MENGHIAS untuk menutup keburukan dan kelemahan paling mudah dilakukan, berbanding menyerlahkan kemampuan dan kewibawaan untuk menjadi seorang pemimpin masyarakat.
Demikian dalam pilihanraya. Perkara conteng sana, tampal sini sudah jadi budaya untuk menunjuk-nunjuk. Hal-hal remeh dan bersifat kosmetik ini pula yang menjadi 99 peratus inti kempen untuk mengumpan pengundi. Soal paksi dipinggirkan. Hal warna baju dan warna kasut pula dilebihkan.
Parti politik harus berubah. Dulu sebelum pilihanraya diadakan, tidak nampak majlis penyampaian pampasan Perkeso, tidak nampak askar gali parit, tidak nampak pemimpin duduk di kedai kopi, tidak nampak isteri pemimpin dukung anak orang miskin, tidak nampak gotong royong mengecat rumah orang susah, tidak nampak itu dan tidak nampak ini.
Ini bukan teras perjuangan yang mahu dibuktikan kepada pengundi. Terasnya ialah misi dan kewibawaan kalau dia menjadi pemimpin. Yang dilakukan semua semasa kempen ini adalah umpan dan gula-gula. Percayalah, sejam selepas piliharaya berakhir, siapa pemimpin yang akan rakyat tengok ada di kedai kopi berbual dengan masyarakat walaupun hanya untuk lima minit!
Parti politik kena berubah. Ubah cara dan gaya. Kempen pilihanraya bukan untuk menunjukkan kebaikan. Kebaikan ada tersimpan di dalam hati bersama segumpal keikhlasan. Kebaikan dan keikhlasan itu akan nampak selepas menang. Kalau ditunjuk-tunjukkan sebelum menang @ semasa kempen pilihanraya, itu namanya hipokrit.
Ayuh, tukar cara agar tidak nampak sangat ia seperti kebodoh-bodohan. Tak perlulah harung banjir. Rakyat tahu, kalau banjir berlaku selepas pilihanraya hanya mak cik, pak cik, bomba, tentera dan polis sahaja akan meredahnya. Orang politik belum tentu. Belum tentu!