nuffnang ads

Thursday, August 5, 2010

CERMIN MUKA DULU NAK SURUH SELANGOR BUAT ITU INI

MENDESAK agar pusat judi dan hiburan ditutup di Selangor sepanjang Ramadhan tentulah satu ajakan yang baik. Soalnya kenapa hanya di Selangor. Ajaklah seluruh negara berbuat demikian. Atau lebih mudah suruh kerajaan Barisan Nasional tutup kedai ramalan nombor ekor, tutup kilang arak, haramkan tembakau, wajibkan pendidikan Islam jadi subjek wajib SPM, wajibkan menutup aurat, haramkan pergaulan bebas muda-mudi dan pastikan umat Islam telah berkhatan!

Selain itu, pastikan pemimpin politik tidak mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam dadah, pastikan pemimpin politik tidak kahwin dua di Thailand, pastikan pemimpin politik tidak pergi ke Medan atau Jakarta mencari penyedap, wajibkan pemimpin politik tidak ada hubungan intim dengan bini orang atau janda, pastikan leher pemimpin politik tidak ada kesan gigitan cinta kecuali oleh isteri yang sah, pastikan pemimpin politik tidak songlap duit peruntukan dan segala macam lagi.

 Kalau ini boleh dilakukan oleh pemimpin UMNO terlebih dulu, barulah Malaysia aman. Barulah ajakan itu ikhlas dan bukan berpunca daripada perasaan sakit hati, geram, marah, cemburu dan bengang disebabkan KALAH dalam pilihanraya 2008.

SAHABAT SEJATI YANG SEDIA MEMINJAMKAN DUKA MEREKA


SAHABAT YANG sejati adalah kawan yang sedia meminjamkan dukanya ketika kita diuji Allah. Bersama Brig Jen Ismet Nayan Ismail, Panglima 10 Briged Para Kem Terendak Melaka (baju hitam) dan Mejar (B) Rahim Osman, (baju oren) seorang trainer in soft skill (psycological operation and public speaking) ketika menziarahi penulis di kediaman baru-baru ini. Kepada semua OP78 Royal Military College, penulis merakamkan perasaan terharu di atas keprihatinan kerana sudi menangis bersama. Khas buat Lt Kol Amirudin Sulaiman, Lt Kolonel haji Mohd Anas, Kol Hasan Ali, OP Nurazam Zakaria, Mejar (B) Sharif Rahmat, Mejar (B) Aminudin, OP Mohd Safuan, Lt Kolonel Hamid Isa, Kapt (B) Anuar Rahim dan semua OP yang bertungkus lumus membantu penulis. Semoga Allah melindungi semua dan diberikan hidayah agar menjadi pemimpin manusia yang berakhlak mulia. SERVE TO LEAD

SENTIASA MUDA TANPA BOTOX


Satu-satunya keistimewaan Tun Ahmad Sarji, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) adalah keupayaannya kelihatan kekal muda sehingga kini. Peminat nombor satu Allahyarham Seniman Tan Sri P Ramlee itu seperti tiada perubahan di segi fizikal walaupun telah melepasi zaman pencennya dan masih aktif mengetuai sektor korporat. Saya percaya beliau mempunyai petua tertentu untuk kekal ceria dan muda. Dan saya percaya beliau tidak mengambil Botox atau apa-apa suntikan seperti dilakukan oleh seorang pemimpin politik yang sedang 'hilang akal' di Selangor hari ini. Untuk rekod gambar ini dirakamkan kira-kira 17 tahun lalu di Kuala Lumpur ketika penulis menemuramah Tun Ahmad Sarji di sebuah hotel.

Wednesday, August 4, 2010

BALAI BOMBA UNIT SENDUK DAN TEDUNG SELAR

INILAH SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL di Kota Kemuning, Shah Alam...pembinaan Balai Bomba dalam hutan mungkin dikhususkan untuk unit tangkapan reptilia berbisa seperti ular senduk dan tedung selar. Ia menunggu berbelas tahun untuk disiapkan!

 Apakah kita harus membiarkan segala kegagalan ini dengan terus mendiamkan diri. Bayangkan berapa ratus atau ribu projek seumpama ini yang masih terbengkalai dan hanya menjadi projek gajah duduk. Modus operandi BN untuk mengelirukan rakyat, kononnya mereka merancang sebegitu banyak pembangunan untuk negara tetapi hakikatnya, mereka hanya memasang papan tanda dan berharap rakyat terus melupakannya.

 Kita tidak mahu sebuah kerajaan yang mempunyai sikap buruk sebegini kerana ia jelas telah mengelirukan rakyat dengan kata-kata dan ungkapan-ungkapan perjuangan yang hanya bersifat retorik.

