Rumah Api Tanjung Tuan di Port Dickson, tapi milik kerajaan Melaka |
"Sana tuuuuu! Bukan sebelah sini!!" K Apapadurai, 23, pantas menuding jarinya ke arah laut sebelah kanan, bertentangan Rumah api di Tanjung Tuan.
Appadurai dan kawan-kawannya sedang duduk berlonggok di bawah sepohon sena tidak jauh dari rumah api itu. Mereka memang biasa di situ. Biasanya mereka menunggang motosikal mendaki rumah api itu, terutama pada hujung minggu atau hari cuti untuk 'ambil angin'.
Beberapa kali Appadurai menuding jarinya ke arah laut sebelah kanan dari atas tanjung yang curam dan berbatu-batu itu. Beriya-iya riak mukanya mahu menyakinkan. Dari kawasan dasar laut yang curam dan dalam itu, dia dan kawannya, Letchumanan mendakwa sering mendengar suara perempuan dan bayi menangis ketika senja.
Di laut kawasan itu juga katanya, berpuluh orang sudah jadi mangsa lemas. Di situlah kata mereka ada air pusar yag dianggap penduduk tempatan sebagai lubuk puaka.
"Kalau saya cakap pun orang susah mahu percaya. tapi betul!!...suara perempuan dan suara bayi menangis sudah banyak kali saya dengar dari arah laut sana. Biasanya waktu senja. Letchumana pun pernah dengar!" digegarnya bahu Letchumanan. Kawannya itu mengangguk laju.
Dua sahabat karib itu memang sudah masak dengan kawasan itu. Mereka dilahirkan tidak jauh dari umah Api Tanjung Tuan. Kawasan pantai itu pula sudah jadi tempat permainan mereka sejak kecil lagi. Bila meningkat dewasa, Appadurai bekerja di sebuah hotel manakala Letchumanan melakukan kerja sub-kontraktor.
Air pusar berdekatan Tanjung Tuan telah meragut puluhan nyawa, termasuk menelan bot nelayan dan kapal layar pelancong |
Cerita suara perempuan dan bayi menangis di laut Tanjung Tuan memang jarang diketahui orang. Kalau mengikut cerita Appadurai, tiga empat orang pelancong yang mendengar ceritanya juga menggeleng-gelengkan kepala.
"Lebih-lebih mereka dengar sahaja. Bila habis cerita mereka ketawa. Memang mereka tak percaya..tapi mungkin juga suara kami dengar itu suara puaka Tanjung Tuan..mungkin dia mahu korban baru!" dia mengandaikan.
Serentak itu dia melurutkan bulu roma di tangannya yang mula meremang! Namun faktanya, berpuluh mangsa lemas telah dilaporkan di laut berhampiran Tanjung Tuan kerana kebanyakannya terperangkap di dalam air pusar.