nuffnang ads

Wednesday, January 19, 2011

JANGAN HANTAR AKU KE NERAKA: SAKSIKAN DRAMA TERAKHIR ALLAHYARHAM FAIZAL YUSUP DI TV9 MALAM INI

PELAKON Faizal Yusup, meninggalkan kita tiga minggu lalu. Walaupun bakatnya amat besar dan merupakan antara permata yang sedang bergemerlapan di persada seni, namun Tuhan lebih menyayanginya.

Sifat Faizal yang dikatakan periang, terutama ketika berada di lokasi penggambaran kini menjadi buah kenang yang amat manis dan sentiasa basah di lidah teman-teman lamanya. Begitu juga kepada peminat. Faizal tidak pernah menyombong atau membangga diri.

Allahyarham adalah pelengkap kepada pepatah Melayu, ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Bukannya mengikut resmi lalang, tegak menjulang daun ke angkasa tetapi tidak memberikan apa-apa!

Kepada peminat Faizal, marilah kita saksikan lakonan dalam drama terakhirnya berjudul JANGAN HANTAR AKU KE NERAKA yang akan disiarkan menerusi slot Skrin di TV9, jam 8.30 malam ini.

Drama yang meruntun perasaan ini membawa kisah Mak Jah yang kematian suami, mempunyai tiga anak; Ita, Hamzi dan Zai. Zai adalah anak bongsu yang amat amnja dan sejak kecil menunjukkan sifat kewanitaan!

Kelemahan dan kecacatan pada Zai yang dilihat terlalu lembut itu menyebabkan dia terpisah jauh dari perhatian abang dan kakaknya.

Niat seorang gadis bernama Rozi untuk menjalinkan hubungan dengan Hamzi juga terkubur kerana Rozi bimbang Hamzi akan membawa baka lembut seperti adiknya Zai!

Pada satu tahap dalam drama ini, Hamzi dan Ita menganggap adik bongsu mereka itu membawa sial dalam hidup dan keluarga mereka. Tidak tertahan dengan cemuhan orang kampung akibat sifat adiknya itu, Ita dan Hamzi mengugut menghentikan bantuan perbelanjaan jika ibu mereka (Mak Jah) tidak menghalau Zai dari rumah.

Zai membawa hati yang lara mengikut jejak rakannya, Didi ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah salun rambut. Semua ini berlarutan, menyebabkan hati Mak Jah terseksa dan jatuh sakit sehingga meninggal dunia.

Pada hari kematian ibunya, Ita dan Hamzi melarang Zai menatap wajah Mak Jah buat kali terakhir. Saksikan bersama sepenuhnya drama terakhir lakonan alahyaraham Faizal Yusup ini. Jangan lupa tisu dan al-Fatihah.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10