nuffnang ads

Monday, January 17, 2011

KONGSI GELAP PASANG JERANGKAP SAMAR DI LADANG GETAH DI SIBU: PEMERASAN KE ATAS PENDUDUK KIAN BERLELUASA

KUMPULAN kongsi gelap di Sibu, Sarawak dilaporkan semakin berani apabila bertindak seperti komunis dengan memasang jerangkap samar di laluan ke beberapa ladang getah di Sibu sebagai cara untuk menggagalkan usaha polis memeriksa dan membuat siasatan berhubung kes pemerasan dan ugutan yang dilakukan mereka ke atas golongan penoreh getah.

Jerangka samar itu dikatakan diperbuat daripada bahan mengandungi asid dan amat berbahaya kepada pihak berkuasa. Perbuatan memasang jerangkap samar ini didedahkan Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika sesi dialog dengan Menteri Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Seri Wong Koon Koh berhubung kegiatan jenayah yang kian berleluasa menimpa dan menghimpit penduduk di Sibu, hari ini.

Selain masalah jerangkap samar yang boleh mencederakan dan membahayakan keselamatan, Shafie juga membidas masalah kurangnya maklumat diterima daripada orang ramai, terutama penoreh berhubung ugutan yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap itu.

Gangguan dan ugutan untuk memonopoli ladang getah di Sibu oleh kumpulan kongsi gelap ini semakin ketara sejak harga komoditi itu meningkat mendadak. Walaupun polis ada membuat tangkapan, kegiatan jenayah itu masih berterusan dan ia amat memerlukan kerjasama penduduk yang pada satu situasi yang lain terhimpit oleh masalah bimbangkan keselamatan diri.

Kumpulan kongsi gelap dikatakan menggaji pendatang asing untuk menoreh kebun terbiar milik penduduk dan apabila penduduk cuba untuk menorehnya ekoran kenaikan harga tinggi, mereka diugut dan ada di antaranya dicederakan.

Keseriusan masalah jenayah yang dicetuskan oleh kumpulan kongsi gelap ini membawa Wong bertemu dan berbincang dengan polis Sibu bagi mencari jalan penyelesaian.

Walau apa pun yang berlaku dan dicetuskan oleh kumpulan kongsi gelap ini, nampaknya tidak ada cara lan, kecuali melakukan satu tindakan besar-besaran agar ia tidak terus membiak dan menjadi racun dalam keharmonian hidup penduduk di kawasan terbabit.

Jika mereka sudah berani menggunakan jerangkap samar menggunakan bahan berasid, itu merupakan isyarat bahawa mereka tidak akan berundur daripada melakukan jenayah yang sepatutnya tidak boleh dibiarkan membiak pada setiap inci ruang di negara ini. Jom, banteras kongsi gelap dan jenayah demi keharmonian rakyat bawahan.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10