DITANGKAP KHALWAT

Ajwati (bukan nama sebenar) membetulkan  tudung berwarna daun pisang muda yang membalut kepalanya agar kelihatan  kemas. Entah berapa kali tudung itu  dibetul-betulkannya, dia sendiri tidak tahu. Mata liar beberapa orang yang tidak dikenalinya seakan meratah seluruh tubuhnya ketika itu. Mahu diapakannya, dalam keadaan dikepung beberapa orang penguatkuasa, perasaannya juga semakin tidak menentu. Tak mampu disorokkannya perasaan malu dan aib, walaupun kettika itu hanya cahaya lampu jalan sahaja menerangi tempat ditahan.

Baru sebentar tadi, Kamal (bukan nama sebenar) berjanji mahu sehidup semati. Baru sebentar tadi Kamal berjanjikan bulan bintang. Banyak yang Kamal janjikan sebentar tadi sehingga membuat dia leka dan alpa. Suasana sunyi berdua-duaan dalam kereta di tepi tasik itu, disangkanya selamat untuk terus lena dalam pelukan Kamal sambil mendengar janji-janji Kamal yang muluk-muluk dan indah-indah Tak disangkanya pula, bencana datang menerpa. Disangkanya malam sentiasa gelita, tapi suluhan lampu picit menerjah dan membularkan mata.


Disangkanya Kamal, lelaki sejati. Disangkanya Kamal pahlawan di hati. Rupanya, Kamal membuka langkah seribu,, meninggalkan dia menggigil lesi kehilangan arah apabila dikepung penguatkuasa yang sedang meronda.

Dalam hatinya sebak diserang marah dan geram. Angkara ditinggalkan Kamal bersendirian, dia terpaksa menanggung malu sendiri. Semakin ramai yang mahu tahu, datang mengerumuni tempat dia ditahan. Terasa dirinya tiada lagi harga di kala itu.

 "Siapa lelaki yang lari tadi?" dia ditanya namun Ajwati lambat benar membuka mulutnya. Bibirnya bak delima terasa bagai dikunci. Tetapi dia terpaksa berterus terang apabila diulang tanya di depan orang.

 "Kawan saya...ustaz!"

"Dah lama kenal?"

 "Baru seminggu!"

 Semua yang ada mendengar bagaikan tidak percaya. Baru seminggu berkenalan, Ajwati sudah berani membenarkan diri diusung ke sana sini.

"Kamu tahu tak yang perbuatan kamu berdua-duaan tadi salah?"

 "Tahu ustaz!"

 "Tapi kenapa buat?"

 "Saya terpedaya"

 Tapi Ajwati tahu itu bukan jawapan yang dapat membebaskan dia daripada tindakan. Suasana menjadi kecoh apabila beberapa penguatkuasa yang 'memburu' Kamal dalam malam gelita kembali dan memberitahu suspek tidak dapat dikesan.

 Ajwati menangis di dalam hati. Kamal tergamak membiarkan dia berdepan semua ini sendiri-sendiri. Ketika bersama di saat indah, segala janji Kamal ungkapkan. Semua janji Kamal dendangkan. Tapi bila berdepan bencana begini, dia lari entah ke mana.

 "Saya jumpa coli dalam kereta ustaz!" beritahu seorang penguatkuasa kepada ketuanya. Semua mata terlopong. Ajwati terasa dirinya telah berada di hujung tebing bukit yang tinggi. Terasa saja mahu dicampakkan tubuhnya ke curam jauh. Tak disangkanya, terlalu jauh babasnya bersama Kamal tadi.

 "Tak apa...cik ikut kita. Kawan cik kita akan kesan menerusi nombor kereta dia ni!"

 Dan saat dia menaiki van untuk dibawa ke pejabat penguatkuasa, air matanya luruh bagai empangan yang pecah dikobak banjir merusuh. Sedarlah Ajwati kini berapa sebenarnya harga janji seorang lelaki. Tapi kata orang kesal dahulu ada baiknya, kesal kemudian banyak musibah.

SUMPAH LAKNAT SEDANG MEMAKAN DIRI?!

SEPERTI YANG SAYA catatkan semalam, sumpah laknat yang dibuat oleh individu tertentu sedang dimakbulkan Allah. Lihatlah pada kejadian-kejadian yang sedang dan akan berlaku di sekeliling kita. Musibah demi musibah sedang mendatang.

 Biarlah rakyat menjadi saksi betapa pembohongan akan dibalas Allah dengan hukuman yang begitu mudah. Semoga pemimpin-pemimpin politik yang kelat bohongnya, yang masin auta dan yang pahit tipunya sedar dan kembali memohon ampun.

