BANYAK pihak masih mempertikaikan perkahwinan Siti Maryam Mahmood, 14 dengan suaminya, seorang guru, 23 tahun, minggu lalu.
Kata Sharizat, perkahwinan pada usia masih muda tidak boleh dibenarkan kerana usia yang masih muda tidak mampu menyediakan isteri dengan ruang untuk dia memikul tanggungjawab.
Begitu juga beberapa NGO yang lain. Perkahwinan Siti Maryam walaupun tidak dikritik sebagai 'berdosa' tetapi sesuatu yang silap, tidak betul dan mesti dihalang daripada berlaku kepada pasangan muda yang lain.
Namun kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Profesyen Perguruan (NUTP) Lok Yin Theng amat elok direnung, apatah lagi ia datang daripada seseorang yang bukan Islam.
Kata Lok, amat sukar untuk mengulas hal perkahwinan itu apatah lagi ia melihat satu perhubungan hati antara dua insan. Perhubungan antara dua insan kata Lok adalah sesuatu yang sukar dihukum atau dinilai kerana tiada neraca yang boleh mengukurnya.
Maknanya, pada satu sisi Lok sebagai salah seorang profesional dalam dunia Keguruan tidak menyalahkan perkahwinan itu. Cuma Sharizat sebagai menteri yang terlalu ke depan mengkiritik sehingga hampir melanggar batas kemanusiaan dan agama. Ini kerana ia menyentuh juga hak mahkamah yang sepatutnya tidak dipertikaikan.
Mungkin ketika Sharizat mengkritik atau mengulas perkahwinan ini berdasarkan buku yang tebal-tebal, beliau terlupa pada satu buku yang dinamakan kemanusiaan. Sharizat harus juga tidak terlupa membaca bab perasaan dan paling penting kalimah jodoh dan pertemuan ditentukan Tuhan!
Perkahwinan yang sah mengikut Islam adalah satu keistimewaan dan kemuliaan. Apatah lagi selepas ia mendapat restu keluarga dan hakim yang bertindak sebagai insan yang adil sifatnya dalam kes itu.
Sharizat mungkin terlupa, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan, jadi elok dia diingatkan.