nuffnang ads

Saturday, January 1, 2011

BANYAK JUGA SUSU GETAH HARI INI

NYAMUK gajah, entah berapa platun berdengung menyerang kulit tangan dan muka tak bertutup. Setiap kali tekun membongkok mengajar pohon getah yang berbaris setia ini, setiap kali itulah dengung nyamuk gajah menerjah bisingnya ke cuping telinga.

Nampaknya alir susu getah dari sungai di kulit pokoknya, sedikit laju hari ini. Tanpa gangguan cuaca hujan, pasti susu getah akan dapat dikumpulkan lebih banyak. Lebih banyak susu terkumpul, lebih banyaklah sekerap akan dikutip pagi esok. Lagi banyak sekerap terkutip, lagi bertambahlah rezeki nampaknya.

Duduk sebentar, terdengar suara riang-riang dari tepi parit yang dipagar rumpun sendayan, menyanyi bagai gembira benar menyambut tahun baru. Sesekali terdengar katak kuang, mencelah antara siulan riang-riang! Indah dan mengasyikkan juga kebun getah sekangkang kera ini. Ia bagai auditorium, digemai alunan muzik yang pelbagai, kadang-kala terasa hilang juga penat dan rusuh hati.

Bagaimana agaknya keadaan di kebun lain. Barangkali anak-anak sebangsaku turut menikmati keindahan alam semulajadi yang dianugerahkan Tuhan ini. Barangkali ada juga yang sedang berehat melunjurkan lenguh kaki di pongka getah yang menuyusur akarnya bagai ular. Barangkali ada juga yang sedang menangis, meratapi hidup!

Ahhh...jangan dikenang dan ditangisi hidup ini wahai anak bangsaku. Aku pun sama sedang mengongsi makna rusuh hati kelian. Bukankah bangsa kita terkenal sebagai sifatnya menjadi pendidik! Mari kita didik anak-anak murid yang berbaris tegak setiap hari ini dengan penuh keikhlasan.

Pokok getah ini mungkin hanya tidak mampu bersuara. Barangkali dia ada perasaan tetapi tak terluah. Barangkali dia pun faham rusuh hati kita. Sementara dia faham rusuh hati kita, marilah kita gigih melukis pelan kehidupan di kulitnya, mencari sesuap nasi!

Bangkit dari duduk selepas lelah pergi, terpandang pada sebaris lagi barisan pohon getah yang sedang menunggu untuk berjasa. Ya...terima kasih Hevea Brasilia, dalam rusuh bangsaku kau tetap setia menunggu.

Hari ini banyak juga susu getahnya. Ya...terima kasihlah kerana memberikan kami sedikit cahaya tentang makna sebuah kehidupan. Esok lusa, kau juga akan tua. Sementara daun-daunmu masih ada dan belum menguning sempena musim kering, kami akan datang setia. Menabur keringat mencari sesuap nasi untuk membesarkan keturunan kami yang roda hidupnya akan berpusing dengan rentak dan pusingan serupa, dari musim ke musim. Begini dan macam inilah, di sebuah negara yang telah merdeka!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10