. Nak nampak batang hidung pun payah, tak payahlah cerita fasal air. Cerita fasal pasir pun tak jelas dan buat orang senak perut ketawa. Jangan tamak pulak. Nampak ada isu pasir, dia nak rembat. Nampak ada isu air, dia nak sapu. Tinggallah sikit untuk kawan. Khir pun hendak jugak. Khir pun nak jugak melalak kalau tak pun menyalak.

Inilah rupa dan wajah orang-orang politik yang kecewa apabila Selangor jatuh ke tangan PR. Untuk dapatkan semula negeri, macam-macam mereka buat. Kadang-kadang boleh buat filem tengok kelakau(kelakar) dan lawak mereka ni. Apa saja nampak pelik sikit depan mata jadi isu. Silap-silap tahi kambing tepi jalan pun esok lusa dikutip digoreng dijadikan isu. Manalah tahu disalahkannya pula kerajaan negeri kenapa tak pakaikan seluar pada kambing sehingga berak merata. Matilah kerajaan Selangor nak jawab.

Nah engkau...demikian sungguh-sungguhnya Noh Omar dan Khir. Fasal air, lepas subuh tadi muka macam tak puas hati aje. Konon Khalid Ibrahim cakap tak betul. Cuma saya nak ingatkan Noh. Jangan ingat awak tu saja betul. Kerajaan negeri pun ada panel pemikir dan pengkaji isu air ini. Syabas cakap tu awak tengok kiri dan kanan dulu. Awak fikir betul-betul, masak atau tidak. Lagipun air ni kerja Allah. Kalau Allah kata hari ini kemarau dan kontang semua sungai, kita nak buat macam mana. Buat sebesar negeri Selangor kawasan tadahan pun, airnya tak akan cukup. Tapi kalau Allah kata cukup, esok kita bina loji sebesar lubang hidung Noh Omar atau Khir Toyo pun airnya cukup jugak untuk rakyat Selangor dan Kuala Lumpur. Yang penting, kita kena percayakan orang, percayakan Allah.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Selagi cara cakap, riak muka dan personaliti tak berubah, orang tak sokong dik!

Thursday, July 22, 2010

SIRI CERAMAH LAWAK PASIR NOH OMAR

Marilah anak-anak Selangor. Terutama generasi muda. Kita hadiri siri ceramah mengenai isu pasir yang akan dianjurkan oleh Noh Omar tak lama lagi. Jangan lupa bawa sapu tangan atau tisu. Jangan lupa. Ini pesanan saya sebab ceramah itu nanti bakal menyebabkan air liur kita meleleh-leleh. Jangan juga lupa bawa pil chi kit teck aun
kerana saya bimbang akibat terlalu geli hati, perut kita boleh jadi sakit dan cirit birit pula..

Noh Omar nak jadikan isu ini menjatuhkan kerajaan PR sekarang. Baca baik-baik. (Nak jatuhkan PR Selangor) Marilah kita lihat dan dengar. Kalau ada yang diserang sindrom ketawa tak henti-henti nanti, mohon pada saudara Noh Omar bantuan kupon beras percuma!

Saya percaya, Noh Omar akan berapi-api mahu bercerita soal pasir di Selangor. Macamlah isu pasir baru semalam berlaku. Apa-apa pun bagilah dia peluang untuk bercakap, sebab setakat ini tak ada isu lain yang boleh diceriterakan oleh Noh di Selangor kecuali isu korek dan tanam pasir.

Kita dah lama tengok sejarah. Khir dulu kata nak sifar pembangkang. Tapi akhirnya dia disifarkan daripada sebarang peluang menjadi menteri besar. Sekarang Noh pula nak julang isu pasir jadi cagaran. Kita tengoklah nanti. Kalau boleh tahan gelak, tahanlah. Kalau tak boleh, gelaklah sampai pilhanraya. Kita tengok kalau-kalau ada badut makan pasir.


DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Jangan lupa bawa penyapu dengar ceramah Noh Omar.

SONETA KHIR, NOH DAN MAT TAIB

Baik Noh Omar, baik Khir Toyo. Sebenarnya dua-dua sudah susah mahu diterima orang di Selangor. Saya percaya kalau dua-dua masuk bertanding dalam pilihanraya kali ini, keputusannya adalah sesuatu yang agak melucukan. Percayalah, rakyat Selangor hari ini telah bijak menilai.

Ada di antara anak Selangor yang bijak membaca makna di sebalik raut wajah tau! Ini yang seronok dengar. Tilik-tilik wajah Noh dan Khir, anak Selangor tu kata, dua-dua sedang bersusah hati. Kalau bertanding pilihanraya, mereka berdepan masalah dengan lawan yang lebih hebat.

Tak perlu percaya pada kata-kata itu, sebaliknya percayalah pada kenyataan bahawa kedua-duanya akan berdepan kesulitan memimpin UMNO dalam pilihanraya kerana ada orang UMNO sendiri belum sedia untuk menyokong. Orang UMNO kata sekarang mana ada peruntukan. Kami pun nak makan susah. Kalau macam ini kami tak akan buang duit sendiri untuk untuk bantu UMNO berkempen. Hujung cakap, susah UMNO nak menang di Selangor.

