Ajwati (bukan nama sebenar) membetulkan tudung berwarna daun pisang muda yang membalut kepalanya agar kelihatan kemas. Entah berapa kali tudung itu dibetul-betulkannya, dia sendiri tidak tahu. Mata liar beberapa orang yang tidak dikenalinya seakan meratah seluruh tubuhnya ketika itu. Mahu diapakannya, dalam keadaan dikepung beberapa orang penguatkuasa, perasaannya juga semakin tidak menentu. Tak mampu disorokkannya perasaan malu dan aib, walaupun kettika itu hanya cahaya lampu jalan sahaja menerangi tempat ditahan.
Baru sebentar tadi, Kamal (bukan nama sebenar) berjanji mahu sehidup semati. Baru sebentar tadi Kamal berjanjikan bulan bintang. Banyak yang Kamal janjikan sebentar tadi sehingga membuat dia leka dan alpa. Suasana sunyi berdua-duaan dalam kereta di tepi tasik itu, disangkanya selamat untuk terus lena dalam pelukan Kamal sambil mendengar janji-janji Kamal yang muluk-muluk dan indah-indah Tak disangkanya pula, bencana datang menerpa. Disangkanya malam sentiasa gelita, tapi suluhan lampu picit menerjah dan membularkan mata.
Disangkanya Kamal, lelaki sejati. Disangkanya Kamal pahlawan di hati. Rupanya, Kamal membuka langkah seribu,, meninggalkan dia menggigil lesi kehilangan arah apabila dikepung penguatkuasa yang sedang meronda.
Dalam hatinya sebak diserang marah dan geram. Angkara ditinggalkan Kamal bersendirian, dia terpaksa menanggung malu sendiri. Semakin ramai yang mahu tahu, datang mengerumuni tempat dia ditahan. Terasa dirinya tiada lagi harga di kala itu.
"Siapa lelaki yang lari tadi?" dia ditanya namun Ajwati lambat benar membuka mulutnya. Bibirnya bak delima terasa bagai dikunci. Tetapi dia terpaksa berterus terang apabila diulang tanya di depan orang.
"Kawan saya...ustaz!"
"Dah lama kenal?"
"Baru seminggu!"
Semua yang ada mendengar bagaikan tidak percaya. Baru seminggu berkenalan, Ajwati sudah berani membenarkan diri diusung ke sana sini.
"Kamu tahu tak yang perbuatan kamu berdua-duaan tadi salah?"
"Tahu ustaz!"
"Tapi kenapa buat?"
"Saya terpedaya"
Tapi Ajwati tahu itu bukan jawapan yang dapat membebaskan dia daripada tindakan. Suasana menjadi kecoh apabila beberapa penguatkuasa yang 'memburu' Kamal dalam malam gelita kembali dan memberitahu suspek tidak dapat dikesan.
Ajwati menangis di dalam hati. Kamal tergamak membiarkan dia berdepan semua ini sendiri-sendiri. Ketika bersama di saat indah, segala janji Kamal ungkapkan. Semua janji Kamal dendangkan. Tapi bila berdepan bencana begini, dia lari entah ke mana.
"Saya jumpa coli dalam kereta ustaz!" beritahu seorang penguatkuasa kepada ketuanya. Semua mata terlopong. Ajwati terasa dirinya telah berada di hujung tebing bukit yang tinggi. Terasa saja mahu dicampakkan tubuhnya ke curam jauh. Tak disangkanya, terlalu jauh babasnya bersama Kamal tadi.
"Tak apa...cik ikut kita. Kawan cik kita akan kesan menerusi nombor kereta dia ni!"
Dan saat dia menaiki van untuk dibawa ke pejabat penguatkuasa, air matanya luruh bagai empangan yang pecah dikobak banjir merusuh. Sedarlah Ajwati kini berapa sebenarnya harga janji seorang lelaki. Tapi kata orang kesal dahulu ada baiknya, kesal kemudian banyak musibah.