nuffnang ads

Monday, January 17, 2011

RAHSIA KEJATUHAN PRESIDEN TUNISIA: SEDIKIT RENUNGAN UNTUK KITA BERSATU MAKMURKAN NEGARA

LEBIH 23 tahun Presiden Zine El Abidine Ben Ali memerintah Tunisia. Dalam tempoh itu pemerintahannya menggunakan lebih 4,000 'spy' atau pengintip daripada pelbagai lapisan masyarakat, berfungsi mencari maklumat sesiapa sahaja rakyat di dalam negara yang menentang pemerintahannya.

Ada di antara spy itu terdiri daripada pelajar, petani, kerani dan pelbagai macam bidang pekerjaan. Maklumat yang dikehendaki oleh Ben Ali akan disampaikan oleh spy yang banyak ini dan kemudian, sebagai tanda menghargai, bayaran tertentu akan diberikan kepada spy berkenaan.

Akibatnya, Ben Ali leka kerana terlalu memikirkan puak-puak yang menentangnya di segi politik semata-mata. Dia leka dan tanpa sedar ekonomi dalam negaranya pula dikatakan perlahan-lahan merudum mengakibatkan rakyat menderita kerana harga barangan tinggi dan ketidakcukupan bekalan makanan yang diperlukan.

Namun dalam suasana ekonomi yang sering terlepas pandang itu, kesemua spy Ben Ali terus menjalankan tugas menyalurkan maklumat demi mendapatkan duit. Ada sesetengah pihak percaya, banyak maklumat yang diberikan tidak betul dan bersifat menganiaya, tetapi diberikan juga kepada Ben Ali demi untuk mendapat duit oleh spy terbabit.

Kemuncak keadaan ekonomi yang mula terasa membebankan, rakyat semakin bangkit. Dalam kejadian sehari sebelum Ben Ali melarikan diri, dia terasa amat tercabar apabila seorang rakyatnya bernama Mohamed Bouazizi 26, tiba-tiba nekad membakar diri sendiri kerana marahkan corak pemerintahan Ben Ali.

Bouazizi berkelulusan universiti membakar dirinya selepas polis menghalang dia menjual buah-buahan dan sayur-sayuran demi untuk menampung kehidupan. Sebelum membakar diri, Bouazizi berkata dia kesal hidup dalam cara Ben Ali memerintah Tunisia.

Bouazizi mati akhirnya dalam impian yang tak kesampaian untuk hidup sedikit senang dalam negaranya sendiri. Kemuncak kematian Bouazizi inilah rakyat Tunisia mula bangkit. Mereka simpati pada Bouazizi! Ben Ali melihat keadaan bahaya sedang mendepaninya. Rakyat telah memuncak marah dan menentangnya dan dia pun membuat keputusan melarikan diri bersama isteri keduanya, Leila Trabelsi.

Memang Ben Ali tahu dan telah merancang untuk lari, seminggu sebelum kelmarin kerana isteri keduanya itu telah pergi ke Bank Pusat mengeluarkan simpanan emas seberat 1.5 tan! Walaupun gabenor bank menghalang pengeluaran itu, tetapi Ben Ali menggunakan pengaruhnya untuk menekan gabenor bank pusat Tunisia. Akhirnya, emas seberat 1.5 tan itu turut dibawa lari ke luar negara oleh Ben Ali.

Menurut laporan AFP, jika berdasarkan harga emas hari ini (Isnin) nilai emas yang dibawa lari itu tidak kurang daripada RM170 juta!

Rakyat menganggap pembunuhan diri Bouazizi yang membakar dirinya sendiri di depan polis adalah pencetus kepada perubahan yang berlaku di Tunisia kini.

Dan hari ini, apa yang dilakukan Bouazizi dituruti pula dua pemuda di Mesir dan Mauratania! Di Mesir, seorang pemuda meniru cara Bouazizi dengan membakar dirinya dan menyatakan rasa tidak puas hati dengan ekonomi di Mesir.

Di Mauratania pula, seorang pemuda bernama Yaacob Ould, turut meniru kaedah Bouazizi untuk menyatakan perasaannya yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran negara itu. Tidak diketahui nasib Yaacob, tetapi dunia melihat dua kes pembakaran diri hari ini, mirip kepada cara dan kaedah Bouzazizi meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Tunisia, pimpinan Zine Abidine Ben Ali.

Semoga kita merenung apa yang berlaku ini sebagai satu teladan dan iktibar.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10