GARA-gara imam menghabiskan masa untuk sentiasa bersama di majlis meraikan kedatangan Perdana Menteri, jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang, Abdul latif Subhi Mohd Din, 61 dikatakan 'terbiar' di masjid, kelmarin.
Syukur jugalah sukarelawan PAS dari Pahang bertindak mengadakan solat jenazah dan menguruskan sehingga jenazah allahyarham selamat dikebumikan.
Memetik laporan Harakahdaily dan beberapa blog, berita tentang kegagalan imam terbabit menyegerakan pengkebumian jenazah Setiausaha Umno itu tentulah mengguris hati. Ini bukan soal politik lagi. Ini bukan cerita mahu menyalah atau memalukan Umno. Ini realiti. Tolong...kalau benar, ini adalah cerita kita tentang kematian. Soal insan tidak kira parti mana sekali pun, yang wajar dihormati jenazahnya agar disegerakan pengkebumiannya.
Bukan mahu memberi kredit kepada parti PAS dan calon PAS cikgu Normala Sudirman yang berkunjung ke rumah allahyarham bertemu isterinya. Bukan. Ini adalah satu peringatan bahawa jangan menjadikan politik itu melebihi segala-galanya, walaupun majlis berkenaan dihadiri seorang Perdana Menteri.
Bayangkan perasaan keluarga allahyarham apabila berdepan keadaan di mana imam yang sepatutnya menguruskan jenazah tiada di saat dia diperlukan. Dia pula dikatakan berada di tempat majlis Perdana Menteri ada dan dikatakan pula jarak lokasi tempat itu dan masjid sekitar 50 meter sahaja.
Menurut laporan Harakahdaily lagi, Perdana Menteri juga langsung tidak berkesempatan menziarahi jenazah seorang setiausaha cawangan partinya sehinggalah jenazah allahyarham dikebumikan. Kita percaya, Najib tidak begitu. Hal ini berlaku kerana barangkali tiada sesiapa di antara ahli Umno yang sibuk dengan acara memaklumkannya tentang kematian seorang setiausaha cawangan parti yang diketuainya!
Bagaimanapun, kita tanpa mengira parti harus melihat insiden yang berlaku di Tenang kelmarin, sebagai satu pengajaran. Jangan hanya terlalu leka 'mengerjakan' acara di majlis orang kenamaan, sehingga kita 'terlupa' menyempurnakan dengan segera seorang insan yang akan bertemu Allah yang Maha Besar daripada segala-galanya.
Mohon kita tidak dipolitikkan insiden ini, tetapi jadikan pengajaran. Lihatlah kebaikan yang berlaku pada insiden itu sebagai satu teladan dan contoh untuk diikuti manakala keburukannya pula dijadikan sempadan agar tidak berulang pada masa depan.
Semoga Allah merahmati roh allahyarham Abdul Latif Subhi. Kepada keluarganya harap bersabar dan tabah menjalani kehidupan ini.