KEPADA MB NEGERI SEMBILAN: DI RANTAU MUNGKINLAH HANYA ADA BUAYA DARAT. DI PORT DICKSON MEMANG ADA BUAYA TEMBAGA.

SAUDARA menteri besar Negeri Sembilan jangan terus membuat keputusan gelojoh mengatakan pantai di sekitar Port Dickson, terutama yang menganjur dari Linggi, Tanjung Agas, Pasir Panjang dan Tanjung Tuan tidak mempunyai buaya. Tindakan saudara menyatakan pantai itu selamat hanyalah untuk menyelamatkan tengkuk saudara sahaja kerana bimbang kantung kerajaan negeri merosot kalau industri pelancongan juga merosot.

 Tolonglah saudara fikirkan sama realiti sebenarnya. Saudara perlu melihat kepada bukti bangkai buaya yang ditemui di pantai Tanjung Agas. Apakah itu bangkai cicak atau bangkai sesumpah?  Dan paling penting adalah saudara bertanyakan sekali kepada nelayan veteran yang pernah mencari rezeki di pantai Port Dickson.

 Ingin saya bawa perhatian saudara kepada pantai di Tanjung Selamat di Pasir Panjang. Sememangnya nelayan veteran di pantai itu pernah melihat kelibat buaya berkeliaran sejak sekian lama. Malah salah satu karang mempunyai habitat ikan di pantai itu sehingga kini dikenali sebagai KARANG BUAYA. Beberapa nelayan pernah melihat buaya berada di kawasan itu sejak saudara belum menjadi menteri besar lagi. Dan untuk menarik perhatian saudara lagi, elok saya jelaskan bahawa saya dan bapa saya juga pernah mendapat ikan PUYU di laut berkenaan ketika menjala beberapa tahun lalu, selain pernah melihat seorang penjala India mendapat ikan SEPAT SIAM.
Kalau ikan air tawar pun boleh dijala di situ, bukan mustahil buaya juga sedang menanti saudara untuk menunjukkan kelibatnya!
 
 Keputusan gelojoh dari mulut saudara mengatakan pantai Port Dickson tiada buaya amat dikesalkan. Malah nelayan yang sering menjala pada sebelah malam juga sering melihat kelibat harimau berkaki tempang di tepi pantai yang sering dikenali oleh nelayan veteran sebagai tokTepok. Malah pernah seekor kancil terjatuh dan patah kakinya dari atas bukit dan menjadi rezeki kami berbelas tahun lalu kerana diburu oleh Tok Tepok ini. Ini bukan cerita dongeng saudara menteri besar.

Semoga saudara bertanyakan orang terlebih dulu sebelum membuat keputusan sendiri melibatkan kepentingan orang ramai di Pantai Port Dickson. Saya faham di tempat saudara di Rantau dan Siliau hanya ada buaya darat, tetapi jangan menolak kemungkinan adanya pula buaya tembaga di pantai kami.

KELUARGA RAZAK, MAHATHIR DAN HUSSEIN SAHAJAKAH MAMPU JADI PEMIMPIN NEGARA?

KENAPA pemimpin kita gagal meletakkan negara pada tempat yang sepatutnya selepas lebih 50 tahun memerintah negara?

Saya percaya antara sebabnya ialah pemimpin dari keluarga yang sama sahaja diberi peluang untuk memerintah. Sebagai contoh keluarga Razak. Jika Tun Razak boleh menjadi perdana menteri, tidak semesti anaknya Najib juga boleh menjadi perdana menteri. Begitu juga keluarga Hussein Onn. Kalau Tun Hussein boleh menjadi menteri dan perdana menteri, itu tidak semestinya anak beliau Hishamudin juga boleh menjadi menteri. Kita melihat UMNO telah menutup peluang kepada orang lain untuk memimpin negara dengan hanya menumpukan kepimpinan negara kepada waris-waris mereka sahaja.

Begitu juga keluarga Mahahthir. Apakah tidak ada orang lain selain anaknya, Mukhriz menjadi pemimpin untuk bergabung dengan kabinet yang ada.

Hal ini telah lama diperhatikan oleh rakyat tetapi oleh sebab ketakutan dan dibelenggu oleh rasa taksub keterlaluan, maka kebanyakan pemimpin utama dan penting dalam negara diwarisi daripada keluarga pemimpin yang dulu-dulu. Mewarisi keluarga dalam tampuk kepimpinan mungkin tidak menimbulkan masalah jika ia hanya melibatkan ;parti, tetapi jika melibatkan teraju negara, ia mesti diperhalusi mulai sekarang. Pengadil yang sesuai menilai masalah ini adalah rakyat jelata!

