KILOMETER 234, di Jalan Susur Keluar Pedas, Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Rembau dipenuhi syiling bertaburan, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa peti besi mengandungi wang berkenaan terbabit dalam kemalangan petang tadi.
Limpahan rezeki itu menyebabkan orang ramai berebut-rebut mengutip syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang bertaburan sepanjang 100 meter, mengakibatkan juga kesesakan lalu lintas.
Dalam kejadian yang berlaku hanya beberapa kilometer dari lokasi nahas ngeri mengorbankan 13 nyawa di Simpang Ampat Oktober lalu, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang membawa peti besi mengandungi syiling itu, dirempuh oleh sebuah kereta jenis BMW.
Rempuhan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbalik, manakala peti besi mengandungi wang syiling pecah dan bertaburan di atas lebuh raya.
Polis kini terpaksa mengawal keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ekoran semakin ramai pengguna jalan raya yang lain mengutip syiling yang jumlahnya tidak diketahui itu.