Kalau saya dapat jumpa Mike Tyson pun bagus juga saat ini. Nak tanya juga merajuk sangat ke atau tengah sakit. Beginilah uncle. Pedulikan saja hal politik Selangor. Bukankah Najib dan Noh dah ambil kuasa. Uncle duduk diam-diam. Uncle tengok sendiri apa jadi nanti. Dulu masa uncle jadi MB orang politik kawan sendiri juga yang banyak tikam belakang. Sekarang, biarkan.

Pusing balik hal Noh dan Khir. Nampak macam berlumba-lumba cari publisiti dan menyelongkar isu mana sempat. Habis semua longkang dikais, kut-kut jumpa isu nak membedal. Maka terjumpalah Khir satu isu pelajar Yayasan Selangor terpaksa pindah. Bergambarlah dia dengan pelajar dan mak bapa pelajar di tempat belajar. Tup-tup, isu jadi terbalik. Yayasan Selangor dan mak bapak budak-budak cakap apa? Terima kasih kerajaan Selangor sekarang. Yayasan Selangor mereka kata buat tindakan yang amat betul. Kami dulu tak faham, sebab orang politik datang mengacau fikiran. Sebab itu kami meracau.


DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Mat Taib lebih elok tolong rakyat Selangor berada dalam keadaan sekarang. Buat apa menolong kawan lama kalau tangan kita digigit.

TAK SETUJU SILA KELUAR,. JANGAN BERPOLITIK

Kalau tak betul ambil tindakan. Bukan dibela-bela hanya kerana politik! Pegawai kerajaan bukan pemain politik. Tak ada pilih kasih dan tak ada permaidani merah. Yang salah, kalau salah tetap salah.

Menghormati ketua kerajaan sebuah negeri, walaupun ia Cina atau India atau Melayu adalah sama. Pegawai kerajaan gajinya bukan dibayar oleh rakyat menyokong UMNO sahaja tetapi turut menggunakan duit rakyat yang menyokong PAS, PKR, DAP dan pelbagai macam parti lain.Pegawai kerajaan mesti faham dan reti semua ini.

Kes di Pulau Pinang jangan dijadikan seperti menegakkan benang basah. Apa ke jadahnya hadir di sidang akhbar anjuran UMNO sedangkan si polan adalah pegawai tinggi kerajaan. Adakah ini bermakna, pegawai kerajaan jangan terlibat dalam politik, tetapi kalau terlibat dengan UMNO tak apa!

Hal peribadi melibatkan pertelingkahan dua pihak kalau ada pun, sila gunakan cara yang betul. Bukan cara macam orang politik. Kalau tak suka, beginilah. Buka pintu pejabat, keluar!


DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Sekarang bukan macam zaman perang Jepun dulu.

TAKUT PERUBAHAN ATAU DIPAKSA UBAH ATAU BERUBAH-UBAH

Dalam ilmu psikologi, dinyatakan bahawa orang amat takut pada perubahan. Perubahan sering menyebabkan orang berasa seperti dihantui kebimbangan dan kekhuatiran yang bukan-bukan.

Keselesaan kerana berada dalam zon asal sejak sekian lama juga dikatakan menjadi antara faktor kenapa orang takut kepada perubahan. Ini kerana orang selalu memikirkan sesuatu kemungkinan buruk di tenpat baru apabila perubahan itu berlaku. Mereka sukar menerima atau menetapkan hati bahawa kadang kala perubahan akan membawa seribu kali kebaikan.

Samalah hal ini dalam banyak cabang kehidupan. Baik politik mahupun pekerjaan. Orang-orang Melayu mahukan perubahan. Cuma kadang-kala mereka takut untuk berubah kerana dihantui kebimbangan yang bukan-bukan. Mereka selalu berkata, belum tentu tempat baru lebih selamat dari sekarang. Jadi janganlah berubah. Demikian cara berfikiran  totok yang ada dalam mentaliti kebanyakan orang kita.

Selagi kita takutkan perubahan, selagi itulah kita tidak berubah. Walaupun perubahan belum tentu menjanjikan sesuatu yang lebih baik, tetapi sekurang-kurangnya perubahan menunjukkan bahawa kita semakin tidak selesa di zon yang lama ini. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk melepaskan diri daripada belenggu cerita wayang padang yang turun temurun!


DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Berita Harian juga disarankan berubah. Kalau orang ketuk, tanda ada benda. Jangan orang tak ketuk, tanda orang tak suka. Tok Mior jangan marah.

PROGRAM SOAL JAWAB TV3, MACAM PROGRAM RAJA LAWAK!

Rancangan Soal Jawab TV3, orang kata tak ubah macam program kelakar. Maknanya tak ubah macam program Raja Lawak. Saya tak faham kenapa ada yang kata macam itu. Tapi kata orang kadang-kala ada kebenarannya.

Mungkin ada kekurangan pada tetamunya. Mungkin juga ada kekurangan pada hosnya. Atau mungkin juga ada kekurangan pada cara keseluruhan program itu dianjurkan.

Ada yang kata tetamu tak bijak meluahkan isi bicara. Ada yang kata hosnya, Datuk Manja Ismail, tebal dengan loghat Terengganu sehingga kadang-kala orang tak faham apa yang diucapkannya.