Apakah dari sejumlah 27 juta rakyat negara ini, tidak ada orang lain yang boleh memimpin atau menerajui negara kecuali keluarga Hussein, Razak dan Mahahthir sahaja yang mendapat peluang?

Perkara ini mungkin dipandang ringan, terutama di kalangan ahli UMNO, tetapi untuk jangka panjang ia dipercayai boleh menyebabkan negara kita tidak mampu bergerak ke depan dengan lebih laju dan lancar seperti diharapkan rakyat.

Fikir-fikirkanlah wahai rakyat secara terbuka dengan hati lapang dan fikiran tenang!

MEMANG MISTERI.

Berita Harian dengan tajuk: KEMATIAN MISTERI. The Star pula DUO FOUND DEAD. Demikian kematian Datuk Abdul Aziz Mohd Noor dan Naib Ketua Wanita UMNO Tg Karang, Siti Rohana Ismat mendapat liputan media di muka depan hari ini.

Seperti kata Berita Harian; Kematian Misteri. Memang misteri kematian melibatkan bekas Adun Permatang itu dan pihak berkuasa mesti menyiasatnya dengan teliti walaupun Ketua Polis Selangor,Datuk Khalid Abu Bakar, dipetik berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan seorang daripada mereka menembak pasangannya sebelum menembak diri sendiri.

 Dengan latar belakang yang disenangi oleh rakan-rakan allahyarham, tentulah kematian ini mempunyai sebab dan tindakan menggunakan pistol sendiri untuk mengambil nyawa bukanlah satu keputusan mudah untuk dibuat oleh sesiapa sahaja.


 Semoga Allah cucuri rahmat ke atas mereka dan semoga pihak berkuasa menyiasat segenap aspek, termasuk hubungan mereka, latar belakang kawan-kawan mereka dan juga kemungkinan sebarang tekanan yang diterima daripada mana-mana pihak, sama ada dari orang politik mahupun rakan perniagaan atau ia hanya berkaitan soal peribadi. Ini juga penting bagi memastikan, pemberian lesen senjata api tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

PEMINAT FITNAH SAYA TANDA MEREKA INGAT SAYA, KATA MAWI

Kecoh seketika konon Mawi, suami si Ikin dikatakan berkahwin lagi di Kuantan baru-baru ini. Cerita itu tersebar juga dalam internet, konon kata memang ada orang melihat Mawi di majlis pernikahan itu.


Mawi ketika ditanya Radio Era semalam, bagaimanapun berharap cerita itu dihentikan kerana ia tidak tepat dan tidak benar. Sambil mengakui memang beliau hadir pada satu majlis pernikahan di Kuantan baru-baru ini, Mawi menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Katanya, pada hari berkenaan beliau memang ada di majlis itu tetapi menemani seseorang dan kemungkinan ada yang melihat beliau maka timbullah cerita yang kononnya dia berkahwin satu lagi. Mawi bagaimanapun, menyifatkan berita itu sebagai satu petanda bahawa peminat masih mengingatinya.


"Bila ada orang kata tengok saya dan kata saya berkahwn lagi, itu tandanya peminat masih ingat pada saya," katanya.


Ikin yang turut mendnegar cerita itu bagaimanapun hanya tersenyum. Malah kata Mawi, Ikin sendiri tidak percaya kerana katanya kalau betul Mawi berkahwin satu lagi kenapa dia (ikin) tidak dijemput sama.

TAK USAH CERITA FASAL FDI, NAK BUAT BALAI BOMBA PUN BN TAK MAMPU

DI MANA JANJI BARISAN NASIONAL untuk membina sebuah balai bomba dan balai polis di Kota Kemuning, Shah Alam. Sejak era pentadbiran Abu Hassan Omar hinggalah membawa kepada pentadbiran Khir Toyo, cadangan itu hanya tinggal papan tanda dan tanah yang dikhaskan untuk tapak pembangunan projek itu telah ditumbuhi hutan belukar.

 Malah paling memalukan, Abu Hassan Omar yang juga bekas menteri besar, boleh tanpa rasa malu amat selesa tinggal di Kota Kemuning, salah satu perumahan elit di Shah Alam, tanpa berasa apa-apa setiap kali melintasi papan tanda projek yang dicadangkan BN itu.

Selalunya BN gah dengan setiap pembangunan yang dilakukannya, sehingga hampir semua papan tanda itu akan dicatat SATU LAGI PROJEK BARISAN NASIONAL. Nah...sekarang di mana mahu dituliskan perkataan itu. Di muka atau di dahi pemimpinnya yang bijak memutar janji!

