nuffnang ads

Friday, July 23, 2010

PILIHANRAYA: TAK ADA ILHAM?

Seman datang akhirnya berjumpa selepas beberapa minggu merajuk kerana harga gula dinaikkan sebegitu tinggi. Memang Seman akan jatuh sawan setiap kali hal-hal berkaitan gula dijadikan isu.
     Dan sebentar tadi Seman datang membawa muka selamba. "Tebu yang aku tanam dah dekat setengah meter tunasnya menegak"
     Saya anggukkan. Seman melemparkan seringai yang lebih luas. Nampak sebaris gigi atasnya yang kuning pekat. "Engkau marah aku lagi ke?" dia menumpang duduk di sebelah, sambil kakinya terhayun-hayun dijuntaikan dari atas bangku buluh bawah pokok jambu.
     "Jangan marah la ya," dia memujuk. Saya hairan. Sepatutnya saya yang bimbang dia masih merajuk, tapi sebaliknya pula berlaku.
     "Kawan-kawan mana boleh bawa hati" akhirnya saya jawab secara bodoh. Seman menyengih dan berpaling. Matanya tajam merenung ke dalam mata saya. Terasa ada sesuatu bernama keihklasan.
     Ditepuknya paha sebelah kanan saya dua kali. "Aku datang ni pun ada hal lagi," suara Seman perlahan keluar daripada celah bibirnya yang dipagar hutan berbunga lalang itu.
    "Apa halnya lagi?"
    Seman terkekeh-kekeh. Lama dia terkekeh-kekeh dan di hujung kekeh yang lama itu saya terdengar kekehnya berdecit-decit. "Apa halnya?" saya mendesak.
    "Kau agak pilihanraya bila?"
    Saya turun dari pangkin. Berdiri betul-betul di depan Seman. "Aku ingat ada hal lain. Rupanya pilihanraya!" Saya tenung muka Seman. Lama berlawan tenung, Seman tertawa dan saya pun tertawa.
    "Bila agaknya?" tanya Seman di hujung tawanya.
    "Beginilah kawan..." saya memberi jawapan. "Ada orang bagitahu, cadangannya dah dekat tapi ada pula kumpulan pemikir yang bantah kata nampak gaya BN susah kalau pilihanraya!"
    "Habis?" Seman tak sabar terus bertanya.
    "Itulah tu," jawap saya. "Ada sumber kata tunggu round PM lawat Sabah dan Sarawak. Lepas tu satu keputusan mungkin diambil menentukan tarikh yang sesuai. Sumber pun ada bayangkan, mungkin tak mustahil dalam tempoh terdekat. Kalau tangguh pun lima enam bulan aje!"
    "Jadi tak tahulah bila sebenarnya pilihanraya?" Seman semacam kecewa.
    "Dulu Mahathir selalu kalau ditanya, kata tunggu ilham. Sekarang Najib bukan tunggu ilham...tapi mungkin dah tak ada ilham kut!"
    Dan kami tergelak-gelak. Gelak sekuat-kuatnya sehingga beberapa ekor beruk belakang rumah terkejut dan meloncat dari pokok getah ke pokok halban sebesar pemeluk.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Tak ada ilham?

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10