Demikian kata orang yang perlu kita menerima dengan hati lapang, dengan fikiran tenang. Tok Mat Talib tentu boleh membaca apa makna kata-kata orang ini.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Marah?

RAKYAT PEMIKIRAN BARU LIHATLAH!

Rakyat lihatlah sendiri bagaimana "rupa dan warna" perangai serta sikap wakil daripada kerajaan yang diberi amanah dan tanggungjawab, tidak hadir di dalam Dewan Negara, sehingga perlu ditegur oleh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Rakyat saksikanlah sendiri bagaimana ada menteri atau timbalan menteri atau wakil mereka mengosongkan kerusi mereka ketika berlangsungnya mesyuarat di dewan mulia itu.

Rakyat yang berpemikiran baru, nilailah sendiri selepas lebih 50 tahun merdeka, sikap sedenikian masih ada dalam diri wakil kerajaan yang memerintah.

Rakyat pandanglah dengan mata hati. Lihatlah sendiri betapa sebuah dewan yang dijadikan ruang untuk membawa segala permasalahan rakyat untuk dibincangkan seperti tiada nilainya pada segelintir termasuk menteri dari kerajaan yang memerintah.

Rakyat fikirlah sendiri!


DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Tak betul orang tak kata.

UMNO DAN PAS BERSATU: KAEDAH HALUS CINCANG PENGARUH ANWAR

Perpaduan Melayu hanya akan menjadi kenyataan apabila UMNO dan PAS bersatu? Demikian seolah-olah mudah dan begitu cepatnya membuat rumusan tentang makna perpaduan melibatkan Melayu dan Islam di dalam negara kita?!

Maka diceritakan juga orang politik dan tokoh agama. Kalau Melayu mahu menang dalam pilihanraya ke 13, UMNO dan PAS mesti bersatu. Mudah betul mahu mencari penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

Saya tak fikir pula demikian mudahnya. Hal perpaduan adalah benda baik yang sepatutnya disokong, tetapi persoalannya cara perpaduan yang diusulkan itu mestilah tidak mempunyai agenda yang boleh dipertikai atau diperkitai oleh masyarakat bawahan khususnya di kalangan orang Melayu miskin yang merempat dan tak pernah senang sejak UMNO memerintah Malaysia dari merdeka lagi!!

Pertama, setiap kali desas desus akan berlakunya pilihanraya, maka dicanangkanlah isu penyatuan atau kerjasama UMNO dan PAS ini. Ini jelas dan tidak boleh disanggah lagi apabila Mufti Perak, Hasusani Zakaria sendiri melontarkan kata-kata bahawa perpaduan itu penting kalau Melayu mahu menang dalam pilihanraya ke 13.

Sebenarnya, memang isu ini ada agenda. Ia seperti mahu menolak pengaruh Anwar Ibrahim dari peta politik Malaysia dan sekaligus meringankan sedikit kebimbangan UMNO tentang masa depan parti itu yang semakin bergegar. UMNO tidak peduli atau bimbangkan PAS, sebaliknya yang ditakuti UMNO adalah kerjasama dan hubungan baik Anwar dan PAS. Sebab itu satu cara dicari untuk memecahkan hubungan itu, sekaligus meringankan kelajuan serangan badai pembangkang yang masih menguasai iklim politik di negara ini.

Kalau betul bimbangkan perpaduan Melayu, kenapa hanya PAS? Ajaklah sekali PKR yang juga mempunyai wakil Melayu dalam partinya? Ajaklah Azmin Ali, ajaklah Khalid Ibrahim. Kenapa hanya ajak Nik Aziz? Apa digusarkan pandangan bangsa lain dalam parti itu kalau hakikatnya memang UMNO mahukan perpaduan Melayu. Malah kalau dalam MIC atau MCA pun ada Melayu, UMNO berhak mengajak mereka bersatu sepertimana ajakan yang dibuat ke atas PAS. Kenapa juga tidak diajak perpaduan Melayu ini kepada NGO seperti Perkasa atau PPIM atau yang lain-lain, kalau benar ia ikhlas demi perpaduan Melayu. Usah temberanglah....

Sebenarnya ketakutan kepada Anwar macam sakit gout bagi UMNO. UMNO takut bayang-bayang sendiri lalu dicetuskan cara untuk meringankan kesakitan itu dengan mengajak PAS bersatu. Sebenarnya Anwar banyak berjasa kepada UMNO. Kalau tidak kerana kenakalan Anwar, tentu hari ini Tun Mahathir bukan seperti sekarang. Tentu Pak Lah bukan seperti sekarang. Tentu juga kalau bukan kerana kenakalan Anwar, semakin ramai orang Melayu miskin di Malaysia. Tentu juga semakin ramai orang UMNO bergaya dengan kereta mewah dan berlambak dikelilingi tender dan kontrak yang berjuta-juta. Kalau bukan kerana kenakalan Anwar, tentu UMNO tidak sedar bahawa sesetengah kaedahnya berpolitik adalah tidak betul dan menekan dan menyeksa orang Melayu sendiri!

Maaf cakaplah Tok Jib. Maaf cakaplah tok mufti Perak. Tak semestinya seorang menteri atau seorang mufti tak boleh berbohong. Dan tidak pula saya kata anda berdua berbohong. Yang jelas saya nampak semacam tidak ikhlas semua ajakan ini walaupun hakikatnya SAYA menyokong perpaduan kerana perpaduan membawa kebaikan.