 Demikianlah wahai rakyat jelata, panggilan supaya berubah mesti didengar kerana semakin lama terkurung dalam sangkar BN, semakin padah jadinya masa depan kita! Tak usahlah bercerita kegagalan BN menarik pelaburan terus asing ke negara ini, mahu membina balai bomba dan balai polis pun tidak termampu.
 
Apa lagi yang boleh kita harapkan pada sebuah kerajaan sedemikian lemah, selepas lebih 50 tahun diberi peluang memerintah?

Tuesday, August 3, 2010

PANAS SUMPAH LAKNAT

SAYA INGIN MENGINGATKAN TENTANG SUMPAH LAKNAT YANG PERNAH DIBUAT OLEH BEBERAPA INDIVIDU DI NEGARA KITA SEBELUM INI. Barangkali Tuhan telah mula menunjukkan hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang telah bersumpah. Buka mata dan lihat sahaja apa yang sedang dan telah berlaku.

Semoga Allah pelihara negaraku yang tercinta!

HANCUR PUNAH MASA DEPAN NEGARA

Belum pernah dalam sejarah, Malaysia ketinggalan berbanding Filipina dalam kemasukan pelaburan terus asing. Cuma kali ini, bukan sahaja tertinggal berbanding Filipina, tetapi diletakkan tercorot di Asean sebagai negara paling kurang menarik pelaburan asing. Ini amat memalu dan memalukan.

 Kegagalan ini mesti dipikul oleh Datuk Seri Najib secara terbuka. Tiada alasan karut-marut perlu dikeluarkan untuk mempertahankan sebuah kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara. Alasan yang tidak masuk akal jangan diperpanjangkan lagi kerana rakyat telah muak dengan kegagalan ini.

 Cara paling terhormat bagi Najib ialah meletakkan jawatan dan sekaligus membuka ruang kepada pilihanraya baru. Biar kerajaan baru menguruskan negara. Telah terlalu lama memerintah masih gagal. Cara paling baik ialah berundur.   

Jangan tunggu sehingga punah ekonomi kita baru mahu mengaku sebuah kegagalan!

KHIR TOYO DAH MALU-MALU ALANG

KHIR TOYO kenapa diam selepas kecoh dan bising fasal pasir di Kampung Susu. Konon katanya, sungai di situ dah tercemar teruk angkara kerja-kerja pengambilan pasir. Konon juga maksudnya, kerajaan sekarang salah sebab tak ambil tindakan untuk pastikan kerja-kerja pengambilan pasir tidak mengancam alam sekitar.
 
Kenapa diam? Dah rasa bersalah atau malu-malu alang?

 Benar kata kawan saya. Dia selalu memancing di sungai itu berbelas tahun lalu. Tapi sungai itu memang telah sedia tercemar angkara kerja-kerja pengambilan pasir yang berlaku sepenuh masa dalam tempoh Khir Toyo berkuasa.

Sekarang yang peliknya, Khir cuma mahu menjadi hero. Tapi caranya silap. Bila orang bantai balik sampai nampak pekung dia, terus senyap sembunyi muka.

 Tapi tak apalah Khir. Saudara boleh menjadi hero semula. Caranya dengan pergi  menolong saudara Mat Hassan, menteri besar Negeri Sembilan selesaikan masalah pasir di Kampung Pilin, Rembau. Mungkin saudara berdua boleh duduk-duduk di tebing sungai dan bukan sahaja bincang fasal pasir, tapi bincang juga fasal masa depan Negeri Sembilan yang semakin masak. Menunggu gugur aje!

TOK HISHAM MENGAMUK

TOK HISHAM MENGAMUK! Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Imigresen akan ditukarkan kalau terus tidak berubah. Ini ekoran kejadian 20 pendatang Afghanistan meloloskan diri dari Depoh Tahanan Pendatang Asing di KLIA semalam.


Tapi berani ke Tok Hisham buat apa yang dia cakap/. Kejadian ini adalah yang kedua berlaku. 27 Mac lalu, 12 tahanan Afghanistan dan 4 Myanmar pun lepas lari. Tentu selepas meloloskan diri mereka terus bersiul-siulan.

Saya rasa Tok Hisham tak berani buat apa dia cakap. Dia ni kadang-kadang wayang aje sebab dah malu pendatang yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang lolos begitu sahaja sambil berdondang sayang.

DEBUS DEBUS SINGA LAUT MEMBELAH OMBAK: Nak tanya Tok Hisham. Susah sangat ke nak dapatkan KP bagi warganegara sini yang terpaksa pakai kad pengenalan merah semata-mata masalah tekni kal?

