FONG WEI SHEN, 20-an, tidak menampakkan apa-apa masalah sebelumnya, tetapi dalam sekelip mata dia berubah menjadi luar biasa.
Ketika bertengkar dan berjaya menarik teman wanitanya daripada terjun dari tingkat lapan sebuah kediaman, Fong bertindak di luar akal. Dia terjun dan ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dalam satu kejadian di Georgetown.
Ini adalah insiden bunuh diri selepas dua kejadian mengerikan berlaku membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Melaka dan seorang wanita yang mencampak anaknya sebelum dia terjun dari sebuah pangsapuri, beberapa hari lalu.
Dalam kejadian membabitkan Fong, kedua-dua pasangan itu dikatakan bertengkar di luar rumah dan pertengkaran itu dilihat oleh seorang jirannya.
Jirannya ternampak Fong berjaya menarik teman wanitanya yang berusia dalam lingkungan 20-an ketika cuba terjun tetapi dapat dipeluk dan diselamatkannya.
Bagaimanapun, kejadian di sebaliknya pula berlaku dalam sekelip mata apabila Fong bertindak terjun dari bangunan itu. Ketua Polis Daerah Geogetown, ACP Gan Kong Meng mengesahkan kejadian itu.