Polemik dan perdebatan akan terus menjadi sia-sia dan kosong selagi isu ini kelihatan tidak berdiri tegak, sebaliknya bergoyang-goyang seperti melindungi agenda tertentu. Orang Melayu sebenarnya tak susah diajak bersatu. Apatah lagi kalau melibatkan kepentingan bangsa, agama dan bahasanya! Cuma sekarang kenapa banyak sangat tentangan? Mudah saja jawapannnya. Ajakan itu kelihatan seperti tidak ikhlas dan menggusarkan mereka.

Jadi apalagi yang boleh kita buat? Beginilah: KALAU BENAR IKHLAS, BUATLAH KERJASAMA ANTARA PAS DAN UMNO SELEPAS PILIHANRAYA! Ketika itu barulah kita tahu di mana sebenarnya letak keikhlasan masing-masing. Saya yakin benar, tanpa kerjasama dua parti ini pun, orang Melayu masih boleh menguasai kerusi parlimen dalam pilihanraya akan datang menerusi PAS dan UMNO. Kenapa harus digusarkan sangat?

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Letihlah cakap isu macam ini. Cuba fikir macam mana nak tolong Melayu dengan kuasa yang UMNO ada dalam Barisan Nasional.

Wednesday, July 21, 2010

SUSAH RUPANYA MENJADI SEORANG MUFTI!

Saya tertarik melihat riak muka dan intonasi kata-kata seorang mufti bernama Harusani Zakaria di dalam tv milik kumpulan Media Prima malam tadi.

Antara katanya, dia tak berbohong sebab dia mufti. Dan satu lagi tentang ulasannya mengenai seseorang. Itu dia punya pasallah! Lebih kurang begitu bunyinya.

Tak elok banyak catatan tentang seorang mufti, tetapi apalah daya saya. Sebagai manusia dan umat Islam ingin saya menegur dan menasihatinya. Bukankah nasihat menasihati itu penting dalam Islam?

Seorang mufti ingin saya bisikkan, seharusnya membawa personaliti yang amat halus, lembut dan berhemah. Khususnya di segi gaya diri, terutama ketika mengeluarkan kata-kata. Yang keras tak perlu dibalas dengan keras. Yang tak secocok tak perlu dibalas dengan hentaman.

Saya teringat kepada allahyarham bekas mufti Selangor dulu, Datuk Ishak Baharom. Walaupun diterjah dengan tohmahan, mukanya manis menyedekahkan salam. Walaupun dicerca, tak pernah dia meninggikan suara. Pernah satu ketika saya membawa seorang lelaki lembut bertemu allahyarham yang meminta izin dan nasihat tentang hasratnya berkahwin dengan seorang lelaki. Dinasihatkan allahyarham bahawa cadangan itu haram dan berdosa kerana dia dan pasangannya adalah lelaki. Dibentak juga lelaki lembut itu berkeras mahu berkahwin, tetapi allahyarham dengan kata-kata lembut selembut sutera tak bosan hatinya menasihati. Akhirnya, lelaki itu faham walaupun dia telah melakukan pembedahan demi mencapai impian songsangnya. Tak sepatah pula kata-kata allahyarham bernada tinggi, apatah lagi mengherdik si lelaki yang datang meminta nasihatnya.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Bukan mudah rupanya mahu menjadi seorang mufti!

UNTUNGNYA SEKOLAH CINA: DAPAT ESTET URUS SEKOLAH

Untung sembilan buah sekolah Cina di Perak. Dapat lebih 1000 hektar tanah untuk dijadikan estet bagi tampung kos pengurusan sekolah berkenaan. Murahnya hati kerajaan Barisan Nasional (BN). Langkah seumpama ini tak pernah saya dengar dilakukan sejak dulu-dulu. Tolong dan bantu adalah, tapi tidak sehingga menyerahkan ladang sawit sedemikian luas.

Tentu gembira pentadbir sekolah yang beruntung itu. Tentu gelak sakan ibu bapa pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Tapi boleh tentukah untungnya bagi BN dalam pilihanraya nanti? Saya saja bertanya, takut-takut ada yang terlupa. Bukankah manusia ini sememangnya mudah lupa!

Bagaimana pula sekolah agama atau sekolah persendirian khususnya yang ditadbir oleh orang Melayu? Adakah mereka juga berpeluang menikmati bantuan sedemikian daripada kerajaan bernama Barisan Nasional?

Dapat saya rasakan di dalam hati mereka. Dapat juga saya rasakan debar, resah dan rusuh jiwa mereka. Mungkin kemurahan hati BN masih ada untuk mereka. Kalau tidak sebuah estet yang beribu hektar, cukuplah dengan memberikan mereka tanah sekangkang kera untuk dibina bangunan tambahan!


DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Teringat pepatah. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan.



Tuesday, July 20, 2010

ORANG POLITIK JANGAN MASUK CAMPUR HAL JCorp.

Dengar cerita banyak orang politik dah mula bermain jarum. Ada yang lebih berani melobi dan menggerakkan tangan, merayap dan meraba semahu-mahunya sebaik sahaja mendengar Ketua Pegawai Eksekutif  JCorp atau Perbadanan Johor, Tan Sri Muhamad Ali Hashim meluahkan hasrat meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat.

