MENJELANG perlawanan akhir pertama piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Indonesia Ahad ini, perang psikologi di antara kedua-dua belah pihak sudah bermula dan menjadi hangat dalam sekelip mata.
Media Indonesia memaparkan laman online Topix.com yang mengungkap kata-kata penyokong Malaysia akan menghina lagu kebangsaan negara jiran itu, seperti mana penyokong Indonesia memperlakukan perkara sama ke atas bendera Malaysia pada perlawanan pembukaan dulu.
Perang psikologi ini mula terkeluar dari batas semangat kesukanan dengan komen-komen berbisa kedua-dua pihak penyokong kedua-dua negara berkenaan.
Tentang komen mahu menghina lagu kebangsaan Indonesia pada perlawanan pertama bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil nanti, ada komen dari sebelah Indonesia menulis mereka juga akan berbuat hal yang sama pada perlawanan akhir kedua di Jakarta nanti.
Nampaknya semangat mahukan kemenangan ke atas pasukan negara dalam sukan yang satu ketika dulu sentiasa dicemuh semakin kuat. Betapa kentalnya sokongan mereka dapat dilihat menerusi komen di dalam laman online itu.
Roh bola sepak nampaknya mulai hidup dalam tubuh rakyat negara ini. Maka, pemain harus berusaha untuk membuktikan bahawa permainan mereka juga akan dapat dikekalkan bermutu seperti yang ditunjukkan sebelum ini, setara dengan peningkatan sokongan yang ditunjukkan peminat dan seluruh rakyat negara ini.