JAWAPAN itu telah sekian lama menghantui ribuan anak-anak tanpa warga negara di tanah air kelahiran mereka yang bernama Malaysia ini.
Soalan utama kita adakah kita peduli? Adakah kita prihatin? Setiap kali memohon untuk mendapatkan MyKad, mereka menerima jawapan yang sama. Hanya kerana ketiadaan dokumen ibu bapa, seperti salinan MyKad, sijil nikah, sijil beranak atau dokumen yang berkaitan, permohonan mereka untuk mendapatkan nyawa sebagai warga negara akan ditolak.
Sekali lagi, adakah kita peduli? Kenapa kita tekankan perkataan peduli ini? Ini kerana orang yang memohon MyKad itu adalah manusia yang hidup yang akan bertambah usianya dan akan bertambah kompleks dan rencam jalan hidupnya pada masa depan.
Di mana mahu mereka mencari ibu bapa yang hilang atau telah meninggal dunia? Di mana mereka mahu dapatkan dokumen itu jika waris penting mereka, iaitu ibu dan bapa telah tiada atau menghilangkan diri? Apakah kita hanya mampu menjawab DUKACITA setiap kali mereka memohon mendapatkan MyKad ini? Sedangkan ada di antara mereka mempunyai sijil kelahiran yang membuktikan mereka lahir di tanah air ini!
Ada yang gagal memperolehi MyKad hanya menggunakan sijil kelahiran untuk bernafas di tanah kelahiran ini berpuluh tahun, tanpa siapa peduli tentang masa depan pelajaran mereka, pekerjaan mereka dan perkahwinan mereka.
Memang mudah untuk kita menulis sepucuk surat menggunaan perkataan DUKACITA. Soalnya sampai bila mereka harus berdepan dilema ini sedangkan dokumen yang dikehendaki Jabatan Pendaftaran Negara sudah tentu MUSTAHIL mereka perolehi kerana ibu dan bapa telah tiada?
Sekali lagi, adakah kita peduli nasib ribuan anak-anak yang ada di antara mereka telah mencecah usia puluhan tahun ini.
Mereka tidak punya negara lain untuk pergi kerana mereka lahir di negara ini. Tidak adakah cara lain untuk membuktikan mereka adalah anak Malaysia? Misalnya melakukan ujian DNA dengan nenek, bapa saudara atau waris terdekat yang lain. Apatah lagi ada di antara mereka memiliki sijil kelahiran negara ini yang dikeluarkan pihak berkuasa negara ini?
Apakah buku yang kita pegang sebagai peraturan mesti dibaca dan dipatuhi sedangkan dalam buku peraturan itu tiada langsung bab yang bercerita mengenai nasib dan bagaimana jadinya masa depan mereka ini.
Bukan rahsia ada di antara mereka yang malang ini gagal berkahwin. Gagal mendapat pekerjaan dan gagal membina sebuah kehidupan! Semuanya kerana ketiadaan MyKad. Adakah kita peduli. Adakah kita peduli?
Bilangan anak-anak tanpa warganegara yang hanya memiliki sijil kelahiran yang gagal memperolehi Mykad hanya kerana masalah ketiadaan dokumen sokongan ibu bapa sebenarnya AMAT SERIUS. Percayalah, jika diiklankan senarai mereka, ia dikatakan mencecah ribuan orang di negara ini.
Tidakkah kasihan pada mereka. Kes Noridah Baharin 21, di Port Dickson menjadi contoh. Kes Shahidah Othman, 22, di Kangar menjadi contoh. kes Hamidah Hassan dan dua adiknya di Kulim menjadi contoh.
Apakah pemimpin kita melihat dan membaca masalah sebenar yang berlaku dan menimpa kalangan mereka yang malang ini dengan hati yang benar-benar terbuka?