Dah ada kedengaran nama sipolan-sipolan disebut-sebut untuk menduduki kerusi itu. Peliknya nama Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Datin Paduka Siti Sa'adiah Sheikh Bakir seolah-olah mahu dipadamkan. Dasyat kalau benar permainan semacam ini. Mentang-mentanglah JCorp sebuah syarikat korporat yang bernilai intan berlian. Semua mahu masuk campur. Tak dengar pula orang nak masuk perbadanan negeri lain yang tarafnya setara batu bata yang tak pernahnya dikatakan untung sejak zaman nabi Adam lagi!

Namun inilah kenyataan tentang politik hari ini. Pantang nampak ada lubuk buat duit, semua mahu terjun. Bila nanti dah kontang lubuk, semua lari ikut pintu belakang syarikat. Rakyat Malaysia hari ini lihatlah!

Saya puji Muhamad Ali yang pertahankan Siti Saadiah sebagai pengganti. Katanya, orang yang menggantikan beliau biarlah seorang ahli perniagaan yang bertanggungjawab mengurus syarikat, yang boleh membina dan mempertahankan syarikat dan pada masa sama kreatif serta  mempunyai nilai tambah kepada syarikat. Betul!

JCorp bukan syarikat kroni atau syarikat jual batu kuari atau syarikat jual kupon beras atau syarikat RM2 yang diberi tanah oleh kerajaan negeri tapi kemudian tanah dicagar dan untungnya masuk ke saku orang politik. JCorp sebuah korporat dan setahu saya pengasasnya ialah Allahyarham Tan Sri Mohamad Osman Saat, bekas Menteri Besar Johor. Bekas menteri besar yang tangannya pernah 'digigit' oleh seorang ahli politik dari Johor. Siapa dia yang menggigit tangan itu? Sendiri cari.


DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Johor dan Negeri sembilan bersedialah bersihkan diri. Pengutip sampah sedang datang ke negeri kamu untuk membersihkan kekotoran!

Monday, July 19, 2010

MEMBUAI HARAPAN.

Sabah dan Sarawak diyakini mampu menjadi negeri maju seiring hasrat Malaysia mengimpikan tanah air ini menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. DS Najib yang meluahkannya sendiri.

Impian melangit tinggi ini andai menjadi kenyataan amat dihargai tetapi kalau sekadar mainan kata untuk menyedapkan sebahagian duka anak Sarawak dan Sabah, sudah tentu ia amat menyedihkan.

Pada masa yang sama Melaka juga menyuarakan keazaman akan menjadi negeri maju tidak berapa lama lagi. Ketua Menterinya, mengumumkan serentak pengumuman Najib tentang Sabah dan Sarawak dalam berita menerusi televisyen milik Media Prima malam ini.

Debar dalam dada saya pula menerjah bagai mata tombak yang melukai daging dan tulang. Biar benar semua luahan-luahan ini, sedangkan kita mahu membuat gula sendiri pun terkial-kial. Sinis tapi benar.

Entahlah. Tok Jib dan Tok Ali punya sebab untuk berkata begitu. Cuma jangan buai terlalu tinggi, dibimbangi takut jatuh. Sakit!

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Terima kasih sokongan saudari dari Sarawak.

TAKZIAH KEPADA KELUARGA WARTAWAN MOHAMAD MUDA

Takziah kepada keluarga bekas rakan sekerja, Mohamad Muda, wartawan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB)yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Menurut rakan lama ZaibidiAidil Salleh, allahyarham Mohamad meninggal dunia di rumahnya di no 32, Jalan BP 14/5, Bandar Bukit Puchong.

Allahyarham antara wartawan bahagian pendidikan yang berdedikasi dan selama ini banyak menyumbang ke arah kecemerlangan unit pendidikan BHSB sejak sekian lama. Semoga Allah mecucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di sisi roh orang-orang yang beriman. Kepada keluarga allahyarham, semoga kesabaran mengiringi saat-saat diuji begini.

Kami iringi pemergian ini dengan doa-doa mewangi. Semoga Allah memberi kekuatan kepada semua yang diuji. Amin.

PEMBAZIRAN BINA PONDOK BAS DI PORT DICKSON: MB TAHUKAH?

Salam kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan. Salam dari anak Darul Khusus yang terpaku dan kaku melihat betapa seronoknya kerajaan di bawah pimpinan saudara menganjurkan pembangunan di sepanjang Jalan Port Dickson menuju ke Pasir Panjang.

Hebat pentadbiran saudara. Memang hebat kata orang UMNO di negeri itu. Konon kata, saudara telah berjaya membangunkan negeri itu mengikut acuan yang betul. Saudara juga dikatakan telah berjaya menarik pelancong ke pantai Port Dickson sehingga ia mampu menaburkan wang kepada kantung negeri itu menerusi sektor pelancongan. Banyak peniaga, tentunya orang UMNO juga mendapat nikmat daripada usaha-usaha saudara. Pemilik kedai makan untung sebab pelanggan bertambah. Pemilik pam minyak dapat laba sebab pengguna dari luar tak putus-putus mengisi minyak. Hebat, fikir saya.Saudara memang hebat.

