SEORANG bekas pelajar sebuah sekolah agama di Tumpat, Nurul Shaziena Kamarudin, 18, dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, selepas dia dikatakan mahu menziarahi rumah ibunya, di Pasir Tumboh, Kota Bharu.
Kehilangan itu merisaukan ayahnya, Kamarudin Hassan, 46, kerana Nurul atau lebih dikenali sebagai Kak Ngah tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga walaupun dia dan isteri telah bercerai sejak 10 tahun lalu.
Menurut Kamarudin, menjadi rutin Kak Ngah untuk menziarahi rumah ibunya, Rola Rina, 37, tetapi Ahad lalu selepas menyatakan hasrat untuk pergi ke rumah ibunya itu, dia tidak lagi dapat dihubungi.
Kamarudin yang bimbang terus menghubungi bekas isterinya dan dia juga dimaklumkan anaknya itu tidak datang ke rumah bekas isterinya sejak dua hari sebelum kejadian.
Berikutan itu, Kamarudin membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Baharu, tengah hari ini. Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nurul atau Kak Ngah diminta menghubungi polis menerusi talian 09-7196222 atau bapa remaja berkenaan 014-5209617/012-9631973.