NAIB Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, mendoakan Norhanani Shahimi segera sembuh, selepas terbabit kemalangan dihempap bongkah batu ketika mendaki Bukit Broga, di Semenyih semalam.
Dalam laman facebooknya menjawab beberapa pertanyaan pelajar UiTM mengenai insiden itu, beliau menulis kejadian itu katanya telah dimaklumkan kepadanya malam tadi.
Pada masa yang sama beliau mengingatkan pelajar UiTM supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil risiko tinggi dalam apa sahaja kegiatan yang dilakukan.
Norhanani kini dirawat di Hospital Kajang, selepas ditimpa kemalangan yang mengejutkan sekumpulan 15 pelajar universiti itu selepas dia tiba-tiba dilaporkan 'hilang' dari kumpulan yang memulakan pendakian bukit itu jam 8 pagi semalam.
Norhanani dijumpai terbaring oleh seorang rakannya dalam keadaan sebongkah batu besar menghempap badannya, selepas dua jam gerakan mencarinya dilakukan oleh kawan-kawannya dari kumpulan yang sama.