Dan salah satu kehebatan yang mahu saya catatkan di sini ialah tindakan berani pentadbiran saudara menaburkan wang sebegitu banyak membina tempat menunggu bas yang kosnya kalau diberi kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh membina rumah rakyat miskin setiap satu. Saya pasti kos yang saudara telah laburkan dalam pembinaan tempat menunggu bas ini mencecah jutaan ringgit. Sepanjang jalan, tempat menunggu bas itu tersergam indah, walaupun kebanyakan di antaranya dibina hanya beberapa meter daripada pondok menunggu bas sedia ada yang masih boleh digunakan.

Atas rasional apa pondok bas itu didirikan saya tidak pasti tetapi ada suara mengatakan ia sebagai menjaga imej Port Dickson sebagai bandar pelancongan. Nah engkau...bagus sangat alasan itu. Apa pelancong ke Port Dickson semata-mata mahu melihat pondok menunggu bas yang berharga mahal itu? Atau apa benar pelancong yang akan menggunakan pondok itu kerana mahu menunggu bas untuk pulang ke luar negara?

Saudara Menteri Besar. Saudara sebenarnya telah melakukan pembaziran yang amat memualkan rakyat. Tahukah saudara, kita telah diingatkan berjimat dan berhemah menguruskan perbelanjaan. Tak ingatkah saudara bagaimana kerajaan terpaksa memotong subsidi kerana takut negara jadi muflis? Kalau saudara memahami dan reti perkara itu, tidakkah ada timbul penyesalan dalam hati saudara membenarkan pembaziran yang nyata telah berlaku menerusi pembinaan tempat menunggu bas itu.

Ingin saya jelaskan bahawa pondok menunggu bas yang lama kalau dicat atau diperbaiki tentu dapat menyelamatkan kos yang sebegitu tinggi. Tapi benarlah kata orang tua-tua. Perkara telah berlaku. Lebam telah berlaku. Benjol telah berlaku. Cuma tunggulah kritikan seterusnya berkaitan hal ini.


DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAKTentang paya Bukit Kepong dan Sungai Raya yang empangan sejak berpuluh tahun lalu dihancurkan, macam mana tok? Misteri apa yang sedang mahu dibangunkan sehingga orang kampung semua tak tahu.

TEGURAN TERBUKA KEPADA MUFTI PERAK

Membenarkan media memetik kata-kata untuk diletakkan ke dalam cawan politik, kemudian membiarkan pula ia diteguk orang membuat saya terpanggil mencatatkan sesuatu.

Ini adalah sesuatu yang pelik bagi seorang tokoh agama, apatah lagi kalau sudah bergelar mufti. Demikian Datuk Harusani Zakaria. Membenarkan diri meluahkan rasa betapa Melayu akan hancur jika tidak bersatu menjelang PRU-13, seolah-olah meletakkan dirinya di dalam satu kotak kaca yang diletakkan di tepi laluan yang sibuk dengan orang. Seolah-olah juga membenarkan orang membuat tekaan dan berpersepsi siapakah dia Harusani.

Sebagai mufti, saya lihat tidak payahlah beliau bersungguh-sungguh sangat membangkitkan hal melibatkan politik dan nasionalisme ini kerana ia amat tidak sesuai sebagai seorang tokoh agama. Apatah lagi telah banyak sindiran, karikatur dan cerca nesta berkaitan hal serupa berlaku sebelum ini. Saya tak sanggup dan tergamak melihat imej seorang mufti sedemikian celaru. Hanya kerana tersilap menyinggung hal-hal sebegini, seorang mufti boleh direndahkan letak duduknya pada kacamata orang ramai!

Pertanyaan saya ialah apakah beliau hanya mementingkan Melayu? Apakah harapan beliau Melayu sahaja mesti bersatu? Tentang Islam pula, bagaimana? Perpaduan Islam secara keseluruhan pula macam mana? Atau apakah Harusani melihat Islam itu hanya Melayu? Sepatutnya kenyataan yang lahir dari mulut seorang mufti mestilah berkaitan kesejagatan dan bukannya hanya berpilih dari satu-satu sisi sahaja. Bagaimana pula perasaan Cina Islam, India Islam dan bukan Melayu tetapi Islam? Sedikit sebanyak Harusani telah menguris perasaan mereka ini. Seolah-olah Melayu itu lebih penting bagi seorang mufti dan bukannya Islam! Ini bahaya sebenarnya.

Memang tidak salah mufti bercakap tentang apa sahaja termasuk politik demi kebaikan atau atas alasan untuk kebaikan, tetapi di manakah letak duduknya seorang mufti pada kacamata orang ramai kalau beliau gemar membuat kenyataan yang diketahui mempunyai impak politik dan boleh juga mencetuskan polemik sia-sia berterusan?

Duduk adil di tengah keadaan, waktu dan bentuk dalam kehidupan ini adalah sifat tepat dan terpuji seorang mufti. Seperti dalam Islam, bersederhanalah dalam setiap segi. Sederhana itu sebaik-baik cara. Maknanya, kalau Harusani memang ada niat untuk memperkatakan tentang perpecahan Melayu, jangan beliau melihat ia hanya daripada sudut hubungan UMNO dan PAS. Ini kerana ia boleh membawa lebih banyak fitnah kerana orang sudah tahu isu cadangan menyatukan kedua-dua parti itu telah lama dipolitikkan. Jadi tentu orang akan membuat tanggapan yang bukan-bukan berdasarkan sejarah isu cubaan menyatukan UMNO dan PAS itu sendiri.