HARGA KEPALA PENGUNDI NAIK KEPADA RM3

HARGA RM1 yang ditawarkan kepada mereka yang tolong mendaftarkan pengundi baru akan dinaikkan kepada RM3. Ini bermakna, setiap kepala pengundi baru berharga RM3, tidak sama harga seekor tikus yang ditangkap di bendang mahupun di lorong belakang atau di dalam longkang!

Rusuhnya fikiran bila SPR mula bermain duit. Kalau daftar automatik tidak dapat dijalankan, tidakkah ada cara lain untuk mendaftarkan pengundi baru. Apakah dengan RM3 ia menjadi satu apresiasi dan galakan yang dikatakan mudah dan bermaruah?

Tolonglah SPR! Banyak cara lain boleh dilakukan. Susah sangatkah kita meminta kaunter depan JPJ, Imigresen, Jabatan Pendaftaran atau mana-mana kaunter depan agensi kerajaan mendaftarkan pelanggan sebagai pengundi baru. Caranya mudah. Tampal notis di kaunter, kemudian kerani kaunter tanya pelanggan secara rambang. Jika pelanggan belum mendaftar, kerani berkenaan ambil hujung jari dan sentuh skrin komputer. Isi maklumat dan daftar terus! Tugas ini sepatutnya dipikul olah SPR tetapi meminta agensi lain melaksanakan tanggungjawab sosial mereka juga tidak menjadi kesalahan.

Apabila kita asyik bermain dengan duit, apatah lagi bagi sebuah badan yang perlu kelihatan bersih dan adil, tanggapan negatif semakin tidak dapat dihakis. SPR tidak boleh memilih jalan mudah dalam perkara ini walaupun SPR ada pilihan untuk mendengar krtikan atau memekakkan telinga.

Ayuh SPR! Sistem berjalan ke depan bagai siput, mengundur ke belakang bagai kilat mesti dikikis.

Monday, August 2, 2010

CONTOHI DYMM SERI PADUKA BAGINDA RAJA PERMAISURI AGONG TUANKU NUR ZAHIRAH

DAH LAMA NAK TULIS fasal perangai isteri VIP atau orang kenamaan, tapi tak kesampaian. Cuma ketika menjalani ujian Ultrasound dan X Ray di sebuah pusat perubatan Shah Alam tadi, hati melonjak-lonjak memaksa 'benda' itu mesti ditulis juga. Maklumlah dak dekat puasa, nanti ada isteri VIP  mudah cepat angin.

Bukan apa. Kepada semua isteri orang kenamaan, tolong perhatikan baik-baik, pandang elok-elok dan tatap luas-luas. Tolonglah belajar daripada personaliti DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, setiap kali baginda menemani DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke mana-mana majlis sama ada melibatkan golongan atasan mahupun rakyat marhaen. Baginda Raja Permaisuri Agong amat tertib dalam semua perkara. Sukar menemui hal-hal yang khilaf pada pandangan kita. Baik ketika bertitah mahu pun ketika beramah mesra dengan rakyat jelata.

Sesungguhnya, contohilah baginda wahai isteri-isteri orang kenamaan. Jangan ketika berjalan mendahului suami dan jangan juga bercakap sesuatu yang bukan hak kita untuk bercakap mengenainya. Atau kata orang jangan meletakkan kata-kata suami di mulut kita. Apatah lagi mendesak kata-kata kita sentiasa ada di mulut suami.

Ingatlah juga wahai isteri orang kenamaan, yang berkuasa adalah suami anda dan isteri hanyalah peneman bukan tuan. Isteri adalah pembantu bukan pemandu!

Jangan mengambil kesempatan untuk bertingkah keterlaluan kerana kuasa suami adalah amanah dan tanggungjawab, bukannya pentas untuk meraih populariti!

Contohi baginda DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah!

VOGUE PUTERI UMNO ATAU VOGUE SINGALAUTMETRO

SAYA TIDAK KISAH  ia secara kebetulan, memang telah dirancang atau atas alasan apa pun, tapi tidak lama selepas saya menulis artikel yang memberitahu bahawa golongan muda sekarang mahukan parti yang vogue, atau keras dan lebih vokal, Puteri UMNO pun melancarkan VOGUE atau Voluntary For Everyone semalam.

Ia dirasmikan oleh TPM yang juga ayah kepada Najwa Mahiaddin. Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Majid Shirlin berkata, VOGUE dilancarkan untuk menjenamakan semula dan memberi imej lebih segar kepada pergerakan itu dan DIJANGKA DAPAT MENJADI TARIKAN YANG BAIK KEPADA orang ramai terutama golongan muda.

