nuffnang ads

Saturday, January 8, 2011

DUIT BOLEH BELI SEMUA. TAPI JANGAN BELI TUHAN!

KENALAN seorang warga Indonesia bercerita fasal duit sahaja hari ini. Katanya duit boleh tutup mulut orang. Duit juga boleh menjadi sebab orang menyamun dan merompak. Memang katanya, duit telah kelihatan seperti tuan dan manusia pula terlihat seperti hambanya yang tertutup rapat matanya.

Dia mengakui sebahagian besar pekerja yang datang ke negara ini asal-usulnya dari keluarga yang tidak senang. Malah katanya kalau mahu melihat duit di sana sama nilai not RM50 di sini pun amat susah sekali. Katanya dia tidak berbohong.

Manusia susah kata lelaki Indonesia itu banyak sebab, tetapi sebab yang paling banyak adalah kerana tiada duit. Maka, katanya apabila seseorang itu banyak duit, dia akan dilihat berkuasa berbanding orang lain yang tidak berduit. Dengan duit katanya, orang berduit boleh membeli apa sahaja. Orang tiada berduit pula, tidak banyak pilihan. Kadang-kadang langsung tidak mempunyai pilihan!

Dia memberi contoh katanya, ada orang berduit mampu membeli isteri orang! Ada orang berduit mampu mengelak diri dari dipenjara! Contohnya yang didenda berjuta, atau dipenjara lima tahun. Kalau dia ada duit dia akan membayar lima juta dan selamatlah dirinya daripada dipenjara. Ada orang berduit mampu berjalan atas udara dengan membeli kapalterbang dan mampu tidur di dalam air dengan membeli kapal selam! Katanya, macam-macamlah. Orang berduit ini umpama pemain silap mata.

Tentang duit ini kata lelaki Indonesia itu, manusia pembohong boleh ditukar menjadi manusia yang benar dan betul. Sebaliknya yang betul itu pula boleh ditukarkan menjadi tidak betul. Ini semua hanya dengan menggunakan kuasa duit secara bijak.

Tentang duit juga katanya, dia pernah melihat isteri melarikan diri meninggalkan suami dan anak-anak. Memang duit itu raja manusia. Duit boleh menjadikan orang kaya bermain silap mata sewenang-wenangnya. Tapi lelaki itu berpesan banyak kali, jangan cuba membeli Tuhan dengan duit! Jangan, katanya kerana itu sudah amat-amat keterlaluan.

Jangan dicabar Tuhan katanya. Katanya lagi pesan itu untuk dirinya terlebih dulu, sebelum kepada saudara-mara, kawan-kawan dan kemudian kepada sesiapa yang mahu beringat!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10