nuffnang ads

Monday, July 19, 2010

TEGURAN TERBUKA KEPADA MUFTI PERAK

Membenarkan media memetik kata-kata untuk diletakkan ke dalam cawan politik, kemudian membiarkan pula ia diteguk orang membuat saya terpanggil mencatatkan sesuatu.

Ini adalah sesuatu yang pelik bagi seorang tokoh agama, apatah lagi kalau sudah bergelar mufti. Demikian Datuk Harusani Zakaria. Membenarkan diri meluahkan rasa betapa Melayu akan hancur jika tidak bersatu menjelang PRU-13, seolah-olah meletakkan dirinya di dalam satu kotak kaca yang diletakkan di tepi laluan yang sibuk dengan orang. Seolah-olah juga membenarkan orang membuat tekaan dan berpersepsi siapakah dia Harusani.

Sebagai mufti, saya lihat tidak payahlah beliau bersungguh-sungguh sangat membangkitkan hal melibatkan politik dan nasionalisme ini kerana ia amat tidak sesuai sebagai seorang tokoh agama. Apatah lagi telah banyak sindiran, karikatur dan cerca nesta berkaitan hal serupa berlaku sebelum ini. Saya tak sanggup dan tergamak melihat imej seorang mufti sedemikian celaru. Hanya kerana tersilap menyinggung hal-hal sebegini, seorang mufti boleh direndahkan letak duduknya pada kacamata orang ramai!

Pertanyaan saya ialah apakah beliau hanya mementingkan Melayu? Apakah harapan beliau Melayu sahaja mesti bersatu? Tentang Islam pula, bagaimana? Perpaduan Islam secara keseluruhan pula macam mana? Atau apakah Harusani melihat Islam itu hanya Melayu? Sepatutnya kenyataan yang lahir dari mulut seorang mufti mestilah berkaitan kesejagatan dan bukannya hanya berpilih dari satu-satu sisi sahaja. Bagaimana pula perasaan Cina Islam, India Islam dan bukan Melayu tetapi Islam? Sedikit sebanyak Harusani telah menguris perasaan mereka ini. Seolah-olah Melayu itu lebih penting bagi seorang mufti dan bukannya Islam! Ini bahaya sebenarnya.

Memang tidak salah mufti bercakap tentang apa sahaja termasuk politik demi kebaikan atau atas alasan untuk kebaikan, tetapi di manakah letak duduknya seorang mufti pada kacamata orang ramai kalau beliau gemar membuat kenyataan yang diketahui mempunyai impak politik dan boleh juga mencetuskan polemik sia-sia berterusan?

Duduk adil di tengah keadaan, waktu dan bentuk dalam kehidupan ini adalah sifat tepat dan terpuji seorang mufti. Seperti dalam Islam, bersederhanalah dalam setiap segi. Sederhana itu sebaik-baik cara. Maknanya, kalau Harusani memang ada niat untuk memperkatakan tentang perpecahan Melayu, jangan beliau melihat ia hanya daripada sudut hubungan UMNO dan PAS. Ini kerana ia boleh membawa lebih banyak fitnah kerana orang sudah tahu isu cadangan menyatukan kedua-dua parti itu telah lama dipolitikkan. Jadi tentu orang akan membuat tanggapan yang bukan-bukan berdasarkan sejarah isu cubaan menyatukan UMNO dan PAS itu sendiri.

Banyak hal lain yang sepatutnya disentuh oleh seorang mufti yang masih belum selesai di negara ini dan bukannya isu yang kelihatan hanya menjurus kepada hal Melayu, UMNO dan PAS semata-mata. Maaf cakap tok. Itu bukan kerja mufti sangat! Biarkan saja orang politik menguruskannya kerana politik bukankah licin, berbelit dan bersimpang-siur. Silap-silap mufti boleh terjerat. Buruk jadinya nanti.

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Jadilah mufti yang bukan sahaja mesti bersih dan adil tetapi kelihatan bersih dan adil serta tidak berpihak.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10