TANPA mahu berpihak, elok kita renung sejenak apa sebenarnya yang tersirat di sebalik perletakan jawatan Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan badminton BAM.
Menuduh Misbun sebagai tidak sayangkan negara, sama seperti menuduhnya seorang yang tidak patriotik. Sama melabelkannya sebagai pengkhianat dan ini adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima orang!
Siapa yang kenal, tahu dan mengkaji serta mengekori susur galur perjuangan Misbun dalam dunia badminton negara sudah tentu tidak terbuka bibir untuk melepaskan kata-kata itu.
Benar. Misbun meletakkan jawatannya kerana tidak lagi dapat menerima hakikat bahawa dirinya teraniaya. Benar. Misbun kecewa dan kekecewaan adalah normal bagi manusia yang dianugerahkan perasaan, apatah lagi bagi mereka yang telah sekian lama menabur jasa yang saban waktu seolah-olah ditikam dari belakang seperti tidak dipandang, hatta sebelah mata!
Berapa banyak air mata dan keringat Misbun tumpah kerana negaranya? Siapa yang pernah bertanya? Siapa yang tahu bagaimana Misbun meletakkan nyawa isterinya di tempat kedua hanya kerana negara? Siapakah yang bertanya bagaimana Misbun berkorban sering meninggalkan isteri yang sakit kronik demi negara. Siapa yang tahu sejak kecil, Misbun 'didera' oleh allahyarham ayahnya demi menjadikan dia seorang yang berguna demi bangsa dan negara.
Tolonglah. Dalam melihat atau menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam BAM sekarang, jangan kita sampai tersilap memilih kaca dan permata. Misbun itu sebenarnya permata, cuma kilauannya cuba dilitupi oleh awan mendung seseorang yang mempunyai kepentingan dan agenda tertentu dalam BAM.
Kita seharusnya bersyukur kerana Misbun tidak dilahirkan sebagai seorang yang kurang ajar. Kalau diikutkan sebagai manusia yang tiada sabar, telah lama Misbun menunjukkan sifat kurang ajar terhadap apa sahaja yang berlaku dan menimpa dirinya selama membiarkan dirinya menjadi lilin menerangi demi kepentingan negara.
Tanyalah pada Datuk Lee Chong Wei. Chong Wei bukan sekadar anak didik Misbun, tetapi adalah umpama anak kandung yang dibelai dan diasuh menjadi permata negara. Tanyalah pada keluarga Chong Wei! Kalau dipilih untuk siapa disayangi lebih di antara BAM dan Misbun, tidak mustahil Chong Wei akan memilih Misbun.
Demikian akrab dan retinya Chong Wei dan mereka yang rapat dengan Misbun tentang patriotismenya terhadap negara tercinta. Misbun tahu apa yang dilakukannya. Dia melakukannya demi maruah dan harga diri! Mempertahankan maruah dan harga diri adalah hak manusia dan dia tidak boleh dicop sebagai tidak sayangkan negara.
Jika kita mahukan rakyat menyayangi negara, tanyalah diri kita apa yang telah kita lakukan untuk menghargai dan menjaga hati dan perasaan seseorang yang telah banyak berjasa.
Kepada pimpinan BAM, anda jangan tersilap catur. Sebenarnya yang berkilau pada mulut dan cakap itu bukan intan. Yang banyak bercakap dan membodek itu adalah pasir dan kaca dan jika tidak pun mungkin najis yang amat berbahaya!
Awas pimpinan BAM. Dalam segenggam pasir di tangan, Misbun adalah sebutir intan di antara jutaan pasir itu. Dia tak pernah meminta apa-apa kecuali, tolonglah kita faham bagaimana untuk menjaga perasaan, maruah dan hak dia sebagai manusia yang pernah dan amat banyak berjasa!