nuffnang ads

Thursday, July 22, 2010

UMNO DAN PAS BERSATU: KAEDAH HALUS CINCANG PENGARUH ANWAR

Perpaduan Melayu hanya akan menjadi kenyataan apabila UMNO dan PAS bersatu? Demikian seolah-olah mudah dan begitu cepatnya membuat rumusan tentang makna perpaduan melibatkan Melayu dan Islam di dalam negara kita?!

Maka diceritakan juga orang politik dan tokoh agama. Kalau Melayu mahu menang dalam pilihanraya ke 13, UMNO dan PAS mesti bersatu. Mudah betul mahu mencari penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

Saya tak fikir pula demikian mudahnya. Hal perpaduan adalah benda baik yang sepatutnya disokong, tetapi persoalannya cara perpaduan yang diusulkan itu mestilah tidak mempunyai agenda yang boleh dipertikai atau diperkitai oleh masyarakat bawahan khususnya di kalangan orang Melayu miskin yang merempat dan tak pernah senang sejak UMNO memerintah Malaysia dari merdeka lagi!!

Pertama, setiap kali desas desus akan berlakunya pilihanraya, maka dicanangkanlah isu penyatuan atau kerjasama UMNO dan PAS ini. Ini jelas dan tidak boleh disanggah lagi apabila Mufti Perak, Hasusani Zakaria sendiri melontarkan kata-kata bahawa perpaduan itu penting kalau Melayu mahu menang dalam pilihanraya ke 13.

Sebenarnya, memang isu ini ada agenda. Ia seperti mahu menolak pengaruh Anwar Ibrahim dari peta politik Malaysia dan sekaligus meringankan sedikit kebimbangan UMNO tentang masa depan parti itu yang semakin bergegar. UMNO tidak peduli atau bimbangkan PAS, sebaliknya yang ditakuti UMNO adalah kerjasama dan hubungan baik Anwar dan PAS. Sebab itu satu cara dicari untuk memecahkan hubungan itu, sekaligus meringankan kelajuan serangan badai pembangkang yang masih menguasai iklim politik di negara ini.

Kalau betul bimbangkan perpaduan Melayu, kenapa hanya PAS? Ajaklah sekali PKR yang juga mempunyai wakil Melayu dalam partinya? Ajaklah Azmin Ali, ajaklah Khalid Ibrahim. Kenapa hanya ajak Nik Aziz? Apa digusarkan pandangan bangsa lain dalam parti itu kalau hakikatnya memang UMNO mahukan perpaduan Melayu. Malah kalau dalam MIC atau MCA pun ada Melayu, UMNO berhak mengajak mereka bersatu sepertimana ajakan yang dibuat ke atas PAS. Kenapa juga tidak diajak perpaduan Melayu ini kepada NGO seperti Perkasa atau PPIM atau yang lain-lain, kalau benar ia ikhlas demi perpaduan Melayu. Usah temberanglah....

Sebenarnya ketakutan kepada Anwar macam sakit gout bagi UMNO. UMNO takut bayang-bayang sendiri lalu dicetuskan cara untuk meringankan kesakitan itu dengan mengajak PAS bersatu. Sebenarnya Anwar banyak berjasa kepada UMNO. Kalau tidak kerana kenakalan Anwar, tentu hari ini Tun Mahathir bukan seperti sekarang. Tentu Pak Lah bukan seperti sekarang. Tentu juga kalau bukan kerana kenakalan Anwar, semakin ramai orang Melayu miskin di Malaysia. Tentu juga semakin ramai orang UMNO bergaya dengan kereta mewah dan berlambak dikelilingi tender dan kontrak yang berjuta-juta. Kalau bukan kerana kenakalan Anwar, tentu UMNO tidak sedar bahawa sesetengah kaedahnya berpolitik adalah tidak betul dan menekan dan menyeksa orang Melayu sendiri!

Maaf cakaplah Tok Jib. Maaf cakaplah tok mufti Perak. Tak semestinya seorang menteri atau seorang mufti tak boleh berbohong. Dan tidak pula saya kata anda berdua berbohong. Yang jelas saya nampak semacam tidak ikhlas semua ajakan ini walaupun hakikatnya SAYA menyokong perpaduan kerana perpaduan membawa kebaikan.

Polemik dan perdebatan akan terus menjadi sia-sia dan kosong selagi isu ini kelihatan tidak berdiri tegak, sebaliknya bergoyang-goyang seperti melindungi agenda tertentu. Orang Melayu sebenarnya tak susah diajak bersatu. Apatah lagi kalau melibatkan kepentingan bangsa, agama dan bahasanya! Cuma sekarang kenapa banyak sangat tentangan? Mudah saja jawapannnya. Ajakan itu kelihatan seperti tidak ikhlas dan menggusarkan mereka.

Jadi apalagi yang boleh kita buat? Beginilah: KALAU BENAR IKHLAS, BUATLAH KERJASAMA ANTARA PAS DAN UMNO SELEPAS PILIHANRAYA! Ketika itu barulah kita tahu di mana sebenarnya letak keikhlasan masing-masing. Saya yakin benar, tanpa kerjasama dua parti ini pun, orang Melayu masih boleh menguasai kerusi parlimen dalam pilihanraya akan datang menerusi PAS dan UMNO. Kenapa harus digusarkan sangat?

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Letihlah cakap isu macam ini. Cuba fikir macam mana nak tolong Melayu dengan kuasa yang UMNO ada dalam Barisan Nasional.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10