nuffnang ads

Thursday, December 9, 2010

PERUBAHAN RTM BUKAN PADA KOSMETIK, TAPI PADA INTI DAN FALSAFAH

DATUK SERI Rais Yatim telah merasai perlunya RTM berubah. Kata Rais, perubahan amat perlu dalam keadaan RTM kini telah disaingi hebat oleh stesyen penyiar lain, khususnya milik swasta. Dengan kata lain jika RTM tidak berubah, RTM akan diubah!

Pada satu perkara, perubahan itu memang perlu. RTM bukan lagi SUNAT berubah, tapi WAJIB berubah! Namun Rais jangan terlupa, perubahan yang diperlukan oleh rakyat ke atas RTM bukanlah suatu perubahan yang lebih bersifat kosmetik atau perubahan yang menurut citarasa dari dalam ke luar. Perubahan itu mesti dilakukan mengikut piawai perubahan sebenar, iaitu perubahan pada inti dan falsafah. Perubahan dari luar ke dalam!

Jika perubahan hanya dilakukan pada memperbanyakkkan berita mengenai sesuatu kelompok, ia tidak akan menepati perubahan yang dimaksudkan. Malah perubahan itu hanya akan menjadi kerja sia-sia. Perubahan yang sebenar yang perlu dilakukan adalah memperbanyakkan berita dan segmen membabitkan semua lapisan tanpa dikawal secara diktator penyampaiannya mengikut hukum politik kerajaan!

RTM walaupun milik kerajaan, harus dibenarkan bebas bersuara, menyampaikan berita atau isi kandung rancangannya tanpa dikunci atau digari ketelusan/kebenarannya mengikut kehendak politik kerajaan semata-mata. Walaupun diberi pagar dan sempadan, RTM sepatutnya mencontohi stesyen penyiaran swasta lain, sekurang-kurangnya berani mencubit dan menggigit tangan pengawal dasar stesyen itu sendiri - kerajaan!

Untuk menjadi lebih wibawa dan dipercayai serta diyakini, RTM mesti juga berani berkata tidak dalam kandungan yang disampaikan dan tidak hanya bersedia untuk berkata ya, manakala apabila berdepan situasi yang tidak memihak kerajaan, RTM juga mesti berani menyiarkannya demi untuk memenuhi konsep pengucapan bebas dan bertanggungjawab.

Perubahan asas inilah yang amat diperlukan oleh rakyat, bukan kerajaan. RTM harus melihat secara dua hala konsep media yang didukunginya, iaitu untuk kebaikan semua pihak, kerajaan dan rakyat!

Sebagai contoh, lihatlah isi kandungan dan gaya penyampaian berita yang disiarkan RTM sejak dulu, kini dan selamanya. RTM bagai sebuah stesyen yang paranoid dan kelihatan bagai burung kakatua, bercakap selepas mendengar cakap orang lain - kerajaan.

Rakyat sebenarnya tidaklah mahu RTM mencontohi TV3 untuk kelihatan berubah. RTM boleh menjadi diri sendiri dengan konsep dan falsafah sendiri, asal bersedia untuk mengubah konsep stesyen yang bertuankan kerajaan.

Tidak salah RTM menghentam parti pembangkang kerana secara logiknya RTM adalah milik kerajaan, tetapi ketika berani menghentam pembangkang, beranikah RTM menghentam kerajaan kalau itu dianggap perlu untuk memberi input positif dan berguna kepada kerajaan.

RTM harus ingat, kerajaan bukan maksum atau sebuah entiti yang tidak melakukan dosa. Maka, bertolak dari premis sebagai pengamal media yang mendukung konsep pengucapan bebas dan bertanggungawab, berita tentang kegagalan atau ketidakadilann kerajaan juga mestilah bersedia untuk disampaikan kepada rakyat.

Bersesuaian dengan dua daripada empat penyakit yang digariskan oleh Perdana Menteri, iaitu angkuh dan jumud, RTM mesti merawat sakit yang dihidapinya selama ini. Seperti juga orang politik UMNO yang ditegur Najib, RTM turut tidak terkecuali kerana selama ini stesyen penyiaran itu kadang-kala bertindak lebih daripada seorang ahli politik. Maknanya RTM mesti membuang penyakit angkuh dan jumud. Jangan angkuh dalam penyiaran berita sehingga RTM kelihatan oleh rakyat sebagai satu entiti yang besar kepala bertuankan kerajaan dan tidak mahu mendengar pandangan rakyat. Jumud RTM pula adalah lebih kepada taksub yang menjadikan politik kerajaan benar, politik pembangkang tidak benar. Inilah salahnya. Inilah kurangnya RTM sehingga bukan sahaja mulai tidak diminati, tetapi semakin dibenci!

Sebagai salah satu mekanisme barisan depan kerajaan, RTM mesti sanggup menelanjang musuh dan menelanjangkan tuannya supaya kelihatan adil! Perubahan perlu dan wajib berlaku kalau RTM mahu harga dirinya tidak diletakkan di bawah sepatu rakyat.

Semua inilah antara perubahan yang wajar dilakukan jika RTM mahu dikenali sebagai badan penyiar yang berwibawa dan mempunyai harga diri. Perubahan tamapl-tampalan tidak akan mengubah apa-apa. Seperti juga manusia, pakaian tidak akan mengubah hormat orang, tetapi hati budilah yang dinilai orang!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10