nuffnang ads

Saturday, February 12, 2011

KENAPA MESTI PERAYAAN HARI ITU, HARI INI, SEDANGKAN KITA ADA SAMBUTAN HARI PEKERJA?


SEORANG sahabat dalam bualnya di kedai kopi malam tadi berkata, Malaysia banyak sangat sambutan hari itu, hari ini sehingga boleh dikatakan dalam satu bulan pada bulan Mei, sebahagian besar harinya adalah hari untuk sambutan meraikan golongan profesyen tertentu.

Kata sahabat yang mengajar di IPTA itu, kita ada Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Kastam, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Polis, Hari Kanak-kanak dan pelbagai macam hari lagi.

Katanya, sebahagian hari yang disambut itu sebenarnya bertindih-tindih terutama kalau hari yang disambut itu melibatkan profesyen tertentu. Katanya lagi, bukankah kita sudah ada Hari Pekerja. Kenapa mahu diasingkan hari mengikut profesyen lain pula?

Bualnya nampak ringan, tapi isinya memang dalam. Katanya, kalau sudah kita sambut Hari Pekerja, tak payahlah kita sambut hari profesyen lain. Dia bimbang nanti akan wujud pula Hari Juruteknik, Hari Doktor, Hari Jurugegas, Hari pemain Bola, Hari Datuk, Hari Nenek, Hari Pemandu Teksi, Hari Banduan, Hari Majistret dan Hari Pensyarah!

Alangkah elok katanya, Hari Pekerja itu dimanfaatkan meraikan semua golongan profesyen tanpa pecahan kepada hari lain. Rai dan sambut hari itu secara penuh makna!

Memang katanya, menunjukkan hormat dan tanda ingat itu penting, tetapi kalau mahu diturutkan semua profesyen, kita akan terpaksa menunjukkan hormat dan ingat sehingga tidak cukup 365 hari setahun dijadikan hari sambutan untuk setiap profesyen itu.

Malah katanya, Hari Ibu, Hari Kanak-kanak dan Hari Bapa pun mungkin boleh diwujudkan sekali atas nama Hari Keluarga! Hari profesyen lain pula digabungkan sekali sahaja dalam sambutan Hari Pekerja.

Nampak ringan katanya, tapi mendalam untuk kita renungkan, terutama apabila ia melibatkan kos dan masa bagi meraikan setiap hari yang diraikan itu. Contohnya, bayaran iklan untuk menguar-uarkan tentang sambutan hari berkenaan di media cetak dan media elektronik. Duit itu boleh kita gunakan untuk benda lain yang lebih berfaedah, contohnya ketika kecemasan untuk menampung bayaran tiket pulang kepada pelajar yang mahu kembali menyambung pelajaran ke Mesir!

Sama-sama kita fikirkan tentang sesuatu bernama produktiviti! Itu yang paling utama. Budaya sambut-sambutan ini nampaknya menjalar dalam diam dalam masyarakat dan negara kita.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10