SEBELUM ini seorang suspek berusia 19 tahun yang ditangkap kerana membunuh remaja 15 tahun, Taufik Abdul Rahim menyanyi konon ada lima lagi rakannya terbabit dalam kes itu.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati suspek dipercayai melakukan semua kerja pembunuhan itu sendirian. Dia dipercayai menghentak kepala mangsa, dia mengangkat mangsa, dia menggali lubang dan dia yang menanam mangsa di bawah pondok secara sendirian.
Kalau ini sahih, terbukti betapa kejamnya seorang remaja yang masih hijau melakukan pembunuhan tanpa peri kemanusiaan!
Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Abdul Rahman Ahmad, berkata siasatan lanjut yang dilakukan pihaknya mengesahkan suspek menyerang mangsa seorang diri dan mendapati lima lagi suspek lain yang dicari sebenarnya tidak terbabit.
Di mahkamah semalam, Majistret Daerah paul Joring mengeluarkan perintahn tahanan reman selama tujuh hari ke atas remaja terbabit bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut sebelum dia didakwa di mahkamah.
Taufik Abdul Rahim dilaporkan hilang sebaik selepas keluar rumah Sabtu lalu pergi ke pekan. Bapanya membuat satu laporan polis berhubung kehilangan itu.
Polis yang mendapat maklumat orang ramai yang terlihat suspek menunggang motosikal mangsa, segera bertindak menahan remaja itu. Selepas disoalsiasat, dia membawa ke lokasi mayat Taufik ditanam, di bawah pondok di belakang rumahnya, tidak jauh dari sebuah sekolah di Sadong Jaya.