Apa pun usaha yang dibuat oleh UMNO untuk menarik golongan muda, parti itu sebenarnya tidak boleh mengharapkan hasilnya dalam tempoh segera kerana parti PAS dan PKR sebenarnya telah lama membawa imej VOGUE pada kaca mata orang muda walaupun tanpa penubuhan atau pelancaran biro atau platform seumpama itu. Sebab itu orang muda telah lama terpikat dan jatuh cinta pada parti pembangkang!

 Apa pun selamat mencuba!

Sunday, August 1, 2010

TAHANAN LOLOS POTONG PAGAR

DUA PULUH TAHANAN Afghanistan berjaya meloloskan diri dari pusat tahanan di KLIA. Kesemua dipercayai berdondang sayang melepaskan diri selepas memotong pagar kem berkenaan.
  
Sehubungan itu pihak berkuasa meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

PERSOALANNYA kenapa insiden melibatkan sebegitu ramai tahanan tidak dapat ditangani dengan segera. Nampak mudah sangat ia berlaku. Kenapa, bagaimana, bila, siapa, apa dan di mana?

DALAM SEMUA HAL, JANGAN OVER SANGAT

SEKALI DUA, orang tak kisah. Sehari dua orang tak peduli. Tapi kalau sudah keterlaluan atau orang putih kata over, orang akan naik benci. Orang akan meluat, mual dan loya. Di hujung semua perasaan itu orang akan muntah.

Demikianlah mahu disentuh tentang orang perempuan, atau lebih tepat lagi tentang perempuan yang telah menjadi isteri! Apatah lagi kalau perempuan itu isteri orang politik!
 
Kalau seorang isteri mahu menunjukkan dia juga mempunyai kuasa sama seperti kuasa yang ada pada suaminya, tentu keadaan akan menjadi lain. Tentu yang tunggang jadi terbalik, yang lintang menjadi pukang. Apatah lagi kalau satu-satu hal itu menjadi perkara yang sepatutnya milik suami untuk bercakap mengenainya.
 
Dalam dunia politik, seseorang isteri mesti faham dan reti tugas dan sempadan untuk dia tanggung serta menghormatinya. Dia tidak boleh mendahului si suami kerana dalam politik, isteri pemimpin hanyalah pembantu bukannya pemandu. Hanyalah peneman, bukannya tuan.

Kalau si isteri menganggap menjadi isteri pemimpin politik adalah platform untuk dia meraih populariti, dia telah melakukan kesilapan yang amat besar. Dia telah melakukan kekhilafan yang sukar dimaafkan.
 
Ingat dan insaflah wahai perempuan bergelar isteri.

AWAS! AWAS! AWAS!

AWAS! penyanyi baru wanita yang gemar membawa teman lelaki pulang ke rumah. AWAS! AWAS! peminat semakin muak dan jelak. Dan jangan terkejut jika peminat anda selepas ini adalah pegawai penguatkuasa yang akan mendapatkan autograf anda ketika anda dan teman lelaki anda sedang berdua-duaan.

Sayang betul. Anda ada masa depan yang cemerlang, tetapi perangai anda omakkk oooiii...

AWAS! sekadar peringatan kepada artis muda yang berambut panjang itu.

RAYUAN MAYA KARIN

MAYA KARIN merayu tolong hentikan gosip keintimannya dengan pelakon Remy Ishak. Katanya, dia dan Remy hanya berkawan rapat dan segala gosip konon hubungan intim mereka menjadi punca perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Ali Abdullah @Steven David Shorthose mohon tidak diperbesarkan.

 Kata Maya lagi, isu berkaitan perceraiannya telah selesai dan berakhir. Tumpuannya kini hanyalah kepada kerjayanya semata-matanya. Alahai Maya Karin. Kalau ada hubungan pun dengan Remy apa salahnya. Cuma jangan silap berteduh di bawah pohon cinta yang rapuh.

MAYA...MAYA...

JADIKAN BATU NISAN INDUSTRI EKSKLUSIF ORANG ISLAM

BENDA NI dah lama berlaku. Kisah bangsa asing buat batu nisan untuk orang Melayu. Kalau kaitkan dengan konsep 1Malaysia Tok Jib, ternyata batu nisan adalah contoh paling awal betapa konsep itu telah lama digunapakai oleh semua rakyat di negara ini. Tak ada orang Melayu atau Islam marah kalau Cina buatkan batu nisan untuk mereka. Belum pernah kita dengar ada orang Islam berarak memprotes di jalanan menentang pihak bukan Islam yang terbabit dalam industri ini. Yang pernah kita dengar dan lihat ialah orang Melayu akan bising-bising apabila ada orang Melayu lain cuba memperjuangkan tentang Islam. Tentang batu nisan, tanda akhir yang kekal di dunia sebagai merasmikan kematian orang Islam, tak pernah jadi isu sensitif.

Cuma rasa tak enak mulai memulas perasaan apabila difikirkan lama-lama. Negara kita Islam. Majoriti rakyatnya juga Islam. Terfikir juga kenapalah industri batu nisan tidak dijadikan hak eksklusif perniagaan orang Islam. Sudahlah kain kapan dan papan untuk dijadikan keranda pun dibeli dari kedai bukan Islam, satu-satunya tanda nama terakhir yang dipacakkan atas pusara orang Islam juga seakan tidak pernah dipedulikan. Ingatlah kehidupan dan kematian adalah maruah. Adalah harga diri. Cuba fikirkan! Sejak seseorang umat Islam itu lahir sehinggalah dia mati, berapa kerat urusan hidupnya diuruskan betul-betul oleh orang Islam? Masa lahir dan proses bersalin, ramai juga disambut oleh doktor bukan Islam. Kain bedung, lampin atau susu untuk urusan membesarkan bayi juga dibeli dari kebanyakan kedai atau pasaraya bukan Islam. Ini kerana logiknya produk itu kebanyakannya buatan bukan Islam. Bila mahu ke sekolah, pakaian pun dibeli hasil buatan kilang orang bukan Islam. Demikian seterusnya proses hidup orang Islam.  Bergantung harapan dalam segala hala di atas ehsan dan simpati serta  jasa baik orang bukan Islam. Sehinggakan urusan batu nisan pun tak mampu dikuasai sepenuhnya oleh mereka. Agak-agaknya UMNO dan pemimpin mereka pernah tak terfikir hal yang ini? Pernahkah agaknya terlintas dalam perjuangan mereka untuk berfikir tentang batu nisan ini. Atau sebenarnya mereka reti tetapi berasa tersangat bimbang setiap kali bercerita tentang batu nisan, Seperti sama bimbangnya mereka apabila bercerita soal talkin?!

KEPALA PENGUNDI RM1 SETIAP SATU!

TIMBALAN Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan pihaknya akan membayar RM1 bagi setiap pengundi baru yang berjaya didaftarkan. Bagus juga idea SPR. Macam upah tangkap tikus! RM1 seekor.

Demikian sanggupnya SPR bersusah meminta kerajasama penolong pendaftar daripada parti politik, NGO dan pemimpin masyarakat yang dilantik.

Demikian sungguhnya SPR mahu menggalakkan rakyat mendaftar, cuma yang hairan, pelik, ajaib dan keliru ialah kenapa SPR tak boleh mendaftarkan pengundi secara automatik. Sanggup menghabiskan duit macam bayar upah tangkap tikus, namun mahu melaksanakan daftar secara automatik jangan harap!

Memang pelik. Pelik betul! Betul-betul Pelik. Ada cara mudah suap nasi ke mulut, sanggup pilih cara susah. Guna tangan tapi pusing belakang kepala, baru terus ke mulut! 

Suka diingatkan, SPR adalah agensi yang ditauliahkan kerajaan menjalankan kerja-kerja pendaftaran pengundi dan segala apa sahaja yang berkaitan proses mengadakan pilihanraya dan pengundian di negara ini. Namun, kaedah yang diguna pakai agensi itu sering sahaja diperlekeh dan ditertawakan. Tak ubah seperti berjalan ke depan macam semut, berundur ke belakang macam kilat!

RAMAI BERTANYAKAN JANNA

Ramai bertanya. Soal ikhlas atau tidak jangan kita pertikai atau kita perkitai. Mereka terlalu ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Janna Mohd Zaki dengan tunangnya, Shaiful Bahri. Adakah mereka masih kekal bertunangan atau telah terputus,

Ramai juga bertanya, bagaimana akhirnya cerita Farah, DPP yang dikatakan ada hubungan dengan Shaiful Bahri. Adakah hubungan itu benar dan tulen. Atau hubungan yang ori dan bukannya cerita angin semata-mata.

Bagaimanapun, soalan tentang Janna lah yang paling banyak diperbincangkan oleh warga kedai kopi dan ada seorang lelaki tampan semalam selamba menawarkan diri. Katanya, kalau Janna telah tidak terikat lagi dengan Shaiful, dia sedia menawarkan diri untuk merapati Janna. Tambah lelaki itu lagi, mungkin dia tak sehandsome Shaiful. Cuma dia sedih sebab tak tahu macam mana nak mencari atau menghubungi Janna.

Saya no komen hal ini, tapi nampaknya tiba-tiba Janna mulai kembali popular. Sudi-sudilah memaklumkan khabar diri.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10