Banyak hal lain yang sepatutnya disentuh oleh seorang mufti yang masih belum selesai di negara ini dan bukannya isu yang kelihatan hanya menjurus kepada hal Melayu, UMNO dan PAS semata-mata. Maaf cakap tok. Itu bukan kerja mufti sangat! Biarkan saja orang politik menguruskannya kerana politik bukankah licin, berbelit dan bersimpang-siur. Silap-silap mufti boleh terjerat. Buruk jadinya nanti.

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Jadilah mufti yang bukan sahaja mesti bersih dan adil tetapi kelihatan bersih dan adil serta tidak berpihak.

Saturday, July 17, 2010

MACAM KETAM AJAR ANAK JALAN BETUL

Di Terengganu, Muhyidin kata Umno menggubal Dasar Ekonomi Baru untuk pastikan penguasaan 30 peratus ekonomi, tetapi sehingga 1990, tahap penguasaan orang Melayu hanyalah sekitar 18 tahun. Sebab itu kerajaan meneruskan lagi perjuangan supaya tahap penguasaan ekonomi dapat ditingkatkan. Maka ditanya seorang sahabat saya kepada seorang pelajar tingkatan lima.

Pelajar itu dengan pantas menjawab. ITU MAKNANYA SEBUAH KEGAGAGLAN. Ditanya lagi oleh sahabat saya, siapa yang gagal. Dijawab juga oleh pelajar itu; YANG GAGAL UMNO sebab dia yang rancang dan gubal DEB. KALAU GAGAL SELEPAS BERPULUH TAHUN, makna pihak itu tak cekap dan lemah. Saya melihat penuh pegun. Remaja seusia itu dengan mudah dapat melihat makna sebuah kegagalan. 

Bagi saya kalau yang merancang dan melaksanakan sesuatu objektif itu gagal selepas mencuba berpuluh tahun, sebaiknya mengakulah sahaja bahawa kegagalan itu bukan berpunca daripada orang lain. Kemudian tanya diri sendiri, kenapa gagal. Tapi jangan pula cari jawapan cepat-cepat menyalahkan orang lain. Kalau anak semuda itu mulai faham betapa gagalnya usaha UMNO berpuluh tahun mencuba memastikan penguasaan 30 peratus ekonomi Bumiputera, apakah usaha selepas ini akan berjaya? Bagi saya, entahlah!

Kecelaruan dalam menguruskan ekonomi pun tak terhurai lagi. Sebab itu dijelaskan makna subsidi dalam semua media hari ini. Antara maksud subsidi ialah bantuan kewangan kerajaan bagi barangan dan perkhidmatan keperluan supaya ia mudah diperolehi dan murah.

Soalnya, kenapa kerajaan ambil sikap tak ada beban BALAK DIGALAS. Ini khusus merujuk gula dan beras. Kalau tahu tak mampu beri subsidi, hasilkanlah gula sendiri. Jangan berlagak macam orang kaya, beli barangan dari luar (beli gula) kemudian bila harga mencanak naik, bising-bising terpaksa bagi subsidi. Bising-bisinglah kemudian turunkan subsidi. Kerajaan dalam hal ini umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Sibuk kata, kawal perbelanjaan, berjimat dan berhemah. Tapi kerajaan sendiri tak pernah peduli nak hasilkan gula sendiri sehingga mencukupi. Macam orang kaya, import saja dari luar!


Tolonglah pemimpin yang bijaksana, kadang-kala saya melihat seperti wayang yang sedang menayangkan cerita dongeng!

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEBELAH OMBAK: Menteri pertanian pun sibuk nak tanam pasir. Cubalah fikir macam mana nak tanam tebu, tanam padi, tanam gandum dan tanam macam-macam produk pertanian supaya rakyat tak membeli barangan luar. Jangan hanya nak tanam janji.

Friday, July 16, 2010

SEDULANG AIR MATA UNTUK NAJIB

Maka sah dan acilah sebuah permainan politik Barisan Nasional. Permainan bagi membuktikan bahawa yang kuat menang, yang lemah kalah. Muktamadlah juga satu jangkaan bahawa gula, minyak masak dan bahan bakar akan dinaikkan harga. Sempurnalah akhirnya sebuah kepuasan seekor raksaksa membaham daging manusia!

Tidak akan kami maafkan. Tiada maaf bagi kami golongan miskin menerima kenyataan sebuah permainan ini. Perlu kami tegaskan, setiap sen kenaikan harga barangan yang boleh ditanam atas bumi tanah kelahiran kami, tidak kami izinkan. Biarlah ini menjadi sumpah kepada sebuah kerajaan yang lemah, daif dan tiada akal budinya mentadbir negara.

Nah...Mr Najib and the gang! Pergilah ke mana-mana kedai atau pasaraya. Pergilah wahai yang amat berhormat. Bermula awal pagi, sebaik sahaja pintu premis dibuka, lihatlah betapa mudahnya kita mendapatkan gula. Inilah kami namakan sebuah kemenangan. Dengan kenaikan 25 sen sekilogram, tuan-tuan yang bijaksana lihatlah betapa mudahnya kami mendapat bekalan gula. Betapa mudahnya. Tiadalah lagi kesulitan ini menjadi trauma, menjadi  igauan terutamadi kalangan anak Melayu yang berniaga kecil-kecilan. Tindakan tuan-tuan bijaksana menaikkan harga gula kepada RM1.90 sekilogram juga telah membantu kementerian tuan-tuan mengatasi masalah kekurangan gula selama ini!

Tapi ingat tuan-tuan bijaksana. Kenaikan itu adalah atas air mata dan ketidakizinan kami! Sekarang tuan faham kenapa bukan? Faham kenapa gula selama ini sukar didapati. Dan tuan juga telah faham satu teori ekonomi yang boleh menggembirakan tuan tanpa menyedari telah menyeksa golongan miskin. Teori itu ialah kalau mahu lihat lalat, campakkan najis. Kalau mahu lihat buaya campakkan bangkai. Maka samalah jika tuan ingin mudahkan mendapat gula, mahalkan harganya!

Saya tak sangka tuan sanggup menguruskan ekonomi sedemikian rupa. Membiarkan kebergantungan bahan kegunaan dari luar negara dan kemudian jadikan subsidi sebagai alasan untuk mengkayakan bangsa asing lalu pada masa yang sama menekan rakyat miskin!

Kami berjanji kepada Yang Maha Esa, kalau demikianlah sikap tuan-tuan yang tidak mahu mendengar cakap golongan miskin seperti kami, mengambil jalan mudah mengatasi sesuatu masalah, dimintakan segala ini menjadi satu lagi padang untuk kami membentangkan doa.

Terima kasih Mr Najib kerana sudi membuat sesuatu tindakan yang melukakan hati rakyat termiskin. Mulai hari ini dengar sahaja pandangan golongan kaya yang tentu tidak peduli tentang kenaikan semua barangan yang ada di negara ini. Sebabnya di negara kita yang miskin semakin tiada harga di sisi tuan-tuan yang bijaksana. Walaupun kami tidak mempunyai tuan-tuan dan parti tuan sebagai pelindung untuk melindungi dukacita Melayu ini, tapi ingin kami tegaskan bahawa kami ada Allah. Allah ada di mana-mana.


 DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Saya istyiharkan sepenuhnya saya dan kawan-kawan lain tidak akan menyokong Barisan Nasional. Muktamad.

Thursday, July 15, 2010

TUNGGU HUKUMAN ALLAH KALAU GULA NAIK HARGA

Malu, mual dan mengaibkan. Itu pandangan saya kalau ada kenaikan harga gula dan minyak masak. Memang mual dan memalukan. Kita sanggup menurunkan subsidi dengan menaikkan harga, tetapi tak sanggup mengusahakan tanah subur negara untuk menghasilkan gula.

Atas sebab apa sekalipun, Tuhan telah meminjamkan tanah dengan tujuan supaya kita menghasilkan produk pertanian sendiri tanpa perlu mengimportnya dari luar. Kita tak perlu meminjam dari Bank Dunia untuk menyewa tanah untuk menanam tebu atau 1,001 jenis pertanian untuk kegunaan rakyat. Atas harga apa sebenarnya kita sanggup mengimport. Atas maruah apa kita menyeksakan rakyat dengan cara sebegini mengaibkan - mengimport barangan dari luar dan pada masa yang sama menjadikan subsidi sebagai penutup segala kelemahan.

Biar rakyat semua tahu yang Malaysia hanya hasilkan 1 peratus gula, manakala 99 peratus lagi diimport dari luar negara. Dengan kenaikan harga, siapa boleh menolak akan ada lagi raja-raja gula akan kaya.Orang bawahan @ orang Melayu yang terseksa. Mereka peniaga kecil jalanan, mereka peniaga makanan di kaki gunung, mereka penjual minuman di lorong-lorong belakang yang jauh dari penguatkuatkuasa. Mereka telah tidak mampu diperlakukan begini. Satu sen kenaikan adalah satu degup nafas payah yang dihela.

Susah sangatkah menghasilkan gula? Tebu campak ke tanah, tunasnya seminggu bercambah. Tebu kita tak bermutu hasilkan gula? Kos hasilkan gula di negara kita lebih mahal dari import? Kalau itulah rasional dan alasan, saya tunggu hukuman Tuhan yang akan dijatuhkan ke atas mereka yang tidak sepenuh hatinya membela rakyat, terutama yang miskin dan merempat.

Kasihan. Amat mual dan mengaibkan. Bangsa kita bukan bangsa yang bodoh sehingga tidak mampu untuk menghasilkan produk kegunaan harian di negara sendiri. Soalnya, di mana peranan kerajaan.membantu dan menggembleng tenaga menghasilkan produk pertanian. Tidakkah pemimpin politik bercermin melihat diri sendiri. Kalau mahu menghasilkan gula atau barangan keperluan rakyat sendiri tidak mampu, mampukah kita mahu menjadi negara maju dalam keadaan tiada kepak, tiada kaki dan hanya pada badan yang menyimpan nafsu?

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Allah akan balas pada masa yang sesuai. Misalnya pilihanraya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10