nuffnang ads

Wednesday, August 4, 2010

KEPADA MB NEGERI SEMBILAN: DI RANTAU MUNGKINLAH HANYA ADA BUAYA DARAT. DI PORT DICKSON MEMANG ADA BUAYA TEMBAGA.

SAUDARA menteri besar Negeri Sembilan jangan terus membuat keputusan gelojoh mengatakan pantai di sekitar Port Dickson, terutama yang menganjur dari Linggi, Tanjung Agas, Pasir Panjang dan Tanjung Tuan tidak mempunyai buaya. Tindakan saudara menyatakan pantai itu selamat hanyalah untuk menyelamatkan tengkuk saudara sahaja kerana bimbang kantung kerajaan negeri merosot kalau industri pelancongan juga merosot.

 Tolonglah saudara fikirkan sama realiti sebenarnya. Saudara perlu melihat kepada bukti bangkai buaya yang ditemui di pantai Tanjung Agas. Apakah itu bangkai cicak atau bangkai sesumpah?  Dan paling penting adalah saudara bertanyakan sekali kepada nelayan veteran yang pernah mencari rezeki di pantai Port Dickson.

 Ingin saya bawa perhatian saudara kepada pantai di Tanjung Selamat di Pasir Panjang. Sememangnya nelayan veteran di pantai itu pernah melihat kelibat buaya berkeliaran sejak sekian lama. Malah salah satu karang mempunyai habitat ikan di pantai itu sehingga kini dikenali sebagai KARANG BUAYA. Beberapa nelayan pernah melihat buaya berada di kawasan itu sejak saudara belum menjadi menteri besar lagi. Dan untuk menarik perhatian saudara lagi, elok saya jelaskan bahawa saya dan bapa saya juga pernah mendapat ikan PUYU di laut berkenaan ketika menjala beberapa tahun lalu, selain pernah melihat seorang penjala India mendapat ikan SEPAT SIAM.
Kalau ikan air tawar pun boleh dijala di situ, bukan mustahil buaya juga sedang menanti saudara untuk menunjukkan kelibatnya!
 
 Keputusan gelojoh dari mulut saudara mengatakan pantai Port Dickson tiada buaya amat dikesalkan. Malah nelayan yang sering menjala pada sebelah malam juga sering melihat kelibat harimau berkaki tempang di tepi pantai yang sering dikenali oleh nelayan veteran sebagai tokTepok. Malah pernah seekor kancil terjatuh dan patah kakinya dari atas bukit dan menjadi rezeki kami berbelas tahun lalu kerana diburu oleh Tok Tepok ini. Ini bukan cerita dongeng saudara menteri besar.

Semoga saudara bertanyakan orang terlebih dulu sebelum membuat keputusan sendiri melibatkan kepentingan orang ramai di Pantai Port Dickson. Saya faham di tempat saudara di Rantau dan Siliau hanya ada buaya darat, tetapi jangan menolak kemungkinan adanya pula buaya tembaga